Edisi Bahasa Malaysia

Rakyat tentukan kemajuan negara

Minda Pengarang  

MALAYSIA sudah bersiap sedia untuk menjadi negara maju dan menghadapi cabaran alaf baru. Saluran untuk menyampaikan mesej ini kepada dunia akan dibuat menerusi 'Perayaan Seabad Malaysia Ke Alaf Baru' yang akan dilancarkan tidak lama lagi. Sebagaimana dijelaskan oleh Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi kelmarin, keupayaan Malaysia berteraskan kepada kejayaan politik, ekonomi, sosial dan budaya sepanjang tempoh 100 tahun lalu.  

Bagaimanapun, cita-cita untuk menjadi negara maju mungkin terhalang jika keadaan politik negara tidak terjamin. Ini berlandaskan kepada sikap sesetengah rakyat yang masih bercakaran mengenai soal politik, terutamanya sikap buruk yang ditunjukkan oleh parti pembangkang. Kestabilan politik adalah ciri penting bagi meletakkan sama ada sesebuah negara itu tergolong dalam negara membangun atau maju. Rakyat yang bercakaran juga perlambangan bagi masyarakat dunia ketiga.  

 Setakat ini Malaysia sudah memenuhi beberapa kriteria yang ditetapkan untuk menjadi sebuah negara maju. Ini termasuk dari segi pendapatan per kapita, kemajuan dibidang sains, teknologi dan perindustrian, peningkatan taraf hidup rakyat, sistem komunikasi yang canggih, pembangunan fizikal yang menyerlah, taraf kesihatan yang tinggi, kedudukan industri perbankan yang kukuh, taraf sistem pendidikan yang diiktiraf dunia dan sebagainya. Melihat kepada kriteria ini, tidak siapa boleh menafikan bahawa Malaysia memang sudah layak dikeluarkan daripada status negara membangun dan boleh diisytiharkan sebagai negara maju.  

 Bagaimanapun, masih ada rintangan yang harus diselesaikan sebelum cita-cita untuk menjadikan Malaysia negara maju, tercapai. Ini kerana satu lagi kriteria penting bagi membolehkan sesebuah negara diiktiraf sebagai negara maju ialah dari segi kematangan pemikiran rakyatnya. Status negara maju bukan sekadar dinilai dari segi kemajuan ekonomi dan fizikal semata-mata. Ia turut merangkumi kemajuan pemikiran rakyat. Jika rakyat masih bergelut dengan pemikiran usang dan tidak matang, apakah ia boleh dianggap pemikiran rakyat dari sebuah negara maju. Begitu juga, jika ada pihak di negara ini tidak yakin kepada kemampuan rakyat untuk menguruskan negara mereka sendiri, apakah mereka boleh dianggap mewakili pemikiran rakyat negara maju. Paling buruk, apakah rakyat diajak supaya mencarut boleh dianggap melambangkan sikap rakyat negara maju. Walaupun perkara ini dianggap remeh, tetapi dari segi perhubungan antarabangsa, ia mempunyai kesan yang besar.  

 Sikap pemikiran yang cetek ini begitu jelas di kalangan sesetengah masyarakat Malaysia. Agak menghairankan, setelah merdeka dan mengadakan beberapa kali pilihan raya, ada rakyat yang masih membangkitkan pelbagai isu yang membabitkan demokrasi. Bagaimana harus membuktikan kepada dunia bahawa negara ini sebagai sebuah negara maju sedangkan ada kalangan rakyat yang tidak faham mengenai demokrasi. Walaupun Malaysia boleh dianggap maju dari segi pembangunan fizikal, dunia mungkin memberi tanggapan bahawa kemajuan negara tidak selari dengan perkembangan pemikiran sesetengah rakyat Malaysia.  

 Di negara maju, rakyatnya memberi sokongan kepada kerajaan untuk melaksanakan projek yang menguntungkan negara dan rakyat. Di negara ini, keadaan sebaliknya berlaku akibat dipengaruhi pemimpin pembangkang. Mereka bukan saja menolak pembangunan tetapi alasan yang diberikan tidak melambangkan kewarasan. Lihat sajalah bagaimana mereka mengecam pembinaan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), Pusat Pentadbiran Putrajaya, Menara Berkembar Petronas dan sebagainya. Alasan yang diberikan adalah semata-mata untuk mencari kesalahan kerajaan. Ia adalah alasan politik. Mereka langsung tidak nampak wawasan jangka panjang kerajaan melaksanakan projek-projek seperti itu.  

 Sebenarnya sikap pemikiran sesetengah rakyat yang terkebelakang ini akibat dipengaruhi golongan tertentu yang berfikiran sempit. Mereka bukan saja menolak pembangunan, tetapi mahu melihat rakyat terus menderita. Dengan menolak pembangunan bermakna negara ini tidak boleh terkeluar daripada kepompong negara membangun. Mereka tidak mahu pengisytiharan Malaysia sebagai negara maju berlaku ketika kepemimpinan kerajaan hari ini masih berkuasa. Jika keadaan itu berlaku sekarang, mereka yang mewakili parti politik pembangkang akan kehilangan pengaruh. Oleh itu, tidak hairanlah tindak tanduk mereka itu adalah untuk menggagalkan matlamat negara menjadi negara maju.