Barisan Nasional (BN) Sarawak yakin pakatan barisan pembangkang yang cuba dibentuk oleh tiga parti pembangkang di Sarawak tidak mampu menggugat kekuatan BN Negeri.
Malah berdasarkan pengalaman lalu, BN negeri percaya usaha Parti Keadilan Nasional (Keadilan) cawangan Sarawak, Parti Tindakan Demokratik (DAP) Sarawak dan Parti Reformasi Negeri Sarawak (Star) itu akhirnya akan gagal.
Mengulas pembentukan 'Barisan Alternatif Sarawak' oleh tiga parti itu, Naib Presiden Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB), Datuk Adenan Satem, berkata mana-mana parti pembangkang bebas untuk membentuk pakatan .
"Bagaimanapun, saya tahu .....pada akhirnya mereka akan gagal. Daripada pengalaman lalu, saya boleh katakan bahawa mereka akan gagal," katanya.
Adenan yang juga Menteri Pertanian dan
Industri Makanan Sarawak berkata, pembangkang sudah mencuba pelbagai cara
untuk menentang BN sebelum ini, namun secara keseluruhannya mereka gagal.
Ditanya jika ada isu yang akan dimainkan barisan pembangkang pada pilihan
raya akan datang, beliau berkata, terpulang kepada mereka untuk menggunakan
apa juga isu yang mereka mahu. Apapun katanya, BN mempunyai jawapan
bagi setiap isu yang mungkin dibangkitkan pembangkang di negeri ini.