Oleh A Samad Ismail
AKHBAR ini pada Jumaat, 8 Oktober lalu menyiarkan kenyataan bekas Menteri
Besar Selangor dan
Ketua Pemuda Umno, Datuk Harun Idris menafikan bahawa beliau serta pemimpin
Umno menjadi
'perancang' rusuhan yang berlaku pada 13 Mei 1969.
Menurut laporan itu, Marina Yusof dari Parti keadilan membuat tuduhan itu
pada majlis menyambut
kepulangan Lim Guan Eng di Bukit Mertajam pada 29 September lalu.
Akhbar ini dua hari sebelum itu memetik Marina sebagai berkata, "Saya nak
cakap pada orang Melayu,
Cina dan India ... punca 13 Mei dimulakan oleh Umno. Masa itu dirancang
oleh pemimpin Umno dan
Selangor diketuai oleh Datuk Harun.
"Jadi orang Cina jangan ingat dia sokong Barisan bagus kerana dulu orang
Umno dalam Barisan yang
membunuh Cina".
Kita tidak tahu apakah ada akhbar lain yang menyiarkan kenyataan Marina
itu (Utusan menyiarkan
kenyataan Marina dan penafian Datuk Harun pada Sabtu, 9 Oktober). Ucapan
itu dibuat pada 29
September lalu. Atau adakah tersiar ulasan serta pendapat pihak lain terhadap
kenyataan Marina itu.
Datuk Harun sudah mengulas kenyataan itu agak kena pada tempatnya kerana
kenyataan Marina itu
secara langsung membabitkan beliau sebagai dalang dalam peristiwa 13 Mei
1969. Harun menafikan
dakwaan itu.
Kebetulan pada masa itu saya berkhidmat di Straits Times Kuala Lumpur sebagai
pengarang. Saya ikut
membuat liputan berita sekitar rusuhan itu menyaksikan sendiri rumah dan
kedai di tengah bandar di bakar
oleh perusuh, mengikut 'konboi' polis meronda tempat sensitif.
Mengenai peristiwa 13 Mei, pada ingatan saya hanya Tunku Abdul Rahman yang
sudah menulis
riwayatnya. Tunku mempersalahkan anasir komunis yang menghasut pertumpahan
darah itu.
Bagi diri saya yang mengikuti kempen pilihan raya itu dari dekat, punca
paling besar rusuhan ialah kempen
pilihan raya bercorak perkauman. Saya masih ingat seorang pemimpin pembangkang
dalam satu rapat
umum ketika mengulas kedudukan bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi, berteriak
kepada pengikutnya
dari atas podium tempat dia berucap, "Kali ini kalau kita menang, kita
nanti suruh orang-orang Melayu
belajar bahasa Cina". Sudah tentu ucapan seperti itu saya tidak siarkan
tetapi banyaklah ucapan berbau
perkauman dituju untuk membangkitkan kemarahan satu-satu pihak.
Ucapan demikian bukan hanya dilakukan tokoh politik Cina malah dilakukan
juga oleh tokoh Melayu.
Apabila hari membuang undi hampir tiba, suasana semakin tegang. Pengikut
parti pembangkang
seolah-olah dapat berasa kali ini mereka akan menang. Keadaan itu tercermin
tingkah laku mereka.
Bahkan di pejabat akhbar Straits Times saya dapat melihat pemberita Cina
begitu riang dan gembira
setiap kali diumumkan melalui televisyen berita kemenangan calon pembangkang.
Jelas Perikatan
mendapat pukulan teruk kali ini, fikir saya. Saya hanya dapat menasihatkan
masing-masing tidak 'melatah'
atau lupa mereka adalah wartawan yang tugas mereka tidak berat kepada mana-mana
pihak.
Tetapi suasana bertambah tegang hinggalah pada hari keputusan diumumkan.
Umno tidak kalah tetapi
jumlah kerusinya merosot. Bagaimanapun di pihak pembangkang, pengikut mulai
berpesta, berarak
keliling kereta dan mengejek orang Melayu supaya 'balik kampung'. Umno
memutus untuk mengadakan
perayaan juga dan keadaan semakin tegang sehingga tidak terkawal.
Maka berlakulah apa yang kita katakan sebagai peristiwa 13 Mei, satu lembaran
jelik dalam sejarah
hubungan kaum di negara ini. Kita jarang memperkatakan peristiwa itu yang
bagi kita satu peristiwa besar
ertinya sebagai peristiwa yang kita sekelian berazam tidak membiarkan ia
berulang. Kita jarang menyebut
peristiwa itu kecuali untuk mengingatkan generasi sekarang tingginya nilai
hubungan kaum dan
keharmonian etnik untuk membangun negara pada masa depan.
Tetapi mengapakah ia dibangkitkan semula sekarang?
Kalau kita baca penerbitan parti pembangkang ketika ini, peristiwa 13 Mei
ditonjol untuk menunjukkan
pemimpin kita pada masa itu sanggup melaga-lagakan kaum untuk mempertahankan
kuasa politik.
Keluaran Keadilan baru-baru ini menyingkap kembali peristiwa 13 Mei sebagai
satu lagi contoh
'pembunuhan politik'.
Antara peristiwa yang dibongkar kembali untuk menunjukkan adanya budaya
pembunuhan politik di
negara ini ialah peristiwa Datuk Mokhtar Hashim dan Allahyarham Datuk Taha,
bekas speaker Dewan
Undangan Negeri di Negeri Sembilan. Mokhtar kemudian diadili dan dijatuhi
hukuman penjara kerana
didapati bersalah. Kata Keadilan, "Kes ini menunjukkan ada budaya pembunuhan
dalam politik Umno.
Memang bukan kerajaan yang terbabit tetapi pihak-pihak yang terbabit itu
adalah orang-orang dalam
kerajaan".
Keadilan menyingkap kembali kematian pemimpin Pas, Prof Zulkifli Mohamad
pada 1960-an. Keadilan
menuduh kematian Prof Zulkifli 'dipercayai berpunca daripada perancangan
politik anasir tertentu dalam
Umno yang mahu melihat tokoh Pas yang lantang dan berani itu terbunuh".
Selain itu, Keadilan mendakwa kematian bekas Presiden Pas, Dr Burhanuddin
al Helmy dirancang secara
perlahan ketika beliau dalam tahanan.
Dakwaan itu samar-samar tanpa bukti sahih kerana ia bergantung kepada sangkaan
buruk semata-mata
adalah berbahaya dalam erti ia boleh dipercayai oleh orang yang tidak rasional.
Perdebatan mengenai isu arsenik bekas Timbalan Perdana Menteri mungkin
tidak mudah berakhir tetapi
sekalipun perkara itu masih menjadi perbincangan, mudah-mudahan ia tidak
membawa kita membuat
tuduhan yang bukan-bukan.
Harapan kita ialah kes Datuk Seri Anwar Ibrahim dapat diselenggarakan terus
dalam keadaan selesa
tanpa gangguan mana-mana pihak yang tidak berkepentingan.