Bagaimanapun, untuk mengatakan media di sini terlalu berminat dengan perjalanan kes perbicaraan paling panjang dalam sejarah Malaysia itu mungkin kurang tepat. Ini kerana tumpuan yang diberikan sebenarnya bukanlah terhadap perbicaraan berkenaan, malah lebih menjurus kepada orang yang dibicarakan. Tidak hairanlah jika apa saja yang dikatakan tertuduh - dalam kes ini Anwar - sentiasa disiarkan sebagai bahan utama manakala butiran hujah pihak pembela dan pendakwa di mahkamah langsung tidak mendapat perhatian.
Sesuatu yang dapat dilihat dalam meneliti laporan media di sini berhubung kes itu ialah sikap biadap mereka terhadap Malaysia. Membaca laporan itu, tidak keterlaluan jika kita membuat kesimpulan bahawa media di sini langsung tidak mempunyai rasa hormat terhadap sistem kehakiman dan institusi mahkamah di negara kita. Kebanyakan laporan yang ditulis, jelas boleh dikategorikan sebagai menghina mahkamah malah pada satu ketika, sebuah akhbar menyiarkan ramalannya mengenai keputusan mahkamah terhadap Anwar!
Sebenarnya minat mendalam yang diberikan media asing khususnya di sini terhadap Anwar bukanlah sesuatu yang pelik tetapi yang aneh ialah mengapa wujud kecenderungan untuk mereka mempertikaikan kredibiliti sistem undang-undang di Malaysia yang secara jelas diambil dan disesuaikan daripada sistem yang diterima pakai di sini. Pelbagai tuduhan dilemparkan terhadap bukan satu atau dua institusi dan tokoh politik tetapi semuanya dibuat tanpa sokongan bukti atau hujah yang cukup kuat untuk menyokongnya.
Berbeza dengan slogan kewartawanan berwibawa yang dilaungkan media di sini, tahap profesionalisme dan kredibiliti mereka sering boleh dipertikaikan. Bukanlah kita berpendirian bahawa Malaysia tidak boleh dikritik tetapi jika setiap sesuatu yang dilakukan berhubung kes Anwar dianggap salah, di mana logiknya kritikan itu? Di sebalik kritikan membina yang kita harapkan, apa yang dicanangkan media di sini lebih menjurus kepada tohmahan yang didorong nafsu jahat untuk melihat kemakmuran tanahair kita hancur.
Sesuatu yang mungkin sukar difahami sesiapa dalam perkara ini adalah bagaimana media asing boleh terdorong untuk melaporkan kes perbicaraan Anwar daripada perspektif berat sebelah. Rencana dan artikel yang disiarkan tidak pernah mengupas persoalan mengenai rasional di sebalik kes berkenaan, sebaliknya semuanya ditulis dengan tanggapan bahawa berlaku suatu penganiayaan terhadap yang tertuduh.
Anehnya, bagaimana semua institusi media di sini, atau mungkin di negara asing lain, boleh mempunyai pendirian yang sama serta serupa berhubung kes ini. Membuktikan pendapat sedemikian sebenarnya tidak sukar. Dalam setiap laporan yang disiarkan, sikap berat sebelah media asing amat ketara sekali. Tiada yang melaporkan kes itu secara objektif. Yang jelas, di setiap ruang, peluang untuk menghentam Malaysia dengan pelbagai tuduhan, dipergunakan sepenuhnya sehingga tiada langsung wujud forum untuk mengajak masyarakat pembaca menilai dan membuat keputusan sendiri mengenai sejauh mana benar atau palsunya dakwaan atau tuduhan yang diketengahkan mereka.
Tidak cukup dengan apa yang berlaku diperbesar-besarkan, ia ditambah pula dengan tuduhan dan tohmahan yang tidak disokong sebarang bukti atau penjelasan. Contoh yang baik bagi perkara ini ialah ketika hari Mahkamah menjatuhkan hukuman terhadap Anwar, apa yang dilaporkan media di sini ialah kenyataan beliau mencaci-cela institusi mahkamah di Malaysia manakala kesimpulan yang dibacakan oleh Hakin, Datuk Augustine Paul, langsung tidak mendapat tempat.
Kenyataan daripada pihak pendakwa juga langsung diketepikan manakala suara tidak puas hati pembela kononnya hukuman yang dikenakan itu keterlaluan dicetak dengan huruf tebal. Melihat kepada momentum dan minat tinggi yang ditunjukkan media di sini terhadap isu itu, besar kemungkinan ia akan terus mengisi halaman akhbar dan segmen berita untuk beberapa ketika lagi.
Namun, persoalan besar yang masih menghantui kebanyakan pemerhati yang bersifat berkecuali di sini ialah apakah punca sehingga dalam kes ini, media asing amat bersatu hati untuk mempertikaikan apa saja yang dilakukan Malaysia. Mereka masih tertanya-tanya adakah ia ada kena-mengena dengan sistem mahkamah, tokoh politik tertentu atau tertuduh yang kini sudah didapati bersalah.