Edisi Bahasa Malaysia

DOKUMEN: KERAJAAN PERLU BERTINDAK TEGAS

PENGAKUAN Ketua Pemuda Parti Keadilan Nasional (Keadilan), Mohamad Ezam
Mohd Nor bahawa pihaknya menyimpan berkotak-kotak dokumen rasmi kerajaan di
luar negara perlu dipandang serius oleh semua pihak lebih-lebih lagi kerajaan. Hal ini
tidak boleh dibiarkan berlalu begitu saja dengan hanya membuat kenyataan mengecam
dan mengutuk pihak yang terlibat.

Sehubungan itu kita ingin menggesa kerajaan bertindak segera dan tegas terhadap
perkara ini berlandaskan undang-undang yang ada terutama mengikut Akta Rahsia
Rasmi demi keselamatan negara.

Soal mencuri dokumen rasmi serta hubungannya dengan penyalahgunaan kuasa
pihak-pihak terbabit yang pernah memegang jawatan kerajaan perlu disiasat hingga ke
akar umbi dan kita tidak boleh bertolak-ansur.

Ia merupakan suatu isu kepentingan nasional yang tidak harus dibiarkan menjadi
permainan politik kepartian sempit dan cetek. Jika pihak pembangkang mahu
menggunakan dokumen-dokumen rasmi itu sebagai bahan isu dalam permainan politik
kepartian menghadapi pilihan raya, maka ia merupakan satu tindakan tidak
bertanggungjawab dengan mendedahkan negara kepada ancaman bahaya luar. Ini
menunjukkan betapa pihak-pihak tertentu sanggup melakukan apa saja sehingga
boleh dianggap sudah sampai ke peringkat mengkhianati negara.

Lebih-lebih lagi, ketua pemuda parti pembangkang itu menunjukkan keangkuhannya
dengan tidak menghirau implikasi yang boleh timbul akibat perbuatan-perbuatan
terkutuk itu malah berani mencabar pihak berkuasa mengheretnya ke mahkamah.

Tidak hairanlah sebaik saja bekas setiausaha politik kepada bekas Timbalan Perdana
Menteri itu membuat pengakuan, banyak pihak yang mempunyai sifat
bertanggungjawab kepada kerajaan dan negara membuat seruan supaya siasatan dan
tindakan tegas dibuat.

Maka dirasakan amat wajar bagi Setiausaha Pemuda Barisan Nasional, Zulkifli
Mohd. Ali membuat laporan polis supaya siasatan dibuat segera bagi memastikan
keselamatan negara tidak terjejas akibat perbuatan itu.

Walaupun beliau bertindak selaku wakil Pemuda Barisan Nasional tetapi kita percaya
ia dilakukan atas dorongan kesedaran dan tanggungjawab untuk memelihara
keselamatan negara, dan bukannya sekadar untuk mendapatkan keuntungan politik
kepartian.

Untuk itu, kita menyambut baik pengumuman Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri
Abdullah Ahmad Badawi yang juga Menteri Dalam Negeri bahawa polis telah pun
memulakan siasatan. Kita yakin pihak yang bertanggungjawab dalam urusan ini,
seperti biasa akan menjalankan tugas mereka secara profesional dan kewibawaan
yang tinggi.

Justeru, kita ingin merakamkan rasa kesal terhadap pihak pembangkang kerana
sanggup melakukan perbuatan yang boleh membuka ruang ancaman terhadap
keselamatan negara. Perbuatan seumpama itu tidak melambangkan sifat patriotik dan
demokratik sesebuah parti politik.

Soal keselamatan negara bukan sesuatu yang boleh dipandang ringan atau dijadikan
bahan cagaran kepada pertarungan politik kepartian.

Kita amat bimbang betapa dokumen rasmi yang rahsia boleh berkemungkinan bocor
kepada musuh-musuh negara.

Walaupun kita percaya jentera kerajaan akan dapat menghalang sebarang usaha
musuh negara hendak melemahkan keselamatan negara, tetapi sesuatu hendaklah
dilakukan supaya kehilangan dokumen itu tidak berulang.

Jika siasatan itu menunjukkan ada pihak-pihak yang bersalah dalam perkara ini, maka
mereka semestinya didakwa dan tindakan mengikut proses undang-undang
sewajarnya dikenakan tanpa mengira kedudukan jawatan atau siapa mereka.

Pegawai Kerajaan Yang Prihatin