Rakyat boleh nilai tohmahan pembangkang

        APABILA pengumuman dibuat bahawa kediaman rasmi Perdana Menteri di Kompleks Seri Perdana
        Putrajaya akan dibuka untuk lawatan kepada orang ramai tidak lama lagi, nampaknya ia akan menutup
        mulut pembangkang yang sudah agak lama menggembar-gemburkan isu berkenaan. Langkah
        membenarkan rumah kediaman pemimpin dilawati rakyat tidak pernah dibuat oleh mana-mana kerajaan.
        Namun, demi mahu memuaskan hati rakyat, kerajaan berasakan tidak ada perkara yang hendak
        disembunyikan daripada pengetahuan mereka. Sebelum ini agak sukar kerajaan menjelaskan keadaan
        sebenar isu rumah berkenaan kepada rakyat kerana sekali pun dijelaskan, rakyat tidak boleh
        menggambarkan keadaan sebenar. Tambahan pula ketika isu itu begitu panas, kerja pembinaan rumah
        kediaman berkenaan, masih dilakukan. Tentulah rakyat hanya mendengar dakwaan daripada satu pihak
        saja.

        Ada penjelasan dibuat kepada rakyat. Sebaliknya, kerajaan dicemuh dengan pelbagai cerita baru yang
        sengaja direka-reka. Apa juga alasan yang diberikan sukar diterima pembangkang. Parti-parti
        pembangkang sebenarnya menaruh harapan agar isu kediaman Perdana Menteri berpanjangan. Tetapi,
        kelmarin Menteri Jabatan Perdana Menteri, Datuk Paduka Dr Abdul Hamid Othman berkata orang ramai
        boleh melawat dan menyaksikan sendiri kediaman berkenaan. Dengan kebenaran itu, pembangkang akan
        kehilangan modal untuk dijaja.

        Dengan memberi kebenaran rumah kediaman itu dilawati, rakyat boleh membuat penilaian sendiri sama
        ada berita yang mereka terima daripada parti pembangkang sebelum ini, betul atau salah. Cara ini adalah
        lebih mudah daripada terus melayani tohmahan pembangkang. Dengan berbuat demikian, mereka yang
        mempersoal rumah kediaman Perdana Menteri yang kononnya disamakan seperti sebuah 'mahligai' itu
        akan dapat membuktikan sendiri kebenaran hujah pembangkang selama ini. Jika terbukti, pembangkang
        yang menabur fitnah, rakyat boleh menghukum mereka dalam pilihan raya nanti.

        Isu rumah kediaman Perdana Menteri ini tidak sepatutnya timbul apabila penjelasan dibuat bahawa ia
        bukanlah rumah kediaman rasmi individu tertentu. Ia dibina khas untuk kediaman Perdana Menteri
        Malaysia. Sesiapa yang akan dilantik sebagai Perdana Menteri pada masa akan datang, mereka akan
        menetap di rumah berkenaan. Dengan cara itu, tidak perlu lagi Perdana Menteri akan datang menetap di
        rumah lain kerana segala kemudahan sudah pun tersedia di kompleks Jabatan Perdana Menteri itu. Ini
        bermakna setiap Perdana Menteri akan datang akan menetap di rumah berkenaan.

        Sebelum ini, ramai pihak yang mempersoal kewujudan Putrajaya, malah disebabkan termakan hasutan
        pembangkang, ada hujah yang mengatakan pembinaan masjid di situ juga sebagai pembaziran. Rakyat
        menerima hujah pembangkang kerana mereka sendiri tidak berpeluang melihat sendiri keadaan sebenar.
        Pembangkang yang menyedari rakyat boleh dipermain-mainkan, menabur pelbagai fitnah untuk
        menimbulkan kemarahan rakyat. Mereka membesar-besar perkara yang kecil, pada hal mereka sendiri
        tidak pernah memijakkan kaki di Putrajaya. Mereka juga hanya mendengar cerita yang berat sebelah
        mengenai bangunan berkenaan. Bagi rakyat, selepas berpeluang melawat seluruh kawasan kompleks itu,
        perasaan marah mereka kepada kerajaan terus reda. Malah, mereka berasa bangga dan kagum dengan
        kemampuan kerajaan membina bangunan yang begitu indah sekali. Kompleks berkenaan boleh
        menandingi mana-mana tamadun seni bina dunia. Ia adalah hasil ciptaan rakyat negara ini.

        Dalam tempoh dua minggu lagi, rakyat yang berpeluang berkunjung ke Putrajaya bukan saja dapat melihat
        kompleks Perdana Menteri dan masjid, malah rumah kediaman Perdana Menteri sekali. Ketelusan apa
        lagi yang diharapkan oleh rakyat. Bagi kerajaan, tidak ada rahsia lagi yang harus disembunyikan daripada
        rakyat. Rakyat adalah pembayar cukai dan mereka berhak tahu apa saja yang kerajaan lakukan.

        Adalah dipercayai tindakan kerajaan memberi kebenaran kepada orang ramai untuk melawat rumah
        kediaman Perdana Menteri, boleh merencatkan usaha pembangkang untuk menggunakan isu itu dalam
        pilihan raya umum nanti. Pembangkang sedar, jika ramai rakyat yang akan melawat rumah kediaman
        Perdana Menteri itu, ramailah orang yang boleh menilai pembohongan pembangkang. Pembangkang
        terpaksa pula mencari isu baru untuk diperbesar-besarkan demi mahu menawan hati rakyat. Sama ada isu
        yang cuba diketengahkan itu baik atau buruk, ia bukanlah perkiraan pembangkang. Bagi mereka, apa saja
        isu yang boleh mencemarkan nama baik kerajaan, perlu dihebohkan.