Edisi Bahasa Malaysia
 
MELAYU PATUT HARGAI PENGIKTIRAFAN KAUM LAIN

APABILA kaum Cina dan India di negara kita menzahirkan rasa bimbang tentang pergolakan perpaduan Melayu sejak akhir-akhir ini akibat kegelojohan parti-parti pembangkang yang mahukan kuasa, ia seharusnya menampilkan satu kesedaran iaitu semua bangsa utama yang menjadi komponen masyarakat negara ini masih memerlukan kepimpinan Melayu.

Ini juga bererti kepimpinan Melayu terus relevan dalam mencorak keamanan dan kedamaian antara kaum selain daripada mengemudi pembangunan negara ke tahap yang lebih tinggi.

Seseorang yang waras akan melihat hakikat ini dan rasa bimbang yang disuarakan sesungguhnya adalah mesej jelas bahawa 'role model' yang dimainkan oleh bangsa Melayu selama ini beresipikan kesabaran dan tolak ansur adalah baik, berkesan dan perlu dikekalkan.

Dengan lain perkataan, kaum-kaum utama di negara ini mahukan kepimpinan Melayu terus menjadi sumber inspirasi dan pembimbing mencapai kecemerlangan politik, ekonomi dan pembangunan negara.

Tetapi persoalan yang perlu ditanya bagi menghentak minda kita ialah adakah Melayu sedar pengiktirafan dan harapan bangsa lain terhadap kepimpinan bangsanya sendiri? Dalam senario politik yang ada hari ini, Melayu yang waras pemikiran dapat merasakan bangsa mereka tidak dapat merasakan penghormatan itu dan tidak sedar bangsa sendiri telah 'berdiri tinggi' di samping mempunyai jati diri di kaca mata bangsa
lain di negara ini.

Walaupun mereka celik segalanya tetapi tindak-tanduk yang ada hari ini seperti mencerca bangsa sendiri, mengkafir bangsa seagama, menghina kepimpinan bangsa sendiri, memperkecilkan usaha memajukan ekonomi dan memperlekeh pembangunan negara menampilkan satu gambaran: Persis buta minda dan tiada cahaya keimanan di
hati.

Segala tindak-tanduk mereka menjurus ke arah merebut kuasa dan kerana itu sanggup menggadai apa sahaja bagi menghalalkan segalanya demi mencapai matlamat perjuangan.

Mereka tidak sedar usaha mereka itu akan menghancurkan ketuanan Melayu, mereka lupa kekuatan yang menjadi sebab Melayu masih wujud hari ini hanya terletak kepada kekuatan politik setelah tenaga ekonomi kita luntur dan kecemerlangan pendidikan susut.

Kebimbangan yang dizahirkan oleh kaum lain terhadap percakaran Melayu hari ini harus dijadikan titik tolak kesedaran supaya Melayu tidak menghampakan harapan kaum-kaum lain yang mahu Melayu terus memimpin.

Ungkapan Presiden Gerakan, Datuk Seri Dr. Lim Keng Yaik bahawa kaum lain memerhati percakaran Melayu dengan rasa bimbang harus dijadikan kata pemutus menamatkan pergolakan kerana keadaan itu, jika berterusan, boleh menjurus kepada suasana politik yang berbahaya terutama dalam negara pelbagai kaum seperti
Malaysia.

Walaupun bangsa Melayu tahu percakaran sebangsa 'tidak ke mana' dan selepas musim pilihan raya, suhu semangat dan suhu keghairahan akan susut, tetapi apa yang kita bimbangkan ialah soal hakisan keyakinan dan 'keracunan minda' yang telah ditanam di kalangan generasi muda akan memutik dan kembali merosakkan perpaduan di kemudian hari.

Untuk itu, amat penting pihak berwajib membanteras segala sumber penyebar unsur dan bibit-bibit perpecahan walaupun kita yakin bangsa Melayu akan kembali bersatu apabila kefahaman tentang motif politik pembangkang diketahui dengan mendalam.