Menyalah guna fungsi masjid
ISU khatib menghentam kerajaan berkumandang
lagi. Ia bukan cerita baru, apatah
lagi hampirnya pilihan raya inilah saat
bagi golongan ini memanfaat masjid sebagai
tempat mencari pengaruh dan mempertikaikan
sistem pemerintahan sekarang.
Ia bukan sahaja mencemarkan masjid malah
institusi dakwah dikatakan bermula di
masjid. Masjid bukanlah gelanggang untuk
mengecam sikap negatif umat, sebaliknya
tempat menghidupkan sikap positif umat
melalui dakwah yang bijaksana dan
berhikmah.
Masjid sebenarnya rumah Allah s.w.t. di
mana tetamunya datang mengunjungi rumah
itu untuk tunduk mengabdikan diri kepada
Yang Maha Berkuasa dan berjanji akan
mematuhi segala perintah dan menjauhi
larangan-Nya.
Jadi bersujud waktu menunaikan solat di
Rumah Allah atau masjid merupakan
pengakuan dan perjanjian yang diperbaharui
lima kali setiap hari di hadapan Allah
s.w.t. oleh seorang Muslim dengan mengaku
bahawa dia akan hidup secara Islam
selaras dengan firman Allah s.w.t. dalam
ayat 45 surah al-Ankabut yang bermaksud:
Bahawa sesungguhnya sembahyang itu mencegah
dari perbuatan yang keji dan
mungkar.
Ketika Rasulullah s.a.w. berhijrah ke Madinah,
langkah pertama yang baginda
lakukan adalah membangun masjid kecil
yang berlantaikan tanah, dan beratapkan
pelepah kurma. Di sini baginda kemudian
membangunkan masjid yang besar,
membangun dunia ini, sehingga kota tempat
beliau membangun itu benar-benar jadi
Madinah (seperti namanya) yang erti harfiahnya
adalah 'tempat peradaban' atau paling
tidak, dari tempat tersebut lahir benih
peradaban baru umat manusia. rasulullah
bersabda:
Telah dijadikan untukku (dan untuk umatku)
bumi sebagai masjid dan sarana
penyucian diri. (Riwayat Bukhari dan Muslim).
Demikian juga al-Quran menyebutkan fungsi
masjid antara lain dalam firman Allah
yang bermaksud:
(Nur hidayah petunjuk Allah itu bersinar
dengan nyatanya terutama sekali) di
rumah-rumah ibadat yang diperintah oleh
Allah supaya dimuliakan keadaannya dan
disebut serta diperingat nama Allah padanya;
di situ juga dikerjakan ibadat mensuci
dan memuji Allah pada waktu pagi dan petang.
(Surah an-Nur ayat 26).
Masjid adalah milik Allah, kerana itu kesuciannya
harus dipelihara. Segala sesuatu
yang diduga mengurangi kesucian masjid
atau dapat mengesankan hal tersebut, tidak
boleh dilakukan di dalam masjid.
Apatah lagi menggunakan masjid sebagai
tempat untuk menghina, mencemuh,
mencaci, mencarut dan pelbagai kata-kata
yang tidak wajar diucapkan.
Masjid harus mampu memberikan ketenangan
dan ketenteraman pada pengunjung.
Justeru, Rasulullah s.a.w. melarang adanya
benih-benih pertengkaran di dalamnya,
sampai baginda bersabda yang bermaksud:
Jangan engkau mendapati seseorang menjual
atau membeli di dalam masjid,
katakanlah kepadanya, ''Semoga Allah tidak
memberi keuntungan bagi
perdaganganmu, dan bila engkau mendapati
seseorang mencari barangnya yang
hilang, di dalam masjid, maka katakanlah,
Semoga Allah tidak mengembalikannya
padamu'' (semoga kamu tidak menemukannya).
Hadis di atas tidak bererti larangan berbicara
tentang perniagaan yang sifatnya
mendidik umat atau melarang para pembina
dan pengelola masjid berniaga, melainkan
yang dimaksud adalah larangan melakukan
transaksi perniagaan di dalam masjid.
Fungsi masjid paling tidak dinyatakan oleh
hadis Rasulullah s.a.w. ketika menegur
seseorang yang membuang air kecil (di
samping) masjid sabdanya yang bermaksud:
''Masjid-masjid tidak wajar untuk tempat
kencing atau (membuang sampah). Ia hanya
untuk (dijadikan tempat) berzikir kepada
Allah Taala, dan membaca (belajar)
al-Quran.'' (Riwayat Muslim).
Sebagai imam atau khatib sesebuah masjid
seharusnya memiliki sifat lemah lembut
supaya dapat menarik pemuda-pemuda dan
orang ramai yang selama ini jauh
daripada masjid. Ini dapat dilakukan dengan
penuh hikmah dan kata-kata yang baik
sebagaimana yang ditegaskan dalam al-Quran
yang bermaksud:
''Serulah ke jalan Tuhan kamu dengan bijaksana
dan nasihat yang baik.'' (Surah
an-Nahl ayat 125).
Imam seperti yang digambarkan di atas,
berupaya membina kepercayaan orang lain
terhadapnya. Masyarakat akan menerimanya
dengan fikirannya terbuka, hati yang
bersih dan jiwa yang dipenuhi dengan kecintaan.
Dalam hal ini Allah berfirman yang
bermaksud:
''Jika kamu kasar, keras hati nescaya mereka
akan menjauhi diri mereka dari kamu.''
(Surah Ali Imran ayat 159).
Tujuan pembinaan masjid ialah untuk beribadat
kepada Allah Tuhan Yang Maha Esa,
mendirikan solat dan memperingatkan cara
hidup Islam, meninggalkan gelagat duniawi
serta menyahut bisikan-bisikan kebenaran.
Oleh itu, terdapat beberapa perkara yang
tidak wajar dilakukan di masjid demi untuk
menjaga adab dan tatasusilanya. Ibnu
Majah meriwayatkan bahawa Ibnu Umar telah
berkata: "Beberapa perkara yang
tidak harus dilakukan di masjid. Antaranya
tidak boleh dibuat jalan, tidak boleh
menghunuskan senjata, tidak boleh menghentaknya
dengan busar, tidak boleh
bermain anak panah kerana ditakuti akan
terkena orang ramai yang penuh sesak
bersembahyang di dalamnya.''
Oleh itu, Rasulullah s.a.w. memerintahkan dalam sebuah hadis sahih yang bermaksud:
''Apabila seorang lelaki berjalan sambil
membawa anak panah, hendaklah dia
menutup matanya (Hujung anak panah) supaya
tidak menyakiti orang lain.
Islam juga menganjurkan umatnya memakai
wangi-wangian serta pakaian yang cantik,
ketika ke masjid bersih tubuh badan dari
bauan yang busuk adalah untuk menjaga
bau-bauan dan haruman masjid agar ia tidak
mengganggu para jemaah yang
mengunjungi masjid. Apatah lagi kalau
inilah matlamat Islam.
Islam juga melarang keras umat Islam menggunakan
perkataan-perkataan yang kesat,
caci maki dalam masjid kerana ia boleh
mengganggu jemaah yang hadir untuk
beribadat dalam keadaan khusyuk kepada
Allah.
MOHD. SHAUKI ABD. MAJID, Penolong Pengarah,
Yayasan Dakwah
Islam Malaysia (YADIM)