Oleh: SALLEH BUANG
TIDAK mustahil dalam sebulan dua lagi akan
terbongkar dan terdedahlah juga
akhirnya 'cerita sebenar' di sebalik enam
kotak misteri (yang dikatakan mengandungi
rahsia kerajaan) yang telah dibawa keluar
negara.
Buat masa ini spekulasi rakyat (tentang bagaimana
ia dilarikan keluar negara, oleh
siapa, dan bila) masih di tahap tinggi, selaras
dengan minat rakyat untuk mengetahui
perkembangan selanjutnya.
Mengikut satu versi, kotak misteri itu mengandungi
rahsia kerajaan (justeru itu sekali
gus tertakluk di bawah Akta Rahsia Rasmi
1972), dan disebabkan
dokumen-dokumen rahsia itu kini berada di
luar negara, timbul rasa khuatir bahawa
dokumen itu akan akhirnya terjatuh ke tangan
musuh-musuh negara.
Mengikut versi lain pula, kotak-kotak itu
sebenarnya tidak mengandungi apa-apa
rahsia kerajaan. Ia hanya mengandungi dokumen
yang boleh mendedahkan perbuatan
salah guna kuasa dan amalan rasuah di kalangan
tokoh-tokoh tertentu.
Sebagaimana terdapat pelbagai spekulasi tentang
jenis dan kandungan dokumen
dalam kotak misteri itu, timbul juga pelbagai
tanggapan, respons dan sikap di kalangan
pelbagai pemimpin dan tokoh negara.
Ada yang masih mengambil sikap terbuka, tidak
membuat sebarang prapenghakiman,
lalu menyerahkan segala-galanya kepada pihak
PDRM untuk menjalankan siasatan
selanjutnya.
Ada pula pihak lain yang mengambil pendekatan
lebih agresif - mereka ini begitu
cepat sekali menuduh Datuk Seri Anwar Ibrahim
dan penyokong-penyokongnya telah
derhaka dan khianat kepada negara.
Dan yang menarik (jika tidak lucu sama sekali)
ialah cadangan untuk menggubal satu
undang-undang baru (Akta Pengkhianat Negara
atau yang seumpama itu) untuk
menangani masalah ini, andainya ia berulang
lagi di masa depan.
Melihat ke belakang kepada apa yang telah
berlaku selama ini, dari sejak Mohamad
Ezam Mohd. Nor membuat 'pendedahannya' yang
mengejutkan awal Ogos lalu
sehingga perkembangan terkini sehari dua
lalu, hati saya bertanya apa sudah jadi
kepada masyarakat dan bangsa kita?
PDRM siasat
Minggu lalu, ekoran pendedahannya yang menggemparkan
itu, Ezam (ditemani oleh
peguamnya P. Uthayakumar) telah hadir di
Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPPK) Kuala
Lumpur untuk disoal siasat di bawah Kanun
Acara Jenayah.
Soal siasat itu ialah bagi maksud memastikan
sama ada satu kesalahan di bawah
Seksyen 8 Akta Rahsia Rasmi 1972 itu telah
dilakukan oleh pihak-pihak tertentu.
Dalam siasatan itu, khabarnya kenyataan Ezam
telah dirakam oleh Deputi Supt.
Jamaludin Abdul Majid.
Mengikut Ketua CID Bandar Raya, SAC II, Mat
Zain Ibrahim, dalam soal siasat
yang berlansung selama tiga jam pada pagi
Khamis lalu itu, Ezam telah memberi
kenyataannya secara terperinci dan telah
menjawab semua soalan yang ditujukan
kepadanya.
Di bawah Seksyen 8 akta itu, adalah menjadi
satu kesalahan bagi 'mana-mana orang'
(yang ada menyimpan apa-apa 'rahsia rasmi'
sebagaimana yang ditakrif dalam seksyen
2 akta itu) melakukan apa-apa perbuatan berikut
-
* Mengkomunikasikan, sama ada secara langsung
atau sebaliknya, maklumat atau
rahsia rasmi kepada 'mana-mana negara asing'
(any foreign country) atau kepada
mana-mana orang yang tidak berhak menerima
komunikasi itu; atau
* Menggunakan perkara yang sama bagi manfaat
mana-mana negara asing (for the
benefit of any foreign country), atau menggunakannya
dalam apa cara sekalipun
yang boleh memudaratkan keselamatan atau
ke-pentingan (prejudicial to the safety
or interests) negara ini; atau
* Terus menyimpan perkara yang sama pada hal
dia tidak berhak berbuat demikian,
atau gagal mematuhi apa-apa arahan yang sah
oleh pihak berkuasa untuk
memulangkannya; atau
* Gagal mengambil langkah yang munasabah untuk
memelihara perkara yang sama
tidak terdedah kepada, atau diketahui oleh,
orang lain.
Jika sabit kesalahan di bawah peruntukan ini,
seorang itu boleh dihukum penjara tidak
kurang dari 1 tahun dan tidak melebihi 7
tahun.
Siasat wartawan
Selain Ezam, PDRM juga khabarnya telah menemui
dan merakam kenyataan dari dua
wartawan media cetak tempatan. Menurut akhbar
The Star, dua wartawan Utusan,
Ramli Abdul Karim (dari Teluk Intan) dan
Nor Zainah Nordin (dari Ipoh) telah disoal
siasat oleh Cif Inspektor Baderuhisham Baharudin.
Kedua-dua wartawan itu disoal siasat ekoran
satu laporan polis yang dibuat oleh
Setiausha Pemuda UMNO, Zulkifli Mohd. Alwi,
di Balai Polis Brickfields pada 15
Ogos lalu.
Dalam laporan polis itu, khabarnya Pemuda
UMNO menggesa PDRM menyiasat
perkara itu untuk mengelakkan dokumen rahsia
kerajaan terjatuh ke tangan musuh
negara.
Mengikut akhbar itu lagi, kedua-dua wartawan
mereka itu telah diminta menyerahkan
dua pita rakaman ucapan Ezam, yang disampaikan
oleh anak muda itu dalam ceramah
politiknya di Kampung Gajah (pada 11 Ogos)
dan Kampung Sungai Tapah (pada 13
Ogos lalu), kepada pihak polis.
Berdepan dengan gesaan Pemuda UMNO dan pihak-pihak
lain supaya PDRM
menyiasat habis-habisan isu 6 kotak misteri
ini, saya tertarik dengan pandangan
berhemat Tan Sri Khalil Yaakob, Setiausaha
Agung UMNO dan Menteri
Penerangan, selepas beliau selesai berucap
kepada ahli Dewan Perniagaan Melayu
Perak di Ipoh tidak lama dulu.
Mengikut Khalil, kita tak perlu siasat apa
yang dikatakan oleh Ezam itu. Kalau kita
buang masa menyiasat dan menjawab segala
dakwaan dan tohmah yang orang lain
lemparkan kepada kita dari semasa ke semasa,
akhirnya kita tak ada masa untuk
menjalankan kerja kita dan melaksanakan segala
rancangan kita.
Pendirian Khalil ini tak disetujui oleh Datuk
Seri Mohamad Tajol Rasli, Menteri di
Jabatan Perdana Menteri.
Mengikut Tajol, siasatan perlu dijalankan
kerana dalam ceramah Ezam itu, ada
dakwaan bahawa antara dokumen kerajaan yang
dilarikan keluar negara itu,
sebahagiannya telah 'diberi' oleh kakitangan
kerajaan kepada Anwar.
Mengikut Tajol lagi, PDRM perlu pastikan sama
ada dakwaan Ezam ini betul, iaitu
sama ada benar atau tidak ada pegawai kerajaan
yang menyerahkan
dokumen-dokumen tersebut kepada Anwar dan
apakah betul dokumen-dokumen itu
sekarang berada di luar negara. Tajol khuatir
dokumen ini boleh jatuh kepada
anasir-anasir tertentu yang kemudian menggunakannya
untuk 'memblackmail'
orang-orang tertentu yang kini ada dalam
kerajaan.
Saya rasa antara komen terakhir (yang juga
menarik) mengenai isu enam kotak misteri
ini juga diucapkan di satu ceramah politik.
Kali ini, ceramah politik ini bukan di Perak
(seperti halnya dengan ceramah politik Ezam
dulu itu) tetapi di negara Hang Tuah
(yang mengikut roman sejarah, tak pernah
derhaka kepada Sultan).
Mengikut Datuk Rais Yatim, seorang peguam
dan pemidato, bekas Menteri Besar
dan menteri kabinet, apa juga yang telah
disebutkan oleh Ezam tidak akan
melunturkan keyakinan rakyat kepada kerajaan.
Sebaliknya, akibat pendedahan Ezam itu, kata
Rais lagi, rakyat kini sudah sedar apa
dia niat Anwar sebenarnya.
Kesimpulan yang dibuat oleh Rais mengenai
hal ini ialah apa yang dilakukan oleh
Ezam dan Anwar itu sebenarnya adalah menggali
kubur mereka sendiri.
Benar atau tidak, tepat atau tidak ramalan
Rais ini, hanya masa depan yang akan
menentukannya.