Ada yang perkecil erti kemerdekaan
 

MEMANDANGKAN perayaan Hari Kebangsaan Ke-42 akan menjelang dua hari lagi, eloklah kalau minggu ini Kiau mengajak pembaca mengingati kembali sejarah kemerdekaan negara.

Ini penting kerana semakin lama kita merdeka, semakin maju negara kita, semakin kurang pula penghayatan terhadap kemerdekaan.

Sudah ada yang tidak mempedulikan lagi peristiwa bersejarah ini. Mereka menganggapnya tidak lebih daripada cuti biasa untuk berehat dan bersenang-senang.

Malah ada yang sudah menafikan sumbangan kemerdekaan terhadap kejayaan mereka. Lantas mereka menganggap perayaan Hari Kemerdekaan sebagai sesuatu yang sudah ketinggalan zaman.

Kiau teringat seorang kawan mencaci dan mencemuh Kiau tahun lalu apabila Kiau mengibarkan bendera negara pada kenderaan Kiau. Katanya, itu kerja orang bodoh dan memalukan.

Kiau berasa pendirian begini bukan perkara asing lagi. Semakin banyak orang kita yang lupa sejarah dan lupa daratan kerana terlalu asyik dengan kesenangan yang dinikmati selepas berpuluh tahun merdeka.

Boleh jadi juga perkara ini terjadi kerana sistem pendidikan dan sosial kita yang tidak memberi penekanan secukupnya terhadap kesedaran kebangsaan dan sejarah.

Ada yang menganggap kesedaran kebangsaan dan patriotisme sebagai sesuatu yang sudah ketinggalan zaman atau diraikan setahun sekali. Itu pun secara sambil lewa saja.

Malanglah bagi negara dan bangsa Malaysia kalau kita menganggap Hari Kebangsaan sebagai hari cuti umum semata-mata dan menganggap kesedaran kebangsaan sebagai sesuatu yang bermusim.

Kalau inilah sikap sebahagian besar rakyat kita, Kiau bimbang suatu masa nanti penjajahan bentuk baru yang disebutkan berkali-kali oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Mahathir Mohamad akan menjadi kenyataan.

Kita sudah pun lihat bagaimana banyak negara yang bertumpah darah memperjuangkan kemerdekaan akhirnya kucar-kacir dan dijajah semula melalui kuasa politik dan ekonomi asing.

Ini adalah disebabkan ketidakmampuan mereka mengisi kemerdekaan sebaliknya mereka menggunakan kebebasan untuk kepentingan diri atau kumpulan sehingga kepentingan umum terbengkalai.

Kita di Malaysia seharusnya bersyukur dan berterima kasih kerana kita jauh lebih maju, lebih bebas dan lebih dihormati sejak kita mencapai kemerdekaan lebih empat dekad lalu.

Banyak tanah jajahan yang lebih besar dan lebih awal merdeka daripada kita kini di ambang perpecahan kerana kesedaran kebangsaan dan patriotisme mereka hanyalah di bibir saja.

Walaupun banyak pihak meramalkan kehancuran kita sebaik saja bendera Union Jack diturunkan pada 31 Ogos 1957 dan Jalur Gemilang dikibarkan.

Mereka membuat ramalan ini kerana negara kita sudah terjajah selama 446 tahun sebelum itu oleh pelbagai kuasa asing dan tidak mungkin boleh berdiri atas kaki sendiri.

Mereka mengatakan negara berbilang kaum dan agama, apatah lagi dengan umat Islam sebagai kaum majoriti, mustahil kekal dan maju.

Mereka menjadikan perpecahan benua kecil India dan kemenangan komunis di China dan Vietnam sebagai bukti bahawa Malaysia juga akan mengalami nasib sama.

Tetapi, atas kemampuan pemimpin-pemimpin besar kita seperti Almarhum Tunku Abdul Rahman, Allahyarham Tun Abdul Razak, Allahyarham Tun Hussein Onn, mendiang Tun Tan Cheng Lock dan Tun V T Sambanthan, tapak kemerdekaan dapat dikukuhkan.

Walaupun ancaman komunis terpaksa dihadapi dan perasaan perkauman perlu ditangani, sikap tolak ansur akhirnya berjaya meletakkan Malaysia sebagai negara bekas tanah jajahan yang paling berjaya dan termaju.

Malangnya kemajuan pesat dan keamanan yang dinikmati, khususnya selepas pelaksanaan Dasar Ekonomi Baru pada 1970 menyebabkan banyak rakyat kita lupa sejarah dan lupa daratan.

Hari ini ada orang kita yang ibu bapanya miskin dan melarat sanggup menafikan sumbangan DEB dan kerajaan kepada mereka semata-mata kerana mereka sudah berjaya dan tidak sependapat dengan kerajaan.

Mereka dengan lantang mengatakan kemajuan adalah hak mereka. Mereka tidak lagi menganggap kemajuan sebagai keistimewaan dan anugerah Tuhan.

Kiau bimbang kalau inilah sifat dan sikap sebahagian besar rakyat kita, khasnya generasi pasca merdeka, kemajuan, keamanan dan sanjungan dunia terhadap kita mungkin tidak kekal lama.

Orang yang lupa daratan dan menafikan sumbangan orang lain terhadap kemajuan dirinya mustahil dapat memimpin diri, keluarga, masyarakat dan bangsanya.

Marilah kita merdekakan diri dan pemikiran kita daripada sifat dan sikap yang merosakkan ini. Marilah kita menjadi bangsa Malaysia yang berterima kasih, mengenang budi dan bersyukur.



Sumber: Berita Minggu