Suruhanjaya hanya helah DAP

        MINGGU lalu, pembangkang menyarankan penubuhan dua suruhanjaya. Pada Jumaat, Naib Presiden
        Parti Keadilan Nasional (Keadilan), Marina Yusoff mahu suruhanjaya diraja dibentuk menyiasat siapa
        sebenarnya mencetuskan rusuhan 13 Mei 1969. Selepas 30 ta-hun peristiwa berdarah itu berlalu, Marina
        mencadangkan penubuhannya sekarang berikutan dakwaan beliau Umno dan polis bertanggungjawab
        mencetuskan tragedi itu, dibidas ramai pihak.

        Marina yang menghadapi siasatan polis berhubung dakwaan itu menyedari dakwaannya untuk meraih
        sokongan politik, akan menjerat diri jika gagal dibuktikan. Kini be-liau terpaksa bermati-matian
        mempertahankan kenyataan itu. Barangkali, harapannya jika penubuhan suruhanjaya diterima, ia dapat
        membongkar kebenaran dakwaan beliau itu dan sepanjang penyiasatan dibuat, Keadilan dapat
        mengeksploit serta menyeret isu itu menjadi modal bernilai kempen pilihanraya kali ini.

        Kelmarin, DAP pula mencadangkan penubuhan sebuah suruhanjaya pilihanraya berasingan diketuai bekas
        Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Musa Hitam, kononnya memastikan perjalanan pilihanraya umum kali
        ini bersih, adil dan bebas. Lim Kit Siang mendakwa suruhanjaya itu perlu berikutan Datuk Seri Dr
        Mahathir Mohamad sebelum ini pernah dilaporkan berkata pilihan raya umum kali ini dijangka menjadi
        "paling ko-tor". DAP mendakwa Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) sedia ada gagal dalam peranannya
        memastikan ia tidak dipengaruhi mana-mana pihak.

        Satu-satunya modal lapuk parti pembangkang ialah penubuhan badan seperti itu sama ada suruhanjaya
        diraja mahupun bebas. Setiap kali berlaku sesuatu yang pembangkang tidak puas hati, terutamanya
        membabitkan kerajaan Barisan Nasional (BN), pantas penubuhannya dicadangkan. Lim selaku ketua
        pembangkang di Parlimen, akan berdiri mencadangkannya.

        Mungkin jika disenaraikan cadangan penubuhan itu, berjela-jela panjangnya. Apabila Rangka Rancangan
        Jangka Panjang Kedua (RRJP2) dilancarkan, DAP juga mahu suruhanjaya diraja ditubuhkan
        mengawasinya. Bagi memantau pelaksanaan Akta Pengambilan Semula Tanah 1991 atas alasan agar
        kerajaan tidak melakukan sewenang-wenang pengambilan tanah, DAP juga mahu suruhanjaya diraja
        ditubuhkan.

        Parti itu juga mahu suruhanjaya yang sama diwujudkan menyiasat isu rasuah, kronisme dan nepotisme
        membabitkan pucuk pimpinan politik tertinggi pada Mei tahun ini apabila isu itu ditimbulkan.

        Lim pernah juga mencadangkan sebuah suruhanjaya bagi meneliti segala aduan dan perasaan tidak puas
        hati orang ramai terhadap Peguam Negara, Tan Sri Mohtar Abdullah dan Jabatan Peguam Negara secara
        keseluruhan. Alasannya, bagi memulihkan keyakinan ramai terhadap kebebasan dan integriti badan
        kehakiman berikutan pelbagai aduan termasuk dicemari surat layang.

        Apabila kerajaan mengumumkan akan menyelamatkan syarikat berikutan kegawatan ekonomi,
        suruhanjaya bebas juga dicadangkan oleh mereka untuk menentukan syarikat mana yang perlu
        'diselamatkan'. Tetapi apabila Pas nyata gagal menyelesaikan isu bekalan air yang diswastakan di
        Ke-lantan, DAP tidak pun mencadangkan penubuhan suruhanjaya siasatan. Mungkin menjelang
        pilihanraya kali ini BN boleh me-ngusulkannya di Parlimen!

        Apakah muslihat pembangkang di sebalik cadangan penubuhan semua suruhanjaya itu? Apakah
        pembangkang mahu memberitahu rakyat bahawa semua orang tidak menjalankan kerja mereka dengan
        betul, tidak profesional dan tidak boleh dipercayai sehingga badan lain diperlukan mengawasi tugas
        mereka?

        Apakah SPR yang sudah banyak kali berjaya mengendalikan perjalanan pilihanraya dengan baik, kali ini
        tidak lagi mampu berbuat demikian?

        Ramai menganggap pilihanraya kali ini "paling kotor" kerana angkara pembangkang sendiri yang jelas
        dapat dilihat rakyat semakin keterlaluan. Perdana Menteri memberi gambaran itu selepas melihat fitnah,
        tohmahan dan pembohongan yang dibuat mereka sejak kebelakangan ini begitu merunsingkan rakyat yang
        cintakan keamanan.

        Perhimpunan haram dirancang manakala usaha memecah-belahkan perpaduan rakyat sudah digerakkan.
        Jikapun kerajaan setuju mewujudkan suruhanjaya itu, kita tidak pasti pembangkang akan akur menerima
        segala laporan dan keputusan penemuannya, lebih-lebih lagi jika berpihak kepada kerajaan.

        Lagipun, pembangkang sudah membuat pendirian total bahawa sesuatu itu hanya adil dan bebas jika ia
        tidak berpihak kepada kerajaan.

        Malah mereka mungkin pula menuduh Musa tidak berkecuali kerana pernah menjadi orang nombor dua
        dalam kerajaan BN walaupun suruhanjaya yang diketuainya mendapati pilihan raya kali ini terbukti tidak
        kotor dan tercemar.