Edisi Bahasa Malaysia
 
        Meniti sejarah perjuangan kemerdekaan negara

        Oleh Mahadzir Mohd Khir

        TIADA siapa yang menjangka lambaian dan pekikan "Merdeka, Merdeka, Merdeka" oleh Tunku Abdul
        Rahman bermula dari Kota Melaka dan kemudian di Stadium Merdeka pada 31 Ogos 1957 adalah satu
        realiti. Pada pagi itu juga hujan begitu lebat. Acara ditunda sementara. Apabila hujan teduh, upacara
        penyerahan kuasa diteruskan. Tunku bagi pihak seluruh rakyat Tanah Melayu mengisytiharkan
        kemerdekaan.

        Bermula dari situ, pada 1963 pula, tiga wilayah iaitu Singapura, Sabah dan Sarawak sama-sama merdeka
        untuk bergabung dengan Persekutuan Tanah Melayu dalam satu keluarga yang lebih besar. Dua tahun
        kemudian (1965) Singapura tersingkir dari Malaysia.

        Bayangkan suasana kehidupan pada 1950-an dan awal 1960-an, segala-galanya serba daif. Keganasan
        komunis, satu pengalaman pahit. Bagi mereka dalam lingkungan umur lewat 50-an dan 60-an, tentu tidak
        lupa kawasan hitam, kawat berduri, nasi kawah, perintah berkurung dan anak-anak pegawai keselamatan
        (polis dan tentera) menjadi yatim. Ramai yang terbunuh kerana menjadi mangsa pengganas komunis.
        Penderitaan hidup ketika itu seolah-olah tidak ada penghujungnya. Negara baru saja merdeka.

        'Kesesakan nafas' untuk terus menyambung hidup bagaikan bergelut dalam lumpur. Keadaan hidup
        memang menepati pepatah Melayu 'kais pagi makan pagi, kais petang makan petang'. Pertanyaan mula
        dibangkitkan, apa beza sebelum dan selepas merdeka. Kedua-duanya hampir sama. Teriakan merdeka
        tidak mengubah nasib kita.

        Malah, ada juga yang berkata, lebih baik terus berada di bawah penjajah British kerana segala-galanya
        terjaga. Semua mahukan perubahan dalam sekelip mata. Perkataan merdeka dianggap sebagai satu
        ungkapan yang penuh dengan magis yang boleh merubah segala-galanya tanpa usaha. Ia dianggap sebagai
        jampi yang boleh mengubati segala macam penyakit. Mungkin ramai yang tidak terfikir dan faham, luka
        parah serta kerosakan yang dilakukan oleh kolonialisme sukar dipulih dalam masa singkat.

        Ekonomi yang terbentuk dalam zaman kolonial British, mempunyai pendekatan 'pasaran ekonomi', dan
        hampir semua bahan-bahan mentah yang dikeluarkan dieksport keluar negara. Tetapi segala perolehan
        dan keuntungan, sebahagian besarnya adalah milik syarikat-syarikat gergasi British seperti Harrison
        Crossfield, Sime Darby, Anglo Oriental, Fraser and Neave, Dunlop, Guthrie, Chartered Bank, Hong
        Kong and Shanghai Bank dan sebagainya. Semua nama British dan baunya pun British. Tanah dan titik
        peluh kita yang punya, modal dan untung British punya. Siapa yang tahu berapa ramai yang mati diserang
        pelbagai penyakit tropika tanpa mendapat rawatan secukupnya. Segala macam demam diubati dengan
        `aspro', hanya itu saja yang boleh dilakukan. Sebilangan kecil saja mendapat rawatan di bandar-bandar
        besar dengan hospital yang amat terhad.

        Bagi kolonial British, perancangan sosial sememangnya tidak ada. Semua dilakukan menurut keadaan dan
        jika ada permintaan. Sementara perancangan dan kegiatan raksasa ekonomi boleh diadakan kerana
        keuntungan maksimum dapat diperolehi dengan kos minimum. Program sosial bukan dalam agenda, selagi
        keadaan terkawal, selagi itu tindakan tidak perlu diambil. Masyarakat majmuk terbentuk, masing-masing
        hidup berdampingan tetapi berasingan dalam kehidupan harian. Usaha untuk terus memperkukuhkan sifat
        kemajuan diperkukuhkan. Harapan kolonial untuk sentiasa melihat setiap kaum bergantung kepada
        undang-undang dan orde kekuatan kolonial. Asalkan ada orde, ia tidak akan menjejaskan 'pemerintahan
        British'.

        Orang Melayu, dalam masyarakat majmuk pembentukan British, terus terpinggir. Secara kasar,
        sememangnya British menjalankan 'pembangunan'. Getah jadi komiditi utama. Orang Melayu, walaupun
        terbabit dalam penanaman getah, tetapi secara kecil-kecilan. Mereka bukan pengusaha getah, tetapi
        pekebun kecil getah, mereka juga penanam padi, tetapi bukan usahawan padi. Taraf pendidikan juga
        amat rendah, hanya sekadar boleh membaca, menulis dan mengira. Tetapi, kebanyakannya masih buta
        huruf. Jika berpendidikan tinggi tentu mereka akan menjadi terbuka dan terlalu sedar. Bagi kolonial
        British, biarlah mereka (Melayu) terus dibuai angin tropika.

        Keadaan masyarakat Melayu yang menjadi tunjang kepada seluruh warga Malaysia, menjadi bertambah
        buruk dalam serba serbi. Mereka tiada mempunyai 'ratu adil' untuk datang menyelamatkan mereka.
        Mereka terus 'bersendirian' dan tinggal dalam 'kesepian' dalam zaman kolonial British. Akhirnya Perang
        Jepun dan rancangan Malayan Union kemudiannya membenihkan satu kesedaran. Satu kesedaran untuk
        bersatu. Dengan kesedaran itu wujudnya Umno. Tiada kelompok Melayu Utara, Selatan, Timur atau
        Barat. Semuanya bersama dengan satu tujuan iaitu untuk mendapatkan kuasa politik, demi kebaikan
        bersama.

        Daripada anti-Malayan Union kita berusaha mendapatkan kemerdekaan. Dalam tempoh 42 tahun
        merdeka, banyak yang sudah dicapai. Antaranya perubahan masyarakat majmuk kepada masyarakat
        nasional. Ini semuanya berlaku kerana adanya dasar, perancangan dan pelaksanaan. Ekonomi kolonial
        berubah jauh dan kini menjadi ekonomi nasional. Tiada siapa sangka laungan Merdeka kini diterjemah
        menjadi kenyataan.

        Bagi generasi muda, khususnya pasca merdeka, cerita mengenai kolonialisme dan awal merdeka, cerita
        lama. Dengan itu ia tinggal sebagai nostalgia buat mereka yang hidup di zaman itu. Ada yang menganggap
        apa perlunya dipedulikan kisah lama yang tidak ada kaitan dengan hari ini. Sementara hari esok, milik
        generasi muda. Kejayaan dan pembangunan hari ini dianggap tidak mempunyai kaitan masa lampau. Apa
        yang berlaku akan tinggal dalam buku sejarah yang kemudian akan dibaca dan dihafal untuk lulus
        peperiksaan selagi subjek sejarah diajar. Malah, ramai yang menganggap sejarah sebagai perkara yang
        sudah berlalu dan tidak mungkin berulang. Jika ramai yang beranggapan sedemikian, besar kemungkinan
        sejarah akan berulang.

        Memang ada pelbagai pandangan mengenai sejarah. Mungkin pada satu pandangan, sejarah hanya untuk
        mereka yang suka kepada cerita lama. Ini termasuk kegiatan mengumpul barang-barang antik.
        Barang-barang lama dianggap sebagai 'artifak' untuk dipamerkan di muzium dan arkib, dibincang dan
        diseminarkan. Ada pula yang secara tidak langsung dijadikan komoditi ekonomi, dimuatkan sebagai
        bahan tambahan untuk hujah di dalam kertas jawapan peperiksaan. Kelulusannya nanti akan menghasilkan
        pula sijil dan ijazah yang membolehkan seseorang mendapat ganjaran dalam kerjaya. Walaupun tujuan
        mata pelajaran sejarah wajib dalam sukatan pelajaran sekolah dengan tujuan menanam semangat
        patriotisme, tetapi kini ia lebih kepada subjek untuk lulus periksa saja yang ada kaitan dengan peluang
        menjamin ekonomi masa depan individu.

        Bahan sejarah bergantung kepada penggunanya. Seperti yang disebutkan, satu daripadanya ialah untuk
        mendapat pekerjaan. Tetapi bagi penulis sejarah pula sebagai bahan untuk mendapat keuntungan.
        Manakala, ahli politik mungkin menjadikannya bahan untuk menguatkan hujah percakapan dan
        pidato-pidati politik sebagai tarikan. Bahan-bahan sejarah juga digunakan untuk pameran dan menjadi
        sumber inspirasi kepada pelukis mengenai masa lampau. Sikap sedemikian terhadap sejarah, jika terus
        berlaku, akhirnya sejarah menjadi sesuatu yang 'negatif' dan menjadi kegunaan peribadi saja, bukan milik
        semua. Sejarah tidak menjadi 'darah daging' tetapi berasingan daripada jiwa dan roh individu.

        Sejarah juga bukan milik orang yang menempah sejarah atau pemimpin tertentu. Jika zaman kolonial
        British, bukan Swetenham saja yang menempah sejarah dan yang lain tidak ada kaitan dengan sejarah.
        Begitu juga dengan zaman Merdeka, bukan Tunku seorang yang bersejarah dan yang lain tidak. Ini boleh
        diandaikan sebagai membuat sebuah filem, yang mana kejayaan filem dianggap terletak kepada pelakon
        utama seperti hero dan heroin. Sebenarnya semua pelakon, pengarah dan juruteknik berperanan
        menjayakan sesebuah filem.

        Analogi filem boleh dikaitkan kepada sejarah. Sejarah sebenarnya ialah proses, pertumbuhan dan
        perkembangan sesuatu masyarakat. Perjalanan dari satu masa ke suatu masa berlaku dalam satu
        kesinambungan dengan penilaian untuk melihat kejayaan atau kegagalannya. Kegagalan sesuatu
        masyarakat bergantung kepada penilainya menurut kaedah tertentu. Pada masa yang sama, 'cerita-cerita'
        yang lampau akan mengesani secara psikologi pemikiran seseorang untuk menghasilkan tindakannya.
        Selanjutnya sejarah boleh dilihat sebagai sesuatu yang boleh memberi pengajaran dan kesedaran ke atas
        diri seseorang. Jika ramai yang menyedarinya, maka ia akan wujud satu kesedaran masyarakat secara
        kolektif untuk satu-satu objektif. Pada kebiasaannya ia akan membentuk suatu daya pemikiran yang
        secara sedar untuk melangkah ke depan. Dengan kata lain, hanya sejarah saja akan mewujudkan
        wawasan seseorang atau kelompok atau keseluruhnya.

        Dalam hal ini, pendekatan sejarah sebagai proses budaya nasional adalah milik semua. Ini bererti semua
        rakyat terbabit untuk membangun dan membaiki masyarakat. Sejarah adalah sesuatu yang berbentuk
        kolektif dan perlu digunakan oleh semua orang. Dari sudut psikologi ia dapat dianggap sebagai 'sejarah
        gunaan' (applied history) dalam konteks sama-sama menempah sejarah.

        Misalnya, dalam usaha menuntut dan menjayakan kemerdekaan, ia dilakukan secara kolektif. Mungkin
        Tunku dan rakan-rakan yang menjadi watak utama sebagai pendorong atau motivator dalam gerakan
        awal, tetapi ayah dan ibu kita juga sama-sama menjadi faktor sampingan untuk membina kemerdekaan.
        Begitu juga dalam zaman darurat, ramai antara saudara mara kita yang terkorban dan menggadai nyawa
        untuk mempertahan kedaulatan negara dan kesejahteraan kita hari ini. Setiap orang terbabit dalam proses
        pembentukan sejarah.

        Selama 42 tahun, kita pertahankan kemerdekaan. Dalam masa yang singkat, banyak yang sudah dicapai.
        Mungkin ada antara kita yang melihat sejarah dari pendekatan politik partisan. Itu dari satu sudut saja,
        tetapi yang penting ialah melihat perkembangan masyarakat dari satu tahap ke satu tahap dalam
        dekad-dekad yang berbeza yang banyak menghasilkan peningkatan kehidupan harian. Melihat semula
        perjalanan dari 1957 sehingga 1999, kita tidak dapat menafikan keadaan sudah berubah. Fahaman politik
        partisan bukan pertentangan atau persaingan ideologi, tetapi persaingan untuk tentukan sokongan popular.
        Apa yang terbukti ialah suara majoriti sebagai sumber asas dalam menjayakan pembangunan negara untuk
        terus kekal di alaf akan datang.