SETUJU DIKAJI SEMULA LAYANAN ISTIMEWA ANWAR

Sebagai seorang rakyat biasa yang mempunyai hak bersuara, saya bersetuju dengan saranan oleh 'Sama Rata Rasa Kajang' dan juga saranan oleh 'Anak Jati Pulau Pinang' dalam ruangan Forum pada 23 September 1999 yang bertajuk 'Kaji Semula Layanan Istimewa Anwar di Penjara' dan juga 'Buat Baik Berpada-pada.'

Saya rasa apa yang disarankan mereka adalah memang kena pada tempatnya, kerana setiap rakyat di Malaysia mempunyai hak yang sama, sama ada baik atau buruk. Memang benar, Datuk Seri Anwar mempunyai kelebihan dan keistimewaan ketika beliau menjawat jawatan dalam kerajaan. Ketika itu beliau harus diberi penghormatan kerana jawatannya selaku Timbalan Perdana Menteri, tetapi apabila beliau telah didapati bersalah beliau harus menerima apa juga kesulitan, kesusahan seperti juga rakyat lain yang menerima hukuman.

Di sini saya berharap kerajaan harus menerima pandangan-pandangan yang dibuat oleh rakyat dengan menggugurkan keistimewaan yang telah diberi kepada Datuk Seri Anwar. Apa jua yang baik yang diberi kepadanya dianggap kerajaan ini buruk juga. Susu diberi, tuba juga yang dibalasnya.

ISMAH
Slim River