SEORANG IBU WAJAR UTAMAKAN AMANAH DARIPADA BERPOLITIK

Saya adalah seorang suri rumah tangga. Saya terpanggil untuk meluahkan ketakutan dan kesedihan saya setelah menyaksikan apa yang berlaku di KL pada 19 September. Percayalah luahan saya ini datang daripada ketakutan kerana tidak dapat dan tidak rela melihat anak rakan sebangsa dan seorang ibu seperti Datin Seri Dr Wan Azziah membenarkan perkara-perkara mungkar berlaku di hadapan jutaan orang Islam dan bangsanya sendiri.

Saya amat terguris melihat Sivarasa, Tien Chua dan Teng Chang Kim memberi ucapan mencerca umat Islam yang lain dari rumah Allah pada hari itu. Dan kemudiannya Ketua Pemuda PAS berkata ini tidak ada salahnya. Bagi saya ini adalah soal kehormatan dan penghinaan terhadap bangsa dan agama kita. Tidak ada lagi sempadan dalam fikiran Ketua Pemuda ini asalkan misinya kesampaian.

Hakikatnya Masjid Negara telah dinodai dan ini bukannya persoalan politik lagi. Ini adalah persoalan maruah agama dan bangsa. Wan Azizah telah merelakan rumah tempat kita beribadah di tahap yang amat rendah sekali. Saya juga memakai tudung kepala seperti Wan Azizah tetapi bezanya saya menjaga aurat saya dengan erti kata yang sebenarnya. Saya tidak rela dialat dan diusung ke sana sini dan mungkin menimbulkan syak dan fitnah walaupun apa tujuannya. Kita perempuan Melayu beragama Islam dan pesanan saya kepada Wan Azizah bertaubatlah. Tidal cukup kita halus suara seperti Wan Azizah dan menutup aurat tetapi merelakan segala yang mungkar berlalu di hadapan mata kita.

Keluarga

Di manakah letaknya maruah dan tatasusila seorang anak dara seperti Nurul Izzah yang dikerumuni lelaki bukan muhrim di anjung masjid rumah Allah. Nurul, makcik adalah seorang ibu dan datang dari keluraga yang kesemuanya adik-beradik perempuan dan kami dididik ketika ke masjid, kita harus masuk dan berada di ruang yang dikhaskan untuk kaum hawa. Ini adalah adat dan tatasusila yang dipegang sejak lama dan melanggarnya dianggap satu pantang larang dan akan dipandang serong oleh semua pihak.

Saya sudah tahu apa kesudahan yang menunggu Nurul nanti, walau apa pun sebab-musababnya, saya pasti yang benar, yang luhur didikan berlandaskan akal budi dan ibadah dan aplikasinya dari satu keluarga Islam ke satu keluarga Islam yang lain. Percayalah Datin Seri Wan Azizah, Datin akan terpaksa menghadapi sikap dan psikologi anak yang dididik begitu rupa

Janganlah membuat alasan bagi diri seperti membela bapanya kerana mendidik anak memerlukan kesabaran dan merujuk kepada yang nyata. Ketika itu jangan salahkan sesiapa tetapi diri Datin Seri sendiri. Kita di dunia hanya sementara dan amanah kita sebagai ibu adalah lebih utama dari kerja sebgai orang politik.

Dunia ini bagaikan arus, jangan dihalang air yang mengalir ke bawah kerana ia hakikat dan adat dunia. Yang benar tetap benar dan yang mungkar tetap mungkar.

SEORANG IBU MELAYU BERAGAMA ISLAM
KL