KAUM LAIN AMBIL PELUANG DARI PERPECAHAN MELAYU
Sememangnya tindakan lima pertubuhan kaum Cina menuntut hak sama rata tanpa membezakan antara bumiputera dan bukan bumiputera cukup menyentuh perasaan. Lalu saya rasa terpenggil untuk melahirkan rasa terkilan atas apa yang disuarakan oleh wakil pertubuhan tersebut. Timbul tanda tanya apakah ada dalang di sebalik tuntutan ini?
Begitupun sekiranya kita berfikir sejenak kenapakah ini berlaku mungkin kita beroleh jawapannya. Apakah kelemahan kita kaum bumiputera khususnya orang-orang Melayu? Sedarkah kita bahawa orang Melayu yang hanya memiliki kuasa politik kini semakin berpecah. Lihatlah betapa egonya puak yang kononnya golongan reformasi berdemonstrasi. Bertindak tanpa menghiraukan keselamatan orang lain.
Ternyata ia pelik, malu, hiba serta saya marah apabila melihat puak ini bersekongkol dengan bukan Islam memperalatkan masjid menunjukkan ketidaksopanan mereka. Puak reformasi pada mulanya hanya kroni Anwar (meskipun ada yang tidak mendapat apa-apa ketika Anwar berkuasa) kini semakin bertambah dengan penyertaan parti pembangkang. Malah cuba mengheret istana pula.
Pas yang dulunya amat kuat memperjuangkan Islam kini sanggup membuka keahliannya kepada bukan Islam. Apakah tujuannya? Tenyata sanggup melakukan apa sahaja demi mencapai matlamat politiknya. Mampukah ia memerintah jika begini keadaannya. Lebih-lebih lagi dengan sistem pembahagian kerusi yang konon bakal dijalankan oleh Barisan Alternatif.
Sekiranya mampu mengalahkan Barisan Nasional sekalipun nescaya tidak mampu memerintah dengan sempurna. Walaupun Anwar jadi PM. Apakah yang mampu dilakukannya? Menjadi boneka Barat dengan mengikut telunjuk Barat. Hapuskan DEB serta tiada lagi hak istimewa orang Melayu. Mungkin itu yang mampu dilakukan. Atau apakah mungkin ada sebuah lagi Timor Timur? Tatkala ini terjadi semuanya sudah tidak berguna lagi.
Wahai cauvanis Melayu dalam Pas dan Keadilan lihatlah apakah wajar tuntutan pertubuhan Cina ini. Atau Pas dan Keadilan sememangnya akan memberi kesamarataan pada semua kaum jika berkuasa? Percayalah ketika ini Datuk Seri Dr Mahathir pun sedang memikirkan masalah ini. Janganlah dibiarkan beliau berseorangan menghadapi tekanan ini.
Namun beliaulah seorang pejuang, maverick dan arkitek moden dalam menjana ketrampilan Malaysia di persada dunia. Tatkala Clinton, Soros, Camdessus dan ramai lagi yang terpaksa menjilat ludah sendiri gara-gara saranan ke arah mengawal penyangak mata wang, apakah kita tidak bangga melihat kepragmatisan anak Melayu ini yang tiada tolok bandingnya ini.
Teruskanlah wahai Datuk Seri sesungguhnya perjuanganmu belum selesai
ANAK DEB
Kepong, Kuala Lumpur