Edisi Bahasa Malaysia
 
 

        Mengeratkan kesatuan ummah

        Oleh Engku Ahmad Zaki Engku Alwi

        Umat Islam terdahulu sudah melakarkan sejarah kegemilangan dan kecemerlangan dalam pelbagai bidang
        kehidupan di dunia, lantaran mereka berpegang teguh kepada ajaran Islam yang dibawa oleh Rasulullah.
        Hasilnya mereka mampu bertahan mengharungi arus dan menongkah ombak, menyebarkan Islam ke
        seluruh dunia hingga Islam gah di persada dunia ketika itu.

        Apabila umat Islam mula meminggirkan Islam daripada realiti kehidupan, takhta kegemilangan dan
        kecemerlangan mula menyisihkan diri daripada genggaman umat Islam. Akhirnya umat Islam mula
        menghadapi kemelut kemunduran dan kedaifan yang melemahkan mereka dalam setiap lapangan hidup di
        dunia. Sejak itu, umat Islam mula mudah ditindas dan diperkotak-katikkan oleh musuh Islam yang
        mengambil kesempatan di atas kelemahan umat Islam.

        Sejak akhir-akhir ini, kedengaran suara kembali kepada Islam dan gelombang kesedaran Islam mula
        menghembus di setiap sudut bumi ciptaan Allah. Mulalah umat Islam meraba-raba mengimbau kembali
        detik kegemilangan umat Islam terdahulu untuk disimpulkan segala penawar dan jalan keluar daripada
        kemelut yang meruncing ini. Umat Islam mula menginsafi dan menyedari punca kejatuhan mereka dari
        puncak kegemilangan yang pernah terpahat dalam lipatan sejarah kemanusiaan sejagat.

        Sebenarnya apabila ditinjau di dalam al-Quran dan sirah Rasulullah tersirat segala jawapan dan jalan
        penyelesaian yang bakal mengembalikan semula takhta kegemilangan umat Islam yang tercalar.

        Dr Ahmad Amin memberi beberapa sebab kemunduran Islam di dalam bukunya "Islam Sepanjang
        Zaman". Antara sebabnya ialah umat Islam tidak lagi mengamalkan segala ajaran Islam seperti yang
        dibawa oleh Rasulullah. Ajaran Islam yang memberi mereka roh kekuatan dan semangat waja dalam
        kehidupan mereka, tetapi sayangnya ajaran Islam hanya menjadi bentuk lahir saja tanpa sebarang roh di
        dalamnya. Solat, ibadat puasa, zakat dan haji adalah ibadat lahir dan tidak ada jiwanya lagi.

        Menyedari hakikat ini, umat Islam perlu kembali berpegang teguh kepada ajaran Islam secara keseluruhan
        sebagaimana yang dibawa oleh Rasulullah yang mana baginda pernah berpesan dalam sabdanya: "Aku
        tinggalkan kepada kamu dua perkara, jika kamu berpegang teguh kepada kedua-duanya kamu tidak akan
        sesat buat selama-lamanya; iaitu Kitab Allah dan Sunnah Rasul-Nya." (Abu Daud).

        Sehubungan itu, Allah juga berfirman dalam surah al-Baqarah, ayat 208: "Wahai orang yang beriman!
        Masuklah kamu ke dalam agama Islam (dengan mematuhi) segala hukum-hakamnya; dan janganlah kamu
        menurut jejak langkah syaitan. Sesungguhnya syaitan itu musuh bagi kamu yang terang nyata. Jadi, ini
        bermakna Islam bukan hanya sekadar laungan kosong atau slogan indah yang menyejukkan pandangan
        mata, malah Islam menuntut lebih daripada itu.

        Kita perlu menghayati secara mendalam segala ajaran Islam dan seterusnya menterjemahnya ke alam
        realiti kehidupan. Dengan cara itu, barulah Islam dapat memancarkan sinaran kekuatan dalam diri
        pendukung Islam dan terus mencipta kejayaan dan keunggulan ummah yang pernah terukir sebelum ini.

        Di samping itu, apabila mengimbas kembali sejarah perjalanan hidup Rasulullah terutama setibanya
        baginda ke Madinah Al-Munawarah, langkah pertama yang diambil oleh baginda ialah mewujudkan
        jalinan ukhuwah Islamiah di kalangan Muhajirin dan Ansar sehingga terbentuk sebuah masyarakat Islam
        yang bersatu padu mendukung sebuah pemerintahan Islam yang dipimpin oleh baginda.

        Dengan terbentuk persaudaraan Islam yang jitu, umat Islam mula menempa kejayaan demi kejayaan
        hingga mencatatkan detik kegemilangan yang memberangsangkan. Catatan sejarah ini jelas menunjukkan
        betapa pentingnya perpaduan dan kesatuan umat Islam dalam sesebuah negara yang berdaulat.

        Di dalam al-Quran terlalu banyak seruan kepada umat Islam agar sentiasa memupuk perpaduan di
        kalangan mereka. Antaranya Allah berfirman dalam surah al-'Imran, ayat 103: "Dan, berpegang teguhlah
        kamu sekelian kepada tali Allah (agama Islam) dan janganlah kamu bercerai-berai dan kenangkanlah
        nikmat Allah kepada kamu ketika kamu bermusuh-musuhan (ketika zaman Jahiliah), lalu Allah
        menyatukan antara hati kamu (sehingga kamu bersatu padu dengan nikmat Islam), maka jadilah kamu
        dengan nikmat Allah itu orang Islam bersaudara."

        Pada masa yang sama juga, Allah tidak ketinggalan memberi peringatan kepada umat Islam terhadap
        bahana perpecahan akibat permusuhan dan perbalahan yang menyelinap ke dalam perpaduan umat Islam.
        Allah memberi amaran dalam surah al- Anfal, ayat 46: "Dan, taatlah kamu kepada Allah dan Rasul-Nya,
        dan janganlah kamu berbantah-bantahan; kalau tidak nescaya kamu menjadi lemah semangat dan hilang
        kekuatan kamu, dan sabarlah (menghadapi segala kesukaran dengan cekal hati sesungguhnya Allah
        berserta orang yang bersabar."

        Meninjau realiti kehidupan umat Islam kini, jelaslah kelemahan dan kedaifan yang menimpa umat Islam
        adalah kerana kita saling bermusuh-musuhan sesama sendiri, padahal ia perbuatan yang dilarang oleh
        syarak. Unsur keretakan dan perpecahan mula berakar-umbi dalam masyarakat Islam yang mana
        dikhuatiri unsur itu membawa kehancuran kepada umat Islam.

        Oleh itu, Islam menganggap persaudaraan adalah ciri-ciri orang yang beriman kepada Allah. Di dalam
        surah al-Hujurat, ayat 10, Allah berfirman: "Sesungguhnya orang yang beriman itu bersaudara, maka
        damaikanlah antara saudara kamu dan bertakwalah kamu kepada Allah agar kamu diberi rahmat."

        Kaum Ansar adalah golongan perintis yang mengamalkan ajaran Islam yang mana mereka sanggup
        mengorbankan segala yang ada pada mereka untuk diberikan kepada saudara mereka, kaum Muhajirin
        yang meninggalkan kampung halaman semata-mata kerana Allah. Diriwayatkan bahawa apabila kaum
        Muhajirin tiba di Madinah, Rasulullah terus mempersaudarakan Abdul Rahman 'Auf dengan Sa'ad Rabi'.

        Maka Sa'ad pun berkata kepada Abdul Rahman: "Aku daripada golongan berada di kalangan kaum
        Ansar, jadi marilah kita berkongsi sama-rata hartaku ini, aku juga memiliki dua isteri, maka pilihlah salah
        seorang isteriku yang kamu berkenan, aku akan ceraikannya dan kamu kahwinlah dengannya."

        Tetapi Abdul Rahman menolak pelawaan dan cadangan saudaranya dengan lembut, lalu berkata:
        "Semoga Allah memberkati anggota keluarga dan harta kamu. Cuba tunjukkan aku di mana pasar?
        Mereka menunjukkan arah ke pasar Qainuqa' dan beliau tidak pulang melainkan beliau membawa pulang
        bersama hasil keuntungan daripada jualannya." (Bukhari).

        Sehubungan itu, umat Islam sewajarnya memupuk unsur yang membawa kepada perpaduan dan kesatuan
        ummah seperti bersaudara atas dasar Islam, berkasih sayang, saling nasihat-menasihati, bantu -membantu
        dan saling ziarah-menziarahi bagi mengukuhkan perpaduan dan mengeratkan kesatuan ummah yang
        termetri. Ini amat penting bagi umat Islam, lebih-lebih lagi kita berada di ambang alaf baru yang menuntut
        lebih banyak persediaan dan kesungguhan umat Islam dalam menobatkan kembali kegemilangan dan
        keunggulan dalam segala aspek kehidupan.

        Pada masa yang sama, umat Islam mesti disemaikan perasaan bertolak ansur dan mengetepikan segala
        perbezaan pendapat yang remeh-temeh yang merugikan umat. Sesungguhnya perbezaan pendapat adalah
        satu rahmat daripada Islam yang bersifat anjal dan bertolak-ansur di sepanjang masa dan tempat.
        Hapuskan sifat permusuhan dan dendam kesumat sesama Islam kerana ia boleh menghakis kestabilan dan
        kerukunan negara.

        Tidak ada penawar dan jalan keluar daripada kemelut yang membelenggu melainkan kita kembali kepada
        Islam yang fitrah dan seterusnya kita menghayatinya dan mengaplikasinya dalam realiti kehidupan iaitu
        mengamalkan segala ajaran Islam dan memelihara perpaduan ummah yang menjadi harta terpenting
        kepada kestabilan dan kegemilangan negara Islam.