Rakyat Kelantan mahukan kemajuan
DALAM pilihan raya umum 1978, rakyat Kelantan
telah menumbangkan kerajaan
Pas yang bergelumang dengan skandal balak
dan pemimpinnya dikatakan terlibat
dengan penyalahgunaan kuasa.
Rakyat Kelantan ingin melihat negeri mereka
maju seperti negeri-negeri lain yang
berada di bawah pemerintahan Barisan Nasional.
Bermula tahun itu, sehingga 1990, harapan
mereka tercapai. Di bawah pemerintahan
BN, rakyat melihat pembinaan Lebuh Raya
Kuala Krai-Gua Musang-Kuala Lipis,
Lebuh Raya Timur-Barat dan penghapusan
tol Jambatan Sultan Yahya Petra.
Malah, dari tahun 1978 hingga 1984 kerajaan
BN negeri telah membina 987.94
kilometer jalan bernilai lebih dari RM300
juta bahkan dalam Rancangan Malaysia
Kelima (RML 1986-1990), Kelantan diperuntukkan
RM309.74 juta, iaitu jumlah
tertinggi di antara negeri-negeri di Semenanjung
bagi pembinaan jalan raya dan
jambatan.
Semua projek prasarana pengangkutan ini
dapat meringankan beban dan
memudahkan perjalanan rakyat, seterusnya
merangsang kegiatan ekonomi mereka.
Agensi kerajaan seperti Kesedar (ditubuhkan
1978) yang telah diwujudkan bagi
membangunkan kawasan Kelantan Selatan
(meliputi Hulu Kelantan, Kuala Krai, Batu
Melintang dan Jeli) seluas 1.05 juta hektar
merangkumi 3/4 keluasan negeri Kelantan
telah mencapai kejayaan besar.
Kalau sebelum 1978, hanya 53 916 hektar
tanah pertanian di kawasan Kesedar
dibangunkan tetapi setelah hanya enam
tahun beroperasi, ia dapat membangunkan
106,910 hektar tanah pertanian iaitu pertambahan
hampir 100% dan seterusnya
meluaskan punca rezeki rakyat.
Manakala di bawah program pembangunan desa
tersusun, lebih 7,000 rakyat dari 20
kampung tradisional dapat manfaat kemudahan
asas.
Ini membolehkan mereka meningkatkan taraf
hidup keluarga. Malah dari segi
kemudahan asas, peratusan penduduk daerah-daerah
di bawah Kesedar pada tahun
1991 yang menikmati air paip bersih adalah
tinggi. Daerah-daerah itu ialah Jeli
(90.4%), Kuala Krai (79.8%) dan Hulu Kelantan
(77.2%). Manakala bagi bekalan
elektrik pula, peratusan penduduk yang
menikmatinya ialah pada kadar 85.4% di Jeli,
76% di Kuala Krai dan 71.1% di Hulu Kelantan.
Bandar Kota Bharu mengalami perubahan pesat.
Bangunan pejabat kerajaan yang
baru seperti Kota Darulnaim dan Kompleks
Balai Islam dibina dan memberikan imej
moden kepada persekitaran bandar. Tidak
dilupakan pusat perniagaan seperti Pasar
Pusat Buluh Kubu, gerai-gerai di Berek
12 serta Perhentian Bas Ekspres Jalan
Hamzah.
Hospital Universiti Sains Malaysia di Kubang
Kerian pula merupakan pemberian
Kerajaan BN kepada rakyat Kelantan di
dalam rangka meningkatkan mutu kesihatan
mereka.
Malangnya mulai Oktober 1990 Kelantan telah
kembali ke zaman pembangunan
statik dan mutu hidup yang semakin merosot.
Penolakan rakyat Kelantan terhadap UMNO
pada tahun 1990 dan 1995 hanya
kerana perpecahan dalam UMNO pada tahun
1987.
Pada tahun 1996, orang Melayu Kelantan
yang berasal dari UMNO kembali bersatu.
Tengku Razaleigh Hamzah yang dilantik
menjadi Pengerusi Badan Perhubungan
UMNO Negeri berpengalaman dengan perangai
Pas menjadi harapan rakyat
Kelantan untuk memulakan era baru membangun
untuk rakyat kerana agama, bangsa
dan negeri.
Apakah orang Kelantan berpuas hati melihat
anak-anak mereka berhijrah ke tempat
lain mencari rezeki? Adakah mereka tidak
berminat kepada lebuh raya baru atau
pelaburan baru ataupun pembinaan sebuah
universiti? Adakah mereka tidak berminat
kepada kilang-kilang baru yang akan membuka
peluang pekerjaan luas kepada
mereka?
Tidakkah mereka mahu lapangan terbang yang
lebih besar, baik dan selesa? Tidak
inginkah mereka pada pelabuhan laut? Tidakkah
kaum wanita di sana yang sangat
kuat tenaga dan usaha mereka dalam bidang
perniagaan tidak berminat kepada
peluang perniagaan dan sumbangan kewangan
yang lebih? Kuasa bagi merealisasikan
semua itu berada di tangan mereka.
Kerajaan Pas negeri tidak mampu menyediakan
kemudahan asas yang mencukupi
kepada rakyat Kelantan. Contohnya walaupun
mengikut perlembagaan negara air
sepenuhnya berada di bawah bidang kuasa
kerajaan negeri tetapi Pas gagal
menguruskan soal ini dengan baik. Sepanjang
Pas memerintah negeri Kelantan dari
tahun 1959-1978 hanya 15% daripada rakyat
Kelantan menikmati air paip bersih
tetapi dari tahun 1978 hingga 1990 apabila
BN menjadi kerajaan, ia meningkat
menjadi 69.1%.
Apabila Pas kembali memerintah keadaan
menjadi buruk, penswastaan air gagal
dengan kos yang besar pada rakyat sehinggakan
terpaksa memohon pertolongan dari
Kerajaan Pusat.
Masih terdapat hampir 30% rakyat Kelantan
yang mendapatkan sumber air dari
telaga, jelas menunjukkan kerajaan pimpinan
Pas tidak mampu menangani masalah
ini. Parit yang besar tidak mencukupi
hinggakan banjir besar berlaku dengan mudah
bila hujan lebat menimpa.
Bandar-bandar mudah menjadi kotor kerana
lori untuk mengangkut sampah tidak
mencukupi. Parit tersumbat merupakan perkara
biasa. Sistem pembuangan najis
masih primitif sebab itulah taun mudah
merebak di Kelantan.
Mengikut kajian separuh penggal Rancangan
Malaysia Ketujuh sejumlah 19.2%
penduduk di Kelantan berada di bawah paras
kemiskinan, ini bermakna hampir setiap
seorang dari lima penduduk adalah orang
miskin.
Pas tidak dapat menafikan bahawa jumlah
peratusan kemiskinan di Kelantan
dikurangkan melalui usaha Kerajaan BN
dari sejumlah 67.1% pada tahun 1976
kepada 39.2% pada tahun 1984.
Walaupun selepas 1990 Kelantan diperintah
Pas, Kerajaan Pusat melalui agensinya
tetap berusaha mengurangkan kadar kemiskinan
di Kelantan. Hasilnya menjelang
1997 kemiskinan dapat dikurangkan kepada
19.2% Itupun negeri Kelantan masih
mempunyai peratusan tertinggi berbanding
dengan negeri-negeri lain di Malaysia.
Pengurangan ini dapat dicapai walaupun
kerajaan negeri tidak memberikan kerjasama
dan masih terbelenggu dengan sindrom penafian
(denial syndrome).
ZAID IBRAHIM