Edisi Bahasa Malaysia
16 Julai 1999
Surat Kepada Pengarang
RAKYAT AKAN MEREMPAT JIKA PAS MEMERINTAH
AHKSD, Jln. Bonus, Kuala Lumpur
 

Saya terpanggil untuk menulis di ruangan ini mengenai isu Pas lelong Putrajaya oleh Fadzil Noor baru-baru ini.  Saya amat terkejut dan amat marah terhadap Presiden Pas kerana kenyataan tersebut.  Mengapakah Pas begitu benci sekali dengan kerajaan BN?  Adakah kerana kepentingan politik atau rakyat?

Kejayaan Malaysia dalam pembangunan negara amat memberangsangkan sehingga Malaysia dijadikan model oleh negara-negara membangun.  Jikalau ditakdirkan Pas memerintah Malaysia, saya yakin rakyat Malaysia akan merempat.  Apa akan jadi kalau Putrajaya, Cyberjaya, projek-projek mega dilelong?

Pihak-pihak asing sedang menunggu peluang untuk menjajah semula Malaysia.  Jika tanpa BN, anda sebagai rakyat Malaysia tidak akan dikenali sebagai rakyat Malaysia.  Dasar perjuangan Pas yang dilaung-laungkan telah terpesong.

Sebagai rakyat Malaysia marilah kita berfikir sedalam-dalamnya untuk memilih kerajaan pada alaf yang baru.  Janganlah Pas perjuangkan dasar yang remeh-temeh.  Sebagai rakyat Malaysia saya rasa eloklah Fadzil Noor berhenti sebagai Presiden Pas.