Minda Pengarang
RUSUHAN 13 Mei 1969 adalah pengalaman pahit bagi rakyat dan negara. Ia
menjadi iktibar bahawa
perpaduan dan harmoni kaum dalam apa juga keadaan, mesti dipertahankan.
Umum tahu tragedi itu
disebabkan rasa tidak puas hati menyelubungi hati nurani orang Melayu akibat
wujud jurang ekonomi
yang keterlaluan dan akibat ejekan jelek puak pembangkang yang begitu lantang
mencemarkan maruah
Melayu.
Mengimbas kembali usaha kerajaan mententeramkan ketegangan ketika itu,
jelas kalangan pemimpin
Umnolah yang sebenarnya berusaha menghentikan tragedi ngeri itu. Semua
jentera Parti Perikatan (kini
Barisan Nasional) yang ditunjangi Umno digerakkan segera bagi meredakan
peristiwa berdarah itu.
Ekoran tragedi itu, Dasar Ekonomi Baru (DEB) diwujudkan bagi memupuk semula
keyakinan rakyat
pelbagai kaum, malah merapatkan jurang perbezaan ekonomi di antara orang
Melayu, Cina dan India.
Tanpa DEB yang kini digantikan dengan Dasar Pembangunan Nasional (DPN),
kedudukan Melayu di
negara ini sudah pasti senasib dengan Melayu di negara jiran, yang ternyata
kini semakin hilang kuasa.
Sesungguhnya kedatangan 13 Mei itu tidak pernah diundang oleh sesiapa apatah
lagi dirancang. Lantaran
itu, amatlah tidak bertanggungjawab bagi seseorang selepas 30 tahun berlalu
memfitnah sesetengah
pemimpin Umno ketika itu sebagai dalang rusuhan itu. Ramai mengetahui sebabnya.
Pelbagai penyelidikan
mengenainya tidak pun menyalahkan Umno sebagai penyebabnya. Tunku Abdul
Rahman Perdana
Menteri ketika itu telah menjelaskan puncanya di dalam bukunya May 13 Before
and After dan Majlis
Tindakan Negara dengan Tun Razak Hussein sebagai Pengarah Operasinya juga
mengeluarkan laporan
lengkap mengenai tragedi itu. Sesiapa yang hendak mengetahui dengan jelas
peristiwa itu perlulah
menyingkap kembali kedua-dua buku berkenaaan.
Kita amat sedih dengan dakwaan Naib Presiden Parti Keadilan, Marina Yusof
mengenai perkara itu.
Kenyataan yang penuh muslihat dan fitnah itu langsung tidak menghargai
pejuang dan pemimpin Umno
ketika itu yang bermati-matian mempertahankan nasib bangsa. Tidak cukup
dengan mencerca pejuang
Umno yang sudah pulang ke rahmatullah dan menghiris hati veteran Umno yang
masih hidup dengan
mengaitkan peristiwa hitam itu, Marina menyalahkan pula pasukan polis kononnya
bertanggungjawab
mengeluarkan permit kepada Umno bagi mengadakan perhimpunan dan perarakan
ketika itu. Marina
seolah-olah cuba menggambarkan polis dan pemimpin Umno awal-awal lagi berpakat
agar huru-hara itu
berlaku bagi membolehkan orang Melayu membunuh kaum lain. Lebih jelek lagi
tuduhan beratnya itu
sengaja dibuatnya di hadapan khalayak Cina. Apa muslihatnya?
Tuduhan Marina itu adalah satu yang amat berat dan boleh mengancam keselamatan
negara dan rakyat.
Marina ternyata tidak memahami sejarah atau pun sengaja menafikan fakta
tragedi itu untuk menimbulkan
isu perkauman, seterusnya menyalakan semula api kemarahan bagi mencetuskan
ketegangan kaum di
Malaysia. Marina mahu parut yang tinggal ditoreh semula agar menjadi luka
yang lebih dalam dan
berdarah kembali. Namun, tidak sukar untuk kita meneka mengapa Marina sanggup
membuat dakwaan
itu. Parti Keadilan kini sudah terdesak dan cuba meraih simpati kaum Cina
dengan apa cara sekali pun
walaupun terpaksa membelakangkan soal perpaduan dan keharmonian kaum. Dakwaan
Umno dan polis
adalah penyebab kejadian 13 Mei 1969 bertujuan meminta orang bukan Melayu
menyokong parti
alternatif yang kononnya bakal menjanjikan keselamatan lebih terjamin daripada
apa yang ada sekarang.
Rakyat yang cintakan keamanan dan kesejahteraan pasti tidak mahu episod
yang menakutkan itu berulang
ketika negara sedang menuju alaf baru untuk merealisasikan Wawasan 2020.
Malah, rakyat amat
berterima kasih dan menyanjung Parti Perikatan dan Umno yang bertindak
secara bijaksana dan pantas
sehinggakan selepas itu tidak lagi pernah berlaku rusuhan kecuali bila
mana wujudnya apa yang dipanggil
sebagai barisan alternatif sekarang.
Tindakan polis ketika tragedi itu hanya atas dasar menjalankan tugas yang
diamanahkan. Polis ketika itu
telah bertindak dengan bijaksana untuk menjamin keamanan. Sebagai seorang
pengamal politik yang
kerap 'melompat' dari satu parti ke satu parti, Marina perlu akur tindakan
atau dakwaan seperti itu mesti
berasaskan pemikiran rasional dan fakta. Bertindak mengikut emosi hanya
mengundang masalah
berpanjangan. Malah, diri beliau sendiri boleh menjadi mangsa atas perbuatan
sia-sia dan disengajakan.
Kini laporan polis terhadap dakwaannya sudah dibuat. Beliau mesti menerima
risiko atas setiap
tindakannya untuk sengaja mengganggu-gugat kesejahteraan rakyat dan keharmonian
kaum.