Edisi Bahasa Malaysia
Selasa, April 13, 1999
Surat Kepada Pengarang
KHABAR ANGIN SUDAH TIDAK LAKU LAGI
Lukman Hakim, Bukit Damansara, Kuala Lumpur
 

Khabar angin yang 'tidak manis' bertiup paling kencang tentang keadaan kesihatan Perdana Menteri Datuk Seri Dr. Mahathir yang sedang berehat di Institut Jantung Negara (IJN) pada 6 April 99.   Sekalipun Buletin Kesihatan yang menerangkan keadaan sebenar tentang kesihatan Dr. Mahathir telah dikeluarkan oleh radio dan televisyen,  tetapi pihak anti-nasional terus menyebarkan khabar angin yang meminjam kata-kata Timbalan Perdana Menteri, Datuk Abdullah Ahmad Badawi sebagai 'tidak manis'.

Seorang rakan saya memberitahu keadaan sebenar Dr. Mahathir kepada seorang pemanggil telefonnya telah dimarahi dengan kata-kata "jangan percaya berita akhbar, radio dan televisyen, semuanya bohong, karut."

Apakah semua akhbar nasional, radio dan televisyen berbohong?.  Memanglah akhbar-akhbar di Malaysia condong kepada para pemerintah kerana kebanyakannya dimiliki oleh UMNO, MCA dan MIC atau Barisan Nasional.  Saya sendiri tidak senang dengan keadaan ini tetapi saya tidak nampak kenapa mereka hendak menyiarkan berita-berita bohong kecualilah tersilap ataupun condong kepada kerajaan.

Bila mereka tersilap ataupun memalukan mana-mana pihak maka orang terbabit berhak untuk mengambil tindakan undang-undang terhadap media.  Orang ramai dilindungi daripada fitnah dan pembohongan akhbar dan demikian juga akhbar dilindungi oleh undang-undang dalam penyiaran mereka.  Maka itu, mereka meminta maaf jika mereka bersalah seperti menyiarkan kematian seseorang yang sebenarnya belum mati.

Tetapi apabila anggapan umum dibuat mengatakan semua media nasional Malaysia berbohong maka saya merasakan seolah-olah saya menghadapi suatu generasi baru yang tidak terpelajar yang 'beraja di hati dan bersultan di mata.'

Keadaan ini wujud selepas penyingkiran Anwar Ibrahim dari UMNO dan kerajaan.  Apakah ini bererti bahawa semua berita yang disiarkan sebelum penyingkiran Anwar Ibrahim benar dan selepas penyingkiran semuanya bohong belaka?  Atau adakah kerana Anwar Ibrahim merasakan demikian maka kita juga mesti turut serta dalam perasaan ini tanpa pertimbangan dan kewarasan kita sendiri?

Akhbar tidak boleh membiarkan berita mengatakan ramai orang mati di dalam sesuatu rusuhan sekiranya tidak berlaku kematian dan demikian juga tidak boleh menyembunyikan adanya kematian kerana di negara kita dan juga Singapura (bukan Indonesia), kehilangan seseorang manusia akan diketahui berasaskan sistem pendaftaran dan kematiannya dan saudara mara seseorang yang 'hilang' boleh membuat laporan kepada polis atau peguam.

Bagaimanapun, jika ada orang sudah hilang kepercayaan kepada pihak berkuasa, maka itu menunjukkan bahawa dia terlibat dalam arus kelompok ke arah anarkis kerana suasana sebenar tidaklah demikian atau seperti yang didakwa oleh mereka yang bermain politik.  Tidaklah menghairankan jika terdapat pensyarah dan profesor universiti turut mempercayai perkara seumpama ini dan menyeru ke arah pemboikotan akhbar dan media kerana sebenarnya di antara mereka itu sendiri tidak membaca akhbar setiap hari dan hanya tahu tentang isi buku teks universiti sahaja.

Bagaimanapun seluruh rakyat haruslah menyedari bahawa golongan ini tidak ramai dan merupakan sebahagian kecil sahaja.  Maka itulah sebabnya pemboikotan akhbar tidak berkesan dan mereka mengambil data asing dan tidak berasas untuk meyakinkan diri mereka sendiri terhadap pembohongan mereka.  Lihatlah dengan mata kepala sendiri berapa ramai orang membeli akhbar, mendengar radio, dan menonton televisyen setiap hari.

Yang jelas ialah apabila Bursa Saham Kuala Lumpur memantul dan melonjak indeks kompositnya 21.09 mata kepada 556.93 (Papan Pertama) dan Indeks Emas seluruh saham naik 4.55 mata kepada 137.98 pada 5 April sekalipun terdapat khabar angin yang negatif tentang Perdana Menteri.  Pada hari itu, sokongan terhadap Bursa Saham Kuala Lumpur tidak sahaja datang dari institusi dan pelabur individu tempatan tetapi juga dana asing.

Sepatutnya khabar angin yang begitu buruk tentang Perdana Menteri akan menjatuhkan pasaran saham tetapi tidak terjadi demikian.  Ini adalah satu bukti jelas bahawa ornag ramai sudah bosan dengan khabar-khabar angin dan golongan anti-nasional telah tidak lagi dipercayai dan dihormati oleh sebahagian besar masyarakat Malaysia.  Internet mereka menjadi bahan ketawa.

Perkembangan keyakinan yang sihat sedang berlaku yang tentunya amat menyedihkan mereka yang begitu bercita-cita mewujudkan masyarakat anarkis tetapi memberikan kemantapan kepada kemaraan masyarakat yang rasional dan kepada kestabilan negara.