Edisi Bahasa Malaysia
 
Mempertahankan Putrajaya
 

BANDAR pentadbiran negara yang baru - Putrajaya seharusnya tidak dijadikan isu politik parti pem-bangkang menjelang pilihan raya umum. Ini kerana kewujudannya adalah untuk kepentingan nasional dan masa depan rakyat.
Putrajaya bukan sekadar bandar baru untuk menempatkan pejabat-pejabat kerajaan, tetapi ia adalah simbol nasional yang perlu dipertahankan.

Sebagai contoh, bangunan-bangunan seperti Masjid Negara, Istana Negara, Bangunan Parlimen, Tugu Negara, Mahkamah Agung, Muzium Negara dan seumpamanya adalah simbol kedaulatan dan keutuhan negara yang pembinaannya tidak boleh dipertikaikan.

Putrajaya pula bukan satu bangunan tetapi adalah keseluruhan bandar yang sudah menjadi simbol pentadbiran bestari dan iltizam negara. Kedudukan nasional Putrajaya menghendakkan pembelaan oleh semua rakyat tanpa mengira fahaman politik.

Sikap mempertahankan Putrajaya harus ditunjukkan bukan saja oleh Barisan Nasional, tetapi juga parti-parti pembangkang seperti Pas, DAP, Keadilan dan PRM. Dalam hal ini, tindakan Pas yang menjadikan Putrajaya sebagai isu adalah suatu yang menafikan kedudukan bandar itu sebagai simbol nasional. Maka oleh itu, tindakan Pas mempermainkan isu Putrajaya dengan menyatakan keinginannya untuk melelong kediaman Perdana Menteri adalah suatu perbuatan dan sikap yang mencabar kehormatan dan maruah negara dan sudah tentu menjadi suatu
penghinaan kepada rakyat keseluruhannya.

Kediaman Perdana Menteri adalah sebahagian daripada Putrajaya dan ia tidak seharusnya diasing-asingkan. Kehebatan kediaman itu melambangkan keunggulan dan martabat tinggi jawatan Perdana Menteri di negara ini.
Maknanya, Malaysia meletakkan jawatan Perdana Menteri itu di tempat yang tinggi dan mulia kerana dengan kedudukan itu, pemegangnya boleh mencorak masa depan negara dengan penuh komitmen yang jelas.

Oleh kerana ia merupakan kediaman rasmi, sama sekali bangunan itu bukanlah untuk Datuk Seri Dr. Mahathir Mohamad secara peribadi, tetapi adalah untuk pemegang jawatan itu di masa-masa akan datang.

Dengan adanya kediaman itu, Perdana Menteri akan datang tidak perlu lagi memikirkan tentang kediamannya lagi dan ia akan menjadi satu institusi jangka panjang bagi memartabatkan jawatan itu, dan kesannya diharapkan, akan berlaku
pemerintahan yang baik bagi negara.

Tambahan pula, kediaman Perdana Menteri itu bukanlah diwujudkan dalam erti kata untuk didiami dan dinikmati oleh Perdana Menteri seorang. Ia lebih merupakan bangunan pelbagai fungsi yang sifatnya adalah untuk kegunaan rasmi negara. Jadi apabila Pas mahu melelongnya kepada pihak asing, maka kedudukannya tentulah tidak kena.

Bayangkanlah kalau yang menguasai bangunan itu pihak asing di tengah-tengah pusat pentadbiran negara. Tentunya suatu yang tidak sesuai dan mencemarkan. Lihatlah betapa bangunan pusat pentadbiran negeri Kelantan, Kota Darulnaim yang dibangunkan oleh kerajaan Barisan Nasional semasa parti itu memegang tampuk
pemerintahan.

Apabila Pas pula yang menang, mereka juga mentadbir dengan menggunakan kemudahan itu. Begitulah juga Putrajaya, sesiapapun parti yang memerintah akan membentuk kerajaan dengan berpusat di situ. Jadi seharusnya parti-parti pembangkang tidak mempertikaikan projek itu kerana ia bertaraf nasional dan tidak harus dikaitkan
dengan pertarungan politik kepartian. Namun begitu, bangunan utama di Putrajaya bukanlah menjadi sebahagian daripada kediaman Perdana Menteri atau pejabat Jabatan Perdana Menteri walaupun tempat-tempat itu berada di kawasan teras di situ.

Bangunan utama sebenarnya adalah Masjid Putra yang senibinanya adalah tersendiri. Keutamaan Masjid Putrajaya dalam kerangka falsafah pusat pentadbiran itu terserlah dalam halaman web bandar itu. Dalam ruangan kawasan teras Putrajaya, masjid diambil sebagai bangunan simbol. Meletakkan masjid dan seni bina yang bercirikan Islam sebagai teras reka bentuk sebuah bandar baru menunjukkan betapa kerajaan UMNO berjaya meletakkan syiar agama dalam pembentukan negara.

Bukanlah suatu yang mudah bagi sesebuah kerajaan pada zaman moden ini di negara berbilang kaum dan agama yang mana bidang ekonomi dikuasai oleh bukan Islam berjaya mewujudkan identiti Islam. Akan tetapi itulah yang berjaya dilakukan oleh kerajaan pimpinan UMNO walaupun parti ini tidak mendabik dada sebagai pejuang negara Islam. Malaysia muncul sebagai sebuah negara moden yang bukan saja mempunyai nilai-nilai Islam tetapi juga
menjunjung syiar Islam.

Walaupun Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Mahathir Mohamad merupakan pengasas dan pendorong kepada pembinaan Putrajaya, tetapi apa yang dilakukan adalah menyambung aspirasi pemimpin-pemimpin negara terdahulu. Maka sungguhpun Dr. Mahathir adalah Perdana Menteri pertama negara yang bertugas dan tinggal di Putrajaya tetapi pembinaannya mengambil sempena peringatan Perdana Menteri pertama negara, Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj.

Tunku yang semasa pemerintahannya dikritik dengan ber macam-macam hal oleh Pas, hingga ada yang mengkafirkannya kerana mewujudkan kerjasama antara UMNO dan MCA telah berjaya merintis bentuk negara Malaysia yang mempunyai ciri-ciri Islam.Bagi Tunku, Malaysia hendaklah mempunyai identiti Islam. Bukan saja bendera
negara harus memiliki simbol bulan sabit tetapi seni bina negara yang mencorakkan ibu kota berasaskan Islam.

Kepada Kuala Lumpur, Tunku meletakkan ciri-ciri utama bandar raya di Bangunan Sultan Abdul Samad (dahulu Bangunan Sekretariat Negeri Selangor yang kini menjadi bangunan Mahkamah Agung) dan Stesen KeretaApi. Bangunan-bangunan itu didirikan di zaman kolonial tetapi ia berasaskan pada seni bina Islam yang berasal dari
Moghul, India. Akan tetapi Tunku juga mengutamakan aspek betapa perlunya masjid rasmi negara
sebagai simbol pemerintahan umat Islam di Malaysia. Maka didirikanlah sebuah Masjid Negara ditengah-tengah kawasan yang dianggap utama di Kuala Lumpur.

Masjid Negara pernah dikritik oleh pihak pembangkang kerana dibina di kawasan yang tidak ada kediaman. Akan tetapi kini, bersama bangunan Pusat Islam dan Muzium Seni Islam yang baru didirikan serta Planetarium Negara, kesemuanya melambangkan negara bercirikan Islam.

Maka dengan tradisi ini, Dr. Mahathir melanjutkannya dalam pembinaan Putrajaya. Malah ketika dipamerkan model bandar Putrajaya untuk penelitian orang ramai beberapa tahun lalu, ia dilakukan di Memorial Tunku Abdul Rahman. Pameran diadakan untuk beberapa bulan lamanya. Semua model bangunan yang akan didirikan
di Putrajaya dipamerkan. Ketika itu, tidak ada sesiapa termasuk pihak pembangkang yang mengkritik
pembinaan Putrajaya, termasuk kediaman rasmi Perdana Menteri. Kritikan-kritikan terhadap Putrajaya hanya timbul selepas berlakunya kegawatan ekonomi dan pemecatan Datuk Seri Anwar Ibrahim daripada kabinet dan daripada parti.

Putrajaya, sebuah projek masa depan nasional telah dijadikan isu politik. Sememangnya, dalam menghadapi kegawatan ekonomi banyak penyesuaian dari segi dana dibuat untuk menyempurnakan pembinaan bandar pusat pentadbiran negara itu. Namun begitu, pembinaan Putrajaya tetap diteruskan dan pada jangka panjangnya, akhirnya semua pihak di Malaysia, termasuk pembangkang akan menerima kewajarannya. Apapun gembar-gembur yang dibuat oleh pembangkang harus dilihat sebagai usaha mereka sengaja mencari isu tanpa benar-benar memikirkan soal
kepentingan rakyat dan negara. Mereka hanya memikirkan untuk meraih sokongan rakyat dan undi dalam pilihan raya umum akan datang.

Akhirnya kelak mereka akan menerima Putrajaya sebagai sebahagian daripada kebanggaan negara. Malah jika mereka memenangi pilihan raya dan menguasai kerajaan, pemimpin pembangkanglah yang akan mengguna Putrajaya.

ZIN MAHMUD