Program perpaduan antara kaum mesti ditingkatkan
Oleh: LEE LAM THYE

MALAYSIA pada hari ini, adalah satu-satunya negara yang boleh dijadikan contoh di
dunia ini bagaimana rakyat yang berbilang kaum dapat hidup bersama di dalam
kedamaian dan harmonis dan berusaha bersama-sama untuk kemajuan dan
kesejahteraan negara ini.

Sebagai sebuah negara yang mempunyai rakyat yang berbilang kaum, agama dan
bahasa, Malaysia sesungguhnya adalah negara yang sangat unik di dalam
membuktikan bagaimana kepelbagaian kita dapat disatukan dan dijana untuk
membangunkan negara.

Walaupun terdapat pegangan politik dan pandangan yang berbeza, kita dapat
menerima perbezaan tersebut dan menghormati di antara satu sama lain.

Masyarakat kita adalah masyarakat yang toleran, bertolak ansur dan
hormat-menghormati, dan kita perlu memupuk dan mengeratkan lagi persefahaman
dan kepercayaan di antara kaum di negara ini.

Setelah mencapai kemerdekaan lebih dari 41 tahun yang lalu, kita harus meneruskan
dengan lebih gigih lagi usaha membangunkan negara yang berbilang kaum ini ke arah
negara Malaysia yang bersatu dengan semangat senegara senasib dan masa hadapan
bersama.

Salah satu dari cabaran yang paling besar digariskan di dalam Wawasan 2020 ialah
bagaimana hendak membangunkan negara Malaysia bersatu ''Satu negara yang aman,
bersatu padu di antara wilayah dan kaum-kaum di dalamnya, hidup di dalam harmoni
dengan perkongsian penuh dan adil, dan terdiri dari satu 'Bangsa Malaysia' yang taat
dan setia kepada negara ini''.

Persefahaman dan perpaduan adalah sangat penting dan merupakan faktor utama
kejayaan Malaysia. Sama ada Malaysia akan menjadi sebuah negara maju menjelang
tahun 2020 bergantung kepada beberapa faktor, dan yang terpenting adalah
persefahaman dan perpaduan di kalangan rakyatnya.

Oleh yang demikian persefahaman dan perpaduan perlu dijadikan asas kepada semua
aktiviti oleh semua sektor di dalam negara ini. Rakyat perlu memahami peranan dan
sumbangan mereka terhadap perpaduan negara yang merupakan tonggak asas
pembangunan negara. Pembangunan negara tidak akan bermakna tanpa
persefahaman, harmonis, tolak ansur dan kepercayaan di kalangan rakyat yang
berbilang kaum.

Sifat perkauman dan pertentangan yang serupa adalah merupakan penghalang yang
besar terhadap perpaduan negara dan setiap rakyat Malaysia hendaklah bertekad
untuk memerangi sifat perkauman ini sama seperti kita memerangi ancaman dari
penyalahgunaan dadah.

Proses untuk membangunkan sebuah negara Malaysia yang bersatu adalah proses
yang berterusan dan apa yang telah kita capai setakat ini hendaklah dipelihara dan
dibajai supaya lebih subur.

Supaya proses itu tidak cacat atau cela maka para pemimpin, perancang dan
pelaksana rancangan hendaklah komited terhadap prinsip bahawa pemikiran dan
amalan mereka selalu berpandukan dan ditentukan oleh peraturan dan tata amalan
Rukun Negara dan kemuliaan Perlembagaan Negara.

Semua rancangan untuk pembangunan, perindustrian dan pemulihan (terhadap
ketidakseimbangan) sosial hanya akan memberi makna sekiranya ia digubah dengan
semangat untuk mencapai perpaduan negara.

Program-program yang dirancang untuk rakyat hendaklah terus digubah dengan
tujuan untuk memupuk dan menyemai semangat perpaduan dan kecintaan serta
ketaatan kepada negara, dan kebanggaan menjadi rakyat Malaysia. Semangat
patriotik (cintakan tanah air) hendaklah sentiasa dipupuk dan dibajai. Dan rakyat
hendaklah terus mengeratkan perpaduan kaum dan toleransi terhadap kepercayaan
(agama) masing-masing pada semua peringkat.

Apabila kita menyambut satu lagi tahun kemerdekaan dan bersedia untuk memasuki
alaf baru, usaha untuk menjadikan Wawasan 2020 satu kenyataan menghadapi
cabaran yang lebih besar kepada semua rakyat Malaysia, terutamanya golongan muda
yang akan menjadi pemimpin negara di masa hadapan.

Walau bagaimanapun saya ingin memberi pandangan di sini bahawa laungan slogan
Wawasan 2020 sahaja tidak memadai untuk mencapai hasrat yang terkandung di
dalam wawasan tersebut. Begitu juga nyanyian lagu-lagu patriotik juga tidak akan
dapat membantu.

Apa yang diperlukan ialah disiplin, kerja kuat, kecekapan, inovasi dan semangat untuk
melakukan yang terbaik oleh semua rakyat Malaysia tanpa mengira bangsa kerana
inilah faktor yang akan memastikan kejayaan dan mendatangkan hasil.

Saya percaya Wawasan 2020 boleh dicapai, tetapi hanya dengan semangat
perpaduan dan bekerjasama tanpa batasan, dan disiplin yang kuat di kalangan tiga
pihak yang berkenaan iaitu kerajaan, sektor swasta dan rakyat jelata - berpegangan
tangan bekerjasama untuk mencapai hasrat yang sama.

Pihak kerajaan perlulah komited terhadap tanggungjawab sosial untuk bersikap adil
dan toleran, dan komited terhadap masyarakat yang bermoral dan beretika, dan yang
bebas dari rasuah dan penyalahgunaan kuasa.

Dan kepada pihak swasta pula, mereka perlulah komited terhadap tanggungjawab
korporat dengan pentadbiran korporat yang baik di samping memberikan sumbangan
sosial kepada negara, sebagai warganegara korporat yang bertanggungjawab.

Kepada rakyat pula, mereka perlu mempunyai semangat kebangsaan dan patriotik,
bersedia membawa pembaharuan, tekun dan sentiasa bersedia untuk menyumbangkan
yang terbaik di dalam bidang masing-masing sebagai sumbangan kepada
pembangunan negara.

Pada tahun-tahun yang akan datang, pewujudan dan pemeliharaan perpaduan negara
perlu diberikan keutamaan yang paling tinggi kerana perpaduan sangat penting untuk
memastikan pertumbuhan Malaysia sebagai negara yang selamat, aman, progresif dan
bersatu.

Komitmen sepenuhnya adalah perlu dari kerajaan, pem-bangkang dan setiap rakyat
Malaysia, termasuk pelbagai kesatuan, untuk terus berusaha kepada perpaduan
negara dan pembangunan sebuah negara Malaysia dengan satu bangsa Malaysia yang
boleh kita banggakan.

LEE LAM THYE adalah seorang aktivis sosial.