TINDAKAN PERLU DIAMBIL

Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Mohd Jamil Johari berkata baru-baru ini, pihaknya akan mengambil tindakan pendakwaan terhadap mereka yang membuat laporan palsu mengenai keracunan Datuk Seri Anwar Ibrahim. Tindakan berkenaan termasuk mengikut Seksyen 499 Kanun Keseksaan. Saya tidak mahir mengenai peraturan mahkamah dan kekebalan peguam tetapi sebagai rakyat, naluri ingin tahu apakah pendedahan dan kenyataan peguam bela Anwar, Karpal Singh ketika membuat penggulungan hujah di Mahkamah Tinggi pada 10 September lalu, yang memohon supaya Anwar dihantar segera untuk menjalani pemeriksaan perubatan kerana mendakwa keracunan arsenik tidak mengandungi unsur-unsur laporan palsu?

Karpal memberitahu mahkamah mengenai keputusan ujian sampel air kencing yang didakwa milik Anwar (menggunakan nama Subramaniam). Sampel berkenaan dihantar ke Maklmal Patologi Gribbles di Melbourne, Australia dikatakan menunjukkan kandungan arsenik pada tahap 230 mikrogram (ugg) iaitu jauh lebih tinggi berbanding 3 ugg pada tahap normal (mengikut Karpal). Hasil permohonan Karpal, Hakim Datuk Ariffin Jaka mengarahkan Anwar dihantar ke Hospital Universiti Kebangsaan Malaysia (HUKM) untuk pemeriksaan perubatan. Laporan yang dikeluarkan oleh HUKM pada 5 Oktober 1999 menyangkal dakwaan Karpal.

Saya meminta pihak berkuasa khususnya Jabatan Peguam Negara, jabatan polis serta Kementerian Dalam Negeri mengambil perhatian mendalam akibat pendedahan Karpal ini. Akibat pendedahan olehnya di mahkamah, tercetus demonstrasi dan rusuhan di ibu negara. Ini mengugat keselamatan dan kestabilan kerajaan dan negara. Juga akibat daripada isu arsenik, Malaysia dikecam dan dikritik dengan teruk. Walaupun hakikatnya laporan HUKM kini membersihkan nama kerajaan, kemusnahan akibat perbuatan Karpal tidak boleh dijernihkan semula.

Memburukkan keadaan, isu arsenik ini ditimbulkan ketika berlangsungnya beberapa persidangan antarabangsa di Kuala Lumpu dan sempena sidang APEC di New Zealand. Akibat pendedahan palsu oleh Karpal, sebilangan rakyat yang hilang pertimbangan dihasut supaya bertembung dengan polis dan pelbagai tindakan lain. Malah, akibat daripada ini juga Masjid Negara dicemari oleh tindakan PAS dan Keadilan yang mengajak mereka yang bukan Islam berucap di anjung masjid itu. Malah, isu keracunan Anwar ini turut dikaitkan dengan kononnya satu konspirasi oleh pihak yang berkedudukan tinggi dalam kerajaan untuk membunuh bekas Timbalan Perdana Menteri itu.

Dakwaan ini serius dan memburukkan imej kerajaan apa lagi pembangkang sanggup berhujah bahawa Perdana Menteri dan kerajaan mahu menghapuskan Anwar melalui usaha ini. Malah, dua manusia tidak berdosa, iaitu Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Azmi Khalid dan Setiausaha Politik kepada Perdana Menteri, Datuk Abdul Aziz Samsuddin dituduh bertanggungjawab meracuni Anwar.

Yang saya mahu timbulkan di sini ialah, Karpal bukanlah peguam yang tidak terikat dengan kepentingan politik. Beliau adalah Ahli Parlimen DAP dan boleh diragui mempunyai sebab tertentu apabila menyebut mengenai perkara ini. Jika Karpal pada 27 September lalu, berhujah untuk memohon agar Datuk Ariffin mengundurkan diri daripada mengendalikan kes Anwar kerana tidak mendedahkan latar belakang, bagaimana dengan Karpal sendiri yang terang-terangan menjadi pemimpin dengan sebuah parti politik pembangkang tetapi membela seseorang di depan Ariffin?

Jika Karpal mengatakan hakim berkenaan pernah menjadi ahli lembaga pengarah Syarikat Dataprep Holdings Bhd, yang pemegang saham terbesarnya ialah anak Perdana Menteri, Mirzan Mahathir, Karpal juga ada kaitan penting dengan Anwar. Parti yang diwakili Karpal, DAP sudah membuat kenyataan menyokong untuk melantik Anwar sebagai Perdana Menteri sekiranya parti alternatif menang. Adakah ini suatu kaitan kepentingan dan terang-terangan ada 'motif politik' di sebalik pembelaan Karpal terhadap Anwar?

Saya ingin dapatkan pandangan Pejabat Peguam Negara, polis dan Kementerian Dalam Negeri, apakah Karpal patut dibebaskan begitu sahaja atau boleh didakwa, tidak kiralah sama ada melalui Seksyen 500 Kanun Keseksaan atau sebagainya. Sebabnya, beliaulah yang memulakan segala kerenah dan tohmahan ini. Kesalahan mengikut Seksyen 500 ialah penjara dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali.

PELAJAR UNDANG-UNDANG
UIAM, Gombak, Selangor