Edisi Bahasa Malaysia
Sabtu, Mei 08, 1999
Surat Kepada Pengarang
PELAJAR AGAMA MINTA PENJELASAN NIK AZIZ
Nor Shari, Kelantan
 

Saya mewakili generasi muda negara ini ingin mendapatkan maklum balas yang sewajarnya mengenai kenyataan yang dibuat Menteri Besar Kelantan, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat, tempoh hari bahawa Islam tidak melarang umatnya mengeluarkan perkataan mencarut atau mencaci seseorang jika kena pada tempat dan masanya kerana ia sudah menjadi salah satu naluri manusia.

Sebagai seorang pelajar sekolah Arab (agama) di sebuah sekolah yang terkemuka di Kelantan, saya agak keliru dan tidak puas hati dengan kenyataan beliau.  Sepanjang enam tahun belajar agama, kami diajar mata pelajaran khusus mengenai akhlak, tidak pernah kami membaca, terbaca atau diajar mengenai kenyataan Nik Aziz.

Bagi saya, sekarang bukan lagi soal politik malah ia membabitkan akidah.  Bagi kami pelajar agama memanglah meragui perkara itu tetapi apa halnya dengan orang yang tidak banyak ilmu agamanya (kurang pengetahuan agama)?  Tidakkah mereka akan terpengaruh dengan kenyataan itu apatah lagi datangnya daripada seorang "Tok Guru"?  Apa halnya dengan mereka yang terlalu taksub kepada beliau selama ini?  Tidakkah mereka akan mengikut dengan membabi-buta walaupun mereka tidak dapat mengeluarkan satu dalil pun daripada Al-Quran yang menyokong kenyataan pemimpin mereka?

Kami amat dukacita melihatkan keadaan politik di tanahair sendiri.  Ahli politik sekarang bukan sahaja mempolitikkan isu semasa malah soal agama juga dijadikan isu.  Sepatutnya semua pihak bersatu hati dan menyatupadukan umat Islam di negara ini bukannya cuba memecah belahkan umat Islam.

Saya meminta maaf jika kata-kata saya menyinggung hati mana-mana pihak tapi satu yang kami pinta, cuba fahami kehendak kami generasi muda yang ingin melihat umat Islam berdiri teguh di negara ini.