APABILA berlaku demonstrasi yang lazimnya berakhir dengan tindakan-tindakan liar seperti yang terjadi di Kuala Lumpur Ahad lepas, perhatian akan tertumpu kepada mereka yang menunjuk perasaan. Apa yang mereka perjuangkan dan kenapa mereka bertindak liar akan menjadi percakapan umum dan penganalisisan teliti pihak berkuasa khususnya kerajaan yang memerintah. Dalam kekalutan menangani semua kekacauan itu, selalunya kita akan terlupa kepada kepentingan majoriti senyap yang juga mempunyai perasaan, tetapi tidak menunjukkannya secara terbuka.
Golongan majoriti senyap selalunya akan memendam rasa sambil terus mengharapkan keadaan akan pulih dan apa juga gangguan yang berlaku akan berakhir. Kerajaan Barisan Nasional (BN) yang memerintah hari ini dapat dibentuk berulang-ulang kali kerana mendapat sokongan kuat majoriti senyap inilah yang memberikan undi mereka setiap kali pilihan raya. Perasaan mereka terhadap apa yang sedang berlaku di tanah air kita kebelakangan ini tidak boleh diambil mudah oleh kerajaan.
Majoriti senyap ini mempunyai sebab untuk merasa kecewa dengan kerajaan yang, dalam beberapa hal, kelihatan tidak tangkas dan kurang berkesan dalam menangani tunjuk perasaan, perhimpunan tanpa permit serta ceramah politik yang terang-terang menghasut dan boleh membawa masalah keselamatan.
Kita tidak mahu golongan majoriti senyap ini terus merasa kecewa dan akhirnya hilang keyakinan terhadap kerajaan kerana kegagalan pemerintah mengekalkan tahap ketenteraman awam yang tinggi bagi membolehkan rakyat menjalankan hidup tanpa sebarang gangguan atau perasaan tidak menentu akan masa depan mereka dan negara.
Kita sedar dan faham kerajaan cuba mengambil pendekatan yang tidak terlalu berbentuk konfrontasi dengan pihak-pihak yang semakin kuat menentangnya.
Tetapi persoalannya, adakah puak-puak menentang itu menghargai toleransi kerajaan? Ternyata tidak. Sebaliknya, mereka sedang mengambil kesempatan daripada toleransi itu untuk bertindak lebih garang dan liar hingga ke tahap mencabar institusi keselamatan negara. Malah, ada yang berani mencabar polis supaya menangkap mereka.
Ekoran apa yang berlaku Ahad lepas, kita berpendapat, kerajaan wajar menangani permasalahan yang dihadapi dengan tindakan-tindakan yang boleh memantapkan kembali keyakinan orang ramai.
Suasana yang wujud hari ini sudah sampai ke tahap di mana kerajaan perlu memastikan keyakinan majoriti senyap yang menjadi tulang belakang sokongan yang dinikmatinya tidak terhakis.
Dalam beberapa hal, kerajaan kelihatan gagal mencegah perkara-perkara yang sepatutnya dihentikan awal-awal lagi. Contohnya, penyalahgunaan masjid dibiarkan tanpa langkah konkrit untuk menyekatnya. Begitu juga salah guna khutbah Jumaat.
Kita mendengar banyak retorik politik, tetapi tidak disusuli dengan tindakan tegas. Akibatnya penyalahgunaan itu terus berlaku. Majoriti senyap bertanya, kenapa begitu harus berlaku?
Kerajaan tidak boleh kelihatan takut untuk berdepan dengan
kumpulan kecil yang menimbulkan kekacauan. Kerajaan mesti kelihatan kuat,
menguasai keadaan, yakin dan sedia melakukan apa yang perlu dilakukan.