Dari jauh kita melihat keadaan yang berlaku di Timor Timur yang begitu ngeri dan menakutkan. Bagaimana jika kita berada dalam keadaan sedemikian? Puncanya ialah akibat proses pemilihan menentukan sama ada untuk mendapatkan kuasa autonomi dari Indonesia atau terus bebas daripada republik itu. Proses pemilihan dikendalikan oleh Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) yang dianggap dapat menjamin kelicinannya kerana PBB dikatakan bersifat 'berkecuali'.
Keputusan daripada proses demokrasi itu ialah Timor Timur akan dimerdekakan daripada Republik Indonesia. Perpindahan kuasa tidak dilakukan serta-merta. Tetapi ia akan dilaksanakan pada November nanti setelah pihak berkuasa Indonesia membuat endorsement secara rasmi. Tetapi dalam keadaan sementara ini dikatakan pihak militia pro-Jakarta menimbulkan kekacauan. Ini menimbulkan pelbagai soalan.
Di sini bukan persoalan Timor Timur atau Tim Tim yang hendak dibahaskan, tetapi ialah untuk dijadikan contoh perlakuan politik dalam satu-satu keadaan. Proses pemilihan adalah bersifat demokratik tetapi perlakuan yang menyusul itu tidak pula demokratik. Jika ditinjau lebih mendalam, kita mengharapkan sesuatu yang demokratik perlu disusuli dengan sifat demokratik yang mana keputusan dapat diterima. Konsep demokrasi itu sendiri mungkin dapat dibahas dengan pelbagai andaian, tetapi sama ada satu-satu perlakuan itu demokratik atau tidak, adalah relatif. Ia adalah perlakuan manusia secara berkelompok yang dipengaruhi oleh emosi yang sukar dikawal. Ini kerana emosi tidak mengenali rasional.
Sekiranya emosi di peringkat rendah, ia boleh diatasi dengan rasional. Tetapi apabila emosi melonjak ke tahap yang tinggi, rasional sudah tidak bererti lagi. Maka emosi dan tindakan yang tidak terkawal akan menjadi rasional yang tidak rasional untuk mengatasi rasional sebenarnya.
Keseluruhan pandangan bagi menjelaskan tindakan atau perlakuan politik seperti itu amat mudah dijelaskan secara psikologi, tetapi realiti menanganinya adalah satu hal yang berbeza. Di Malaysia juga pernah menghadapi keadaan sedemikian menerusi peristiwa 13 Mei 1969. Ia berpunca daripada suasana dan keputusan pilihan raya yang mana salah satu sebabnya ialah kerana emosi yang tidak dapat dikawal.
Mereka yang menang ketika itu sudah merakam 'kuasa' untuk melakukan sesuatu, manakala yang kalah, terancam dan terhimpit. Dua emosi bertentangan tetapi melahirkan satu bentuk tindakan iaitu keganasan dan ia diakhiri dengan tindakan yang mengerikan. Sebagai jalan keluar, darurat terpaksa diisytiharkan untuk mengawal keadaan.
Apabila keadaan bertukar kembali tenang, segala-galanya dilakukan secara rasional. Semua pihak akur kepada rasionaliti baru yang diambil bagi mengatasi pelbagai masalah, khususnya soal perkauman yang menjadi punca perbalahan. Di samping itu penyelesaian kepada masalah politik dapat dicapai dengan tertubuhnya kerajaan campuran, khususnya pembentukan gabungan Barisan Nasional (BN).
Usaha gabungan dilakukan bukan saja di peringkat kerajaan tetapi juga di peringkat politik kepartian. Tetapi Pas kemudiannya memilih untuk keluar daripada gabungan itu. Walau apapun, yang lebih penting dalam politik Malaysia ialah penentuan perwakilan di peringkat kerajaan dan parti sebagai alat dalam proses membuat pertimbangan, perbincangan dan penentuan kepada keputusan. Dengan kata lain politik perkauman melalui pelbagai proses sebelumnya sampai ke tahap kerajaan.
Dalam keadaan sekarang proses pertama yang akan dihadapi ialah pilihan raya walaupun tarikhnya belum ditentukan. Adakah kerana ia belum ditentukan menyebabkan parti-parti politik dalam keadaan 'gelabah', khususnya parti pembangkang. Bagaimana pun kesedaran politik serta suhu pra-pilihan raya kian meningkat. Ketegangan emosi juga turut meningkat. Walaupun masih terkawal, 'kecaman' dan 'hentaman' berbentuk irrational nampaknya semakin hebat. Di sini dua perkara penting yang perlu dihuraikan. Pertama ialah mengenai tarikh pilihan raya yang belum ditentukan dan kedua, 'isu' yang diketengahkan yang boleh dianggap dapat membangkitkan emosi. Kedua-duanya mempunyai rasional masing-masing.
Mengenai tarikh pilihan raya, terdapat dua pandangan dan rasional berbeza. Antaranya ialah mengapa tarikh pilihan raya tidak ditentukan, walaupun satu-satu tempoh kerajaan ialah lima tahun, kerana hubungan kerajaan dengan Dewan-dewan Perundangan Negeri (DUN dan Parlimen). Bagi kedua-dua dewan itu, keahliannya dipilih melalui proses pilihan raya. Ini berbeza dengan Dewan Senat yang mana keanggotaannya dilantik. Pembentukan kerajaan negeri dan Pusat dilakukan daripada kalangan mereka yang dipilih, dan dianggap mempunyai kemampuan dan keupayaan menguasai majoriti berdasarkan kepada prinsip demokrasi. Biasanya mereka yang dipilih atas tajaan parti membolehkan mereka menang.
Mereka yang membentuk kerajaan (negeri dan Pusat) dari segi teori mempunyai tanggungjawab untuk mentadbir dan mengurus Kerajaan seperti yang diperuntukkan oleh Perlembagaan. Maksudnya ialah, had bidang kuasa mereka ditentukan menurut peruntukan berkenaan. Di samping itu mereka juga bertanggungjawab kepada dewan-dewan berkenaan sebagai eksekutif manakala ahli-ahli dewan yang lain pula sebagai wakil kawasan yang mempunyai hak dan tanggungjawab bukan saja sebagai legislator tetapi untuk menentukan kerajaan berjalan lancar.
Dalam hal ini, fungsi kerajaan serta sokongan yang diperolehinya dari legislator akan menentukan kedudukannya. Jelasnya, selagi sokongan diperolehi, biasanya dalam bentuk kepercayaan ahli-ahli dewan, selagi itu pihaknya dianggap memperolehi kuasa. Hanya apabila timbul hilang kepercayaan terhadap kumpulan yang membentuk kerajaan, maka suasana 'krisis' akan wujud. Ini akan menjadi bertambah buruk sekiranya wujud keadaan 'main politik' kepartian sehingga berlaku perpecahan sama ada dalam komponen atau di kalangan ahli-ahli dewan yang mungkin menyebabkan kerajaan hilang majoriti. Jika sekiranya itu berlaku pertimbangan yang diambil ialah bagi mengadakan pilihan raya sebagai mencari jalan keluar untuk pengundi membuat penentuan semula.
Dalam keadaan krisis pilihan raya boleh diadakan pada bila-bila masa saja, kerana dalam satu-satu tempoh (lima tahun) tidak disebut tarikh tertentu, asalkan ia dilakukan pada penghujung satu-satu tempoh. Ini dianggap baik kerana sistem seperti itu lebih terbuka dan tidak terikat kepada satu-satu masa yang ditentukan. Ini lebih luwes, terutama jika terdapat krisis. Ini boleh diambil contoh seperti apa yang berlaku di Sabah pertengahan 1980-an. Lain pula halnya dalam kes Stephen Kalong Ningkan pada tahun 1965 yang mana pilihan raya peringkat negeri tidak diadakan kerana ia masih belum bersedia untuk diadakan atas sebab teknikal seperti pendaftaran dan sebagainya.
Sistem sedemikian boleh dianggap lebih terbuka yang mana kerana jika terdapat hilang kepercayaan terhadap pimpinan dan kepercayaan kepada kerajaan, boleh diselesaikan oleh pengundi kemudian tanpa menanti tarikh tertentu. Dengan kata lain, sekiranya krisis berlaku, penyelesaiannya ialah pilihan raya menurut amalan demokrasi.
Tetapi sekiranya tarikh pilihan raya sudah ditetapkan, ia boleh diertikan, seperti yang terdapat dalam 'sistem presidential' yang mana krisis untuk menukar kerajaan hanya dapat dilakukan selepas tamat tempohnya. Maksudnya dalam sistem presidential, walaupun presiden mungkin bertukar tetapi kerajaan yang sama masih menyambung tempoh berkenaan. Ini ialah kerana tarikh pemilihan Presiden sudah ditetapkan. Contoh yang terdekat ialah seperti apa yang berlaku di Amerika Syarikat.
Dalam konteks kerajaan Pusat di Malaysia, tidak pernah berlaku krisis hilang kepercayaan terhadap kerajaan. Oleh itu, ramai daripada kita yang berasakan adalah ideal sekiranya tarikh pilihan raya ditetapkan dalam jangkaan bagi satu-satu tempoh. Ini bermakna kita mahukan diri kita terikat.
Hal ini hanya dapat dirasakan apabila krisis seperti yang disebutkan, berlaku. Penyelesaiannya ialah menukar individu tertentu, tetapi kerajaan yang sama masih kekal. Ini masih tidak menyelesaikan masalah.
Dalam sistem seperti Malaysia, kerajaan adalah berbentuk kolektif dan berpegang kepada dasar tertentu. Lain pula jika pilihan raya, kita memilih seorang individu sebagai ketua kerajaan dan kemudian tanggungjawab individu itu untuk melantik anggota Kabinetnya yang bukan dari mereka yang dipilih. Ini seperti sistem presidential, tetapi Malaysia masih berpegang kepada sistem berparlimen dan kini bukan sebuah republik.
Di samping itu dan dalam politik Malaysia, pilihan raya juga adalah proses untuk memilih wakil-wakil kawasan. Proses ini juga terbukti dalam sepuluh siri pilihan raya yang lalu. Dengan kata lain, ia sudah teruji dan mantap sebagai sistem yang boleh beroperasi. Jelasnya ia menunjuk kemampuan serta keupayaan dalam sistem perwakilan sebagai indirect democracy. Lain pula sekiranya angka penduduk kita kecil. Berjumlah sekitar 100 atau 200 orang di mana boleh sertai persidangan Parlimen tanpa melalui wakil seperti yang terdapat dalam Greek dulu.
Sebab itu apabila berlaku kematian atau tersingkir seorang ahli dewan, ia membolehkan diadakan pilihan raya kecil. Bagaimana sekiranya tarikh sudah ditetapkan bagi satu-satu tempoh, apakah pula kawasan berkenaan akan tinggal kosong sehingga menjelang pilihan raya akan datang? Pada teorinya pilihan yang dibuat bagi satu-satu kawasan ialah wakil, bukan parti. Tetapi praktisnya ialah wakil yang ditaja oleh parti-parti tertentu yang mana pertimbangan dalam pemilihan ialah kaitan antara parti dan calon. Tetapi calon bebas tidak ditaja oleh mana-mana parti. Tetapi kes-kes seperti ini amat kecil sekali dalam sejarah pilihan raya negara ini.
Bagi pendapat yang mahukan tarikh pilihan raya ditetapkan terlebih awal, secara tidak langsung mahu keadaan lebih terikat. Mungkin ini kerana dirasakan selama ini keadaan kita lebih tenteram jika dibandingkan dengan negara-negara yang mengamal sistem seperti kita. Mungkin ada yang beranggapan sekiranya tarikh ditetapkan, kegelisahan mungkin tidak berlaku dan ini dapat mengurangkan 'main politik' kempen. Itu adalah andaian semata-mata. Sama ada tarikh ditetapkan atau tidak, main politik berkempen tetap akan berlaku. Dalam keadaan tidak ada tarikh tetap, sesetengah parti mula berkempen setahun atau dua tahun sebelum tamat tempoh pilihan raya.
Dalam sistem yang ada sekarang, tarikh
tetap sudah ditentukan iaitu lima tahun selepas pilihan raya yang lalu.
Tetapi pertimbangan kerajaan yang ada sekarang ialah mungkin pihaknya berasakan
bahawa mereka masih boleh berfungsi dan tidak ada krisis. Cuma apa yang
berlaku ialah terdapat adanya penyingkiran bekas Timbalan Perdana Menteri,
Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai individu dan bukan jawatan berkenaan.
Individu tidak menjejas kerajaan kerana ia bukan kumpulan atau separuh
daripada anggota Kabinet. Jika pun separuh anggota Kabinet, gantian masih
boleh dilakukan bagi membolehkan kerajaan berfungsi. Tetapi sekiranya undi
tidak percaya dilakukan terhadap kerajaan di dalam Dewan, baru boleh diertikan
kerajaan baru perlu diberi pertimbangan
melalui pilihan raya.