
Edisi Bahasa Malaysia
Kubang Pasu penentuan Mahathir
Mahadzir Mohd Khir
SEMASA kes Datuk Seri Anwar
Ibrahim masih hangat, banyak media asing tiba-tiba memberi tumpuan kepada
kawasan pilihan raya (PR) Kubang Pasu. Kawasan ini sejak PR 1974 lagi diwakili
Datuk Seri Dr Mahathir Mohamad dan belum pernah ditewas oleh Pas. Tetapi
dengan kes Anwar, banyak ramalan dibuat, Datin Seri Dr Wan Azizah Ismail
yang kini Presiden Parti Keadilan Nasional (Keadilan) akan mencabar beliau
di kawasan itu. Kemudian ramalan itu bertukar dan timbul pula kemungkinan
Pas akan bertanding di situ. Antara calon yang disebut-sebut termasuk Datuk
Dr Harun Din. Selepas ini mungkin banyak lagi ramalan-ramalan lain akan
dibuat hinggalah hari penamaan calon.
Nampaknya ramalan untuk
menentang Dr Mahathir di Kubang Pasu akan berterusan. Ia bergantung kepada
desas desus yang terus disebar selagi PR belum tiba. Sebelum itu terdapat
juga desas desus mengatakan bahawa ada kemungkinan Dr Mahathir akan berpindah
ke kawasan yang lebih selamat. Tetapi walauapa pun, tidak ada tanda-tanda
Dr Mahathir akan berpindah ke mana-mana kawasan lain. Malah beliau sentiasa
ke kawasan Kubang Pasu setiap kali beliau melawat Kedah. Sambutan terhadap
beliau tidak pula berkurangan dan ini membayangkan bahawa khidmatnya sebagai
wakil rakyat mendapat sokongan kuat. Walaupun beliau sebagai Perdana Menteri
dan Presiden Umno, kedudukan hakikinya sebagai wakil kawasan tetap dijaga.
Secara kebetulan di kawasan
tersebut terdapat sebuah universiti iaitu Universiti Utara Malaysia (UUM).
Penubuhannya di kawasan tersebut bukanlah kerana beliau dari kawasan itu
tetapi bertujuan untuk membuka kawasan persekitarannya supaya ia akan berkembang
dari segi ekonomi. Ramai yang tidak mengetahui bahawa kawasan tersebut
terdapat pusat perbidanan dan di satu masa yang lampau Datin Seri Dr Siti
Hasmah pernah mengepalai pusat tersebut. Beliau telah memberi serta banyak
menjalankan khidmat sosial khususnya dari segi program kesihatan kerana
beliau sendiri seorang doktor perubatan.
Selain kawasan Kubang Pasu,
Kedah pada keseluruhan menjadi tumpuan Pas yang berharap untuk menguasainya
pada PR akan datang. Ini bukan kali pertama ianya menjadi agenda Pas; malah
setiap kali PR perkara yang sama jadi impian. Antara sebabnya ialah kerana
di Kedah terdapat majoriti pengundi daripada orang Melayu beragama Islam.
Di samping itu di Kedah juga terdapat banyak sekolah-sekolah agama, masjid,
surau dan sekolah-sekolah pondok serta kawasan padi. Pada satu ketika pernah
wujud ungkapan seperti di mana ada padi, di situ terdapat pondok dan di
situ juga ada Pas. Dari satu sudut 3P (Padi, Pondok dan Pas) sebagai sinonim
dengan perkembangan cawangan Pas di kawasan-kawasan tersebut.
Secara kasar kawasan-kawasan
padi di Kedah ialah kawasan Jerlun, Kubang Pasu, Kuala Nerang, Kota Setar,
Pendang dan Yan. Di kebanyakan kawasan tersebut terdapat sekolah-sekolah
pondok. Pada umumnya ada yang berpendapat, kerana banyak sekolah agama
maka terdapat ramai daripada guru-guru yang bergelar ustaz dan dengan itu
mereka mudah dikaitkan dengan kegiatan politik parti Pas. Tetapi bukan
semua ustaz terlibat dengan Pas. Ada di kalangan mereka yang menganggotai
Umno, dan ada pula yang tidak menyertai mana-mana parti politik, tetapi
sebagai pengundi yang membuat pendirian pada hari PR. Dengan itu 3P - padi,
pondok dan Pas tidaklah tepat.
Anggapan terhadap kemungkinan
Pas akan menguasai kawasan-kawasan tersebut berdasarkan andaian kecenderungan
ustaz-ustaz juga tidak berasas. Persepsi umum terhadap kecenderungan ustaz-ustaz
juga tidak tepat. Ianya tidak lebih daripada propaganda awal menjelang
PR yang semata-mata bertujuan untuk mengukuhkan ramalan bahawa Pas mungkin
'tawan Kedah'. Media asing turut membuat spekulasi mengenai kemungkinan
itu tetapi ia boleh dipersoalkan, mereka ini tidak memahami keadaan sebenar.
Walauapa pun, Pas tetap
menyatakan bahawa kedudukan mereka begitu mantap dan sentiasa meningkat
dari semasa ke semasa. Kata-kata ini nampaknya lebih untuk menyakinkan
penyokong-penyokong setianya. Ia dibuat secara berulang kali untuk mewujudkan
suasana yang memperlihatkan konfidennya. Ini dapat difahami daripada sudut
perang saraf (psy-war) kerana tindakan memperlihatkan konfiden adalah salah
satu cara mendapat sokongan. Oleh itu, ada kemungkinan bagi Pas ungkapan
'menawan Kedah' hanyalah sebagai kaedah yang dianggap mujarab untuk menawan
hati dan mempengaruhi persepsi pengundi. Ia juga mungkin bukan untuk pengundi-pengundi
di Kedah saja, tetapi di negeri-negeri lain juga seperti Perlis, Kelantan
dan Terengganu.
Bagaimanapun, kebolehan
Pas dalam 'psy-war' ini tidak dapat dipertikaikan kerana pihaknya telah
menjalankan kempen sejak tahun 1998 lagi walaupun kempen PR sebenar belum
bermula. Sebagai sebuah parti politik yang menjadi saingan hebat kepada
Umno/BN di Kedah, pihaknya sentiasa dalam keadaan berjaga-jaga kerana mereka
merasakan PR akan berlaku bila-bila masa.
Mengapa kali ini Pas Kedah
cuba menimbulkan rancangan besar untuk menawan Kedah? Ini dapat dilihat
daripada banyak kemungkinan dari sudut firasat Pas. Antaranya ialah kerana
dirasakan kedudukan Dr Mahathir sendiri tercabar disebabkan penyingkiran
Anwar dari Umno sehingga tertubuhnya Keadilan yang dipimpin sendiri oleh
Dr Wan Azizah, isteri Anwar. Mereka menjangka isu Anwar mungkin akan menyebabkan
populariti Dr Mahathir menurun. Di samping Pas beranggapan Keadilan dapat
mempengaruhi sebahagian penyokong-penyokong Umno untuk memberi undi simpati
atas isu tersebut. Oleh itu Dr Wan Azizah dianggap sebagai daya tarikan
dalam ceramah-ceramahnya dimana Dr Mahathir dijadikan sebagai 'bantal hentaman'
(puching bag). Ini dianggap dapat memudahkan kerja Pas kerana 'tukang pukul'
sudah ada, dengan itu pihaknya tidak perlu berbuat demikian. Tambahan pula
cerita-cerita yang dibawa oleh Keadilan dianggap sebagai cerita daripada
mereka yang pernah menganggotai Umno.
Tetapi Pas mungkin tidak
menyedari bahawa, dari sudut Umno, sokongan Keadilan boleh dikira sebagai
'liabiliti' kepadanya. Ini ialah kerana bagi Umno isu penyingkiran Anwar
adalah persoalan dalaman dan ianya telah diterima. Begitu juga dengan kedudukan
Dr Mahathir sendiri sebagai PM dan Presiden parti, tidak menjadi pertikaian
dalaman Umno sendiri. Apakah tidak mungkin kerana kaedah ini mempunyai
'set back', Pas cuba pula dengan ramalan-ramalan yang dipetik dari sebuah
akhbar Singapura yang mengatakan mungkin beberapa orang timbalan menteri
tidak dicalon semula kerana sokongan mereka kepada Anwar. Antara mereka
yang dimaksudkan seperti Datuk Dr Afifudin Omar dari kawasan Padang Terap
dimana kawasan-kawasan negeri di dalamnya mendapat kemenangan tipis dalam
PR 1995 yang lalu. Bagaimanapun, Dr Afifudin sendiri awal-awal lagi telah
membuat kenyataan, sama ada beliau dicalonkan ataupun tidak, beliau tetap
dengan Umno/BN.
Selain itu, usaha-usaha
lain juga cuba dilakukan seperti membangkitkan persoalan-persoalan kemampuan
pentadbiran kerajaan negeri, kedudukan Tan Sri Sanusi Junid dan pelantikan
Datuk Paduka Osman Arof sebagai wakil peribadi Dr Mahathir di Kubang Pasu.
Pertamanya keupayaan kerajaan negeri di bawah pimpinan Sanusi selaku MB
secara sedar sengaja didesas-desuskan masih berhadapan dengan masalah sokongan
daripada kumpulan yang masih setia kepada Osman Arof. Di samping ciptaan
dan rekaan terus dibuat dengan mengatakan ada kemungkinan Sanusi akan bertukar
kawasan, dari Negeri kepada Parlimen dan kemungkinan Osman mengambil tempatnya
sebagai MB. Tujuan sebenarnya hanyalah untuk menimbulkan suasana syak wasangka
di dalam Umno antara ahli-ahlinya dan kepada umum pula seolah-olah terdapat
'faction' di dalam Umno. Malah dalam masa yang sama apa yang cuba diperlihatkan
oleh rekacipta musuh Umno, ialah untuk melemahkan Umno Kedah dari dalam.
Tetapi secara rasional,
sekiranya pimpinan Sanusi sebagai ketua Kerajaan Kedah, dipersoalkan di
dalam Umno sudah tentu dalam persidangan Dewan Undangan Negeri Kedah, akan
terdapat pelbagai rancangan untuk menjatuhkannya. Tetapi ia tidak berlaku,
malah pelbagai program sosial terus dapat dilaksanakan dengan jaya dan
berkesan. Misalnya beliau bertindak untuk memperkemaskan jentera Kerajaan
supaya ia menjadi lebih efektif. Program sosial seperti masjid diperkemaskan
ke tahap yang lebih moden sebagai pusat gerak kerja pertumbuhan masyarakat
sekitarnya. Penubuhan rumah-rumah anak yatim di seluruh daerah dan pusat-pusat
bacaan rakyat atau Pubara yang dilengkapi dengan berbagai-bagai kemudahan,
dan rancangan pertanian yang banyak membawa hasil. Mungkin kesemuanya tidak
banyak mendapat liputan meluas, tetapi ianya telah berkembang pesat dalam
masa singkat. Walaupun pada awalnya banyak rancangan fizikal secara besar-besaran
seperti mewujudkan pulau baru dan tambahan pantai serta lapangan terbang
utara. Tetapi ianya terpaksa ditunda kerana kegawatan yang menyebabkan
pihak Pusat terpaksa peti sejukkan sementara projek-projek tersebut.
Persoalannya, sekiranya
Sanusi tidak berkesan dan lemah, bagaimana ahli-ahli Exco-nya dapat bersama
dengannya melaksanakannya dalam masa yang singkat? Secara rasional dan
logik pendekatan dalam pembangunan tidak bermakna kesemuanya ditumpukan
kepada fizikal yang mudah dilihat saja. Di sini Sanusi memulakan pembangunan
dengan pendekatan kaedah membangun komuniti sebagai pendahuluannya. Malah
pembangunan tanpa disedari mempunyai perancangan jangka panjang. Misalnya
dalam kes ini ia bermula dengan jentera kerajaan atau agensi-agensinya
'diminyakkan' terlebih dahulu dan kemudian diikuti dengan 'community development'.
Dalam masa yang singkat juga, Kedah berjaya memulihkan kedudukan kewangannya
sehingga dapat membayar hutang-hutang lapuknya kepada Kerajaan Pusat. Kemajuan
yang dibawa oleh Sanusi memperlihatkan parti pembangkang hanya mahu menghentam.
Mereka 'menghentam' projek-projek fizikal pusat yang ada tetapi mereka
tidak pula mengakui polisi Sanusi yang berteraskan pembangunan rakyat.
Pada keseluruhannya, Kedah
dianggap unik daripada banyak hal. Antaranya ialah kedudukan Dr Mahathir
sebagai PM datang dari Kedah, manakala Tun Daim Zainuddin, Menteri Kewangan
juga wakil rakyat Kedah, kawasan Merbuk. Sementara Datuk Fadzil Nor pula
ahli DUN Kedah dan selaku Presiden Pas. Sanusi pula dilihat sebagai penyokong
kuat Dr Mahathir. Adakah ini dianggap simbol pertentangan antara Pas Umno
dan sebagai penentu persaingan PR nanti. Berdasarkan kepada angka dua kerusi
bagi Pas di Kedah, pihaknya memerlukan tenaga 'superman' untuk menewaskan
Umno/BN Kedah.
|