Edisi Bahasa Malaysia
Rabu, Jun 16, 1999
Surat Kepada Pengarang
Orang Melayu perlu bersatu
Minda Pengarang, Kuala Lumpur

        PERGERAKAN Pemuda Umno memilih agenda perjuangan yang tepat ketika Umno menghadapi sedikit
        gangguan yang dicetuskan dari luar parti itu. Dengan memilih agenda 'Perpaduan dan Kesedaran Melayu'
        sebagai teras perjuangan yang akan diterjemahkan menerusi ucapan sulung pemangku ketua pergerakan
        itu, Datuk Hishammuddin Hussein Onn di perhimpunan tahunan pergerakan itu, esok, sudah jelas
        kepemimpinan baru pergerakan itu mula menyusun langkah. Jika sebelum ini pergerakan itu lebih disifatkan
        sebagai 'tukang ulas' sesuatu isu berbangkit, kini kepemimpinan pergerakan itu cuba mengubah imejnya.
        Sejauh mana ia mampu menjadi 'pencetus' kepada satu hala tuju yang lebih dinamik, hanya waktu akan
        menentukannya.

        Dilihat dari permukaannya, Umno sendiri tidak menunjukkan kelemahan membimbangkan. Tidak boleh
        dinafikan pergeseran pendapat sentiasa wujud. Perselisihan seperti itu juga ada kalanya membawa padah.
        Di Kelantan, umpamanya, kerajaan negeri terlepas ke tangan pembangkang berpunca daripada
        perpecahan orang Melayu dan Umno. Namun, dalam sesebuah organisasi yang begitu berpengaruh, ia
        adalah sesuatu yang tidak dapat dielakkan. Pergeseran sesama Umno, jika pun masih ada, ia boleh
        disatukan semula. Ia ibarat air yang dicincang, tidak akan putus. Ahli yang sudah sebati dengan perjuangan
        Umno tidak mudah mengorbankan prinsip mereka hanya disebabkan perkara kecil. Jika ini yang menjadi
        inti agenda perjuangan Pergerakan Pemuda Umno, ia bukan sesuatu cabaran bagi pergerakan itu.

        Pergerakan Pemuda Umno mungkin melihat perpaduan lebih menyeluruh membabitkan keseluruhan orang
        Melayu yang kini ternyata berpecah. Walaupun orang Melayu yang mendukung perjuangan Umno besar
        bilangannya, namun orang Melayu juga berpecah dalam kelompok parti pembangkang sama ada Pas,
        Parti Keadilan Nasional (keADILan) dan Parti Rakyat Malaysia (PRM). Atas nama demokrasi, ia
        mungkin boleh diterima tetapi, apabila orang Melayu mula berbalah mengenai sesuatu isu yang boleh
        melemahkan masa depan bangsa dan agama, ia adalah fenomena membimbangkan.

        Agenda Perjuangan Pergerakan Pemuda Umno ini perlulah disusuli dengan program untuk menyatukan
        semula orang Melayu. Slogan politik semata-mata, tidak akan meninggalkan kesan tanpa kesungguhan dan
        strategi tersusun rapi. Ia juga memerlukan persediaan rapi. Ia adalah satu tugas berat tetapi tidak
        bermakna mereka yang terpesong tidak boleh dikembalikan ke jalan yang benar.

        Sebelum bertindak, pergerakan itu perlu mengetahui apakah sebenarnya punca sebahagian orang Melayu
        mendukung parti pembangkang. Salah satu punca keadaan itu berlaku ialah kegagalan Umno sendiri
        mendekati mereka sebelum ini. Disebabkan parti lain lebih menunjukkan simpati, maka mereka
        terpengaruh dengan pujuk rayu. Sebenarnya, mereka adalah golongan yang kekurangan maklumat.

        Apabila ada pihak yang menyalurkan idea politik, apatah pula dikaitkan dengan soal agama dan isu
        semasa, mereka lebih mudah terpengaruh. Ditokok pula dengan masalah peribadi, mereka memilih parti
        pembangkang kerana perasaan tidak puas hati. Masalah ini sebenarnya gagal ditangani tambahan pula ada
        saja pihak yang menghasut mereka supaya membenci kerajaan. Kesempatan ini memang digunakan oleh
        parti pembangkang yang sentiasa mengadakan ceramah untuk mengabui mata orang Melayu. Jika sebelum
        ini pergerakan Pemuda dan Wanita Umno terlebih dahulu memberi perspektif yang betul kepada golongan
        itu, parti pembangkang sukar menawan hati mereka.

        Namun, masa untuk kerja pembetulan masih belum terlambat. Tugas Pergerakan Pemuda Umno ialah
        untuk membetulkan pandangan salah orang Melayu yang kini menyertai parti pembangkang dan secara
        terbuka menghentam kerajaan. Tugas ini perlu dilakukan dengan yakin kerana mereka mungkin
        menghadapi pelbagai kecaman. Orang Melayu yang kini berada di luar Umno perlu disedarkan bahawa
        mereka sebenarnya melakukan satu risiko yang amat besar.

        Bilangan orang Melayu di dunia ini amat kecil. Apakah bilangan sekecil itu pun hendak berpecah kepada
        beberapa kelompok lain. Di manakah keyakinan kita kepada slogan 'Bersatu Teguh, Bercerai Roboh'
        yang pernah diperjuangkan? Jika orang Melayu terus berpecah, mereka sebenarnya meroboh benteng
        bangsa sendiri. Hala masa depan begitu mencabar sekali. Jika orang Melayu enggan bersatu, mereka akan
        hanya mewujudkan masa depan yang gelap.