KAKITANGAN
awam yang menjadi tonggak pentadbiran sesebuah kerajaan sepatutnya sedar
bahawa
mereka diberi amanah untuk melaksanakan setiap dasar kerajaan demi kepentingan
rakyat dan negara.
Mereka terbabit secara langsung memastikan matlamat dan dasar kerajaan
yang memerintah dicapai
secara maksimum. Tanpa kepaduan sokongan mereka, kerajaan tidak dapat melaksanakan
tugas untuk
faedah rakyat.
Fungsi kakitangan kerajaan adalah membantu melaksanakan urusan pentadbiran
yang cekap dan
berkesan. Keutamaan adalah untuk memberi keselesaan kepada rakyat yang
memerlukan bantuan
mereka sepanjang masa. Jika mengabaikan tugas, bermakna mereka mengabaikan
tanggungjawab
terhadap rakyat.
Melihat kepada pembangunan dan kemajuan negara hari ini, tidak dapat dinafikan
bahawa kakitangan
awam selama ini memberi sumbangan besar kepada pencapaian negara. Atas
alasan itu Timbalan Perdana
Menteri, Datuk Seri Abdullah Badawi kelmarin menyatakan keyakinannya bahawa
majoriti kakitangan
awam masih setia dan menyokong kerajaan. Isu yang digembar-gemburkan oleh
pembangkang kononnya
ramai kakitangan kerajaan kini menyokong gerakan reformasi adalah tidak
benar.
Tidak dinafikan hanya segelintir kakitangan awam yang terbabit, mungkin
disebabkan kecewa yang
mungkin berpunca daripada sikap atau disiplin mereka sendiri.
Hari ini, suasana dan iklim pekerjaan dalam sektor awam sudah jauh berbeza
dibandingkan 20 tahun lalu.
Tidak ada sebab kakitangan awam perlu tidak puas hati terhadap kerajaan.
Dibandingkan dengan keadaaan rakan-rakan mereka pada masa yang lalu kakitangan
awam sekarang
jauh lebih bertuah dari segi faedah dan kemudahan perkhidmatan. Mereka
berkhidmat dalam keadaan
yang selesa dan terjamin.
Semakin ramai rakyat, terutama orang Melayu, berpeluang berkhidmat di pelbagai
jabatan kerajaan dan
memegang jawatan tinggi serta menikmati pendapatan yang agak lumayan.
Mereka juga menikmati pelbagai kemudahan dan faedah dalam perkhidmatan
yang sebelum ini tidak
dinikmati oleh kakitangan lain. Mereka berpeluang berkhidmat dalam keadaan
yang amat selesa dalam
bangunan yang berhawa-dingin serta dilengkapi kemudahan seperti komputer,
telefon, faksimili dan
televisyen.
Dengan kemajuan dan pembangunan yang pesat berikutan wujudnya kestabilan
politik, kerajaan mampu
mewujudkan lebih banyak jabatan dan agensi yang memberi peluang kepada
kakitangan awam
berkhidmat dan memegang pelbagai jawatan. Kini ramai kakitangan awam menjadi
pengarah, pengurus,
pentadbir, ketua jabatan, profesor, dekan fakulti, pegawai tinggi dan sebagainya.
Hasil kemajuan, ramai kakitangan awam kini memiliki kenderaan sendiri dan
dapat membeli rumah besar
di merata tempat di seluruh negara terutama di bandar-bandar besar seperti
Kuala Lumpur, Shah Alam,
Johor Bahru, Pulau Pinang, Ipoh, Kuching, dan Kota Kinabalu.
Jika dulu kakitangan awam pangkat rendah tinggal di rumah setinggan atau
rumah kampung di pinggir
bandar, kini ramai yang menetap di rumah sendiri atau setidak-tidaknya
menyewa di rumah pangsa yang
dibina di kawasan bandar yang mempunyai pelbagai kemudahan.
Ramai juga kakitangan awam dapat menyekolahkan anak-anak mereka hingga
ke peringkat universiti di
dalam dan luar negara. Setelah anak-anak mereka memperolehi ijazah dan
lulusan tinggi yang lain mereka
kini turut menjawat jawatan penting di sektor awam atau swasta.
Dalam keadaan seperti ini sewajarnyalah ketika negara melangkah ke alaf
baru, kakitangan awam terus
memperkukuhkan kesetiaan mereka serta meningkatkan dedikasi dan kecekapan
dalam melaksanakan
tugas masing-masing.
Tidak ada ruginya mereka memberi kerjasama kepada kerajaan kerana tugas
mereka adalah murni. Jika
ramai yang bertindak membujur lalu melintang patah, siapa lagi yang boleh
diharapkan untuk membantu
rakyat.
Cabaran alaf baru pasti lebih besar dan hebat serta memerlukan kesungguhan
demi menjamin kejayaan
dasar kerajaan yang bertujuan memperbaiki dan meninggikan taraf hidup rakyat.
Kerajaan yang
mempunyai wawasan jauh memang mempunyai banyak rancangan pembangunan untuk
rakyat.
Kakitangan awam adalah golongan yang bertanggungjawab untuk memainkan tugas
penting menjayakan
pelaksanaan rancangan berkenaan.
Oleh itu, mereka tidak seharusnya dipengaruhi oleh anasir jahat khususnya
parti pembangkang yang
sememangnya berusaha sedaya upaya untuk menjejaskan jentera pentadbiran
kerajaan demi mencapai
cita-cita politik sempit mereka.