Walaupun tarikh pilihan raya umum tidak sesiapa pun dapat mengetahuinya, namun bahang pilihan raya sudah dirasakan oleh pelbagai pihak khususnya parti politik. Pilihan raya tetap akan diadakan bila-bila masa selaras dengan amalan demokrasi.
Begitu juga Umno bahagian Labuan sudah bersiap sedia membentuk jentera pilihan raya membabitkan kerjasama Pergerakan Pemuda dan Wanita untuk menghadapi segala cabaran parti pembangkang.
Ahli Parlimen Kawasan P145 Labuan, datuk Abdul Mulok Awang Damit, Calon Barisan Nasional (BN) dalam pilihan raya 1995 bertanding atas tiket Umno. Ketua-ketua Umno cawangan yang juga ketua kampung yakin BN akan mencapai kejayaan dan kemenangan besar seterusnya mengekalkan kerusi Parlimen yang dimenangi BN itu.
Keyakinan ini berdasarkan kesedaran rakyat khususnya orang-orang Melayu, kerana kerajaan BN saja yang mampu mentadbir Labuan untuk membawa pembangunan, perubahan dan pembangunan pesat. Malah kawasan luar bandar di kampung juga turut dimajukan dengan pelbagai kemudahan asas. Kemampuan Bn terbukti dan telah menjadi kenyataan dan segala usaha untuk memajukan Labuan berterusan berlandaskan kerjasama dan perpaduan kaum.
Maka untuk mewujudkan perpaduan pelbagai kaum, sikap mengamalkan hubungan berbaik-baik dan hormat menghormati antara satu sama lain amat penting. Antara nilai-nilai murni inilah yang dibawa oleh Umno dan BN.
Kita sama-sama faham dan menyedarinya bahawa hanya Umno sajalah yang mampu menjadi teras politik perjuangan bangsa Melayu. umno mampu membela dan mencemerlangkan Bangsa Melayu termasuk ekonomi dan pelajaran bangsa Melayu. Maka dalam kita berusaha mencapai segala cita-cita murni ini, kita perlu bergerak dalam satu pasukan yang bersatu padu dalam Umno. Golongan muda juga perlu bersama dengan golongan lama kerana mereka mempunyai pengalaman yang luas dalam politik.
Ketahuilah, pasukan kita adalah Umno, cara kita adalah cara Umno, tradisi politik kita adalah tradisi Melayu, budaya, budi dan bahasa kita adalah Melayu, adat rumah tangga kita adalah Melayu. Pentingnya dalam perjuangan Umno ini ialah mempunyai ketahanan dan yakin pada diri sendiri. Sikap pentingkan diri, sombong dan bersikap keterlaluan dalam perjuanagn Umno akan menimbulkan banyak masalah dan parti akan menghadapi risikonya.
Oleh itu, wajarlah kita bersyukur segala-segalanya kerana berkat kepimpinan Datuk Seri Dr Mahathir Mohamad telah membawa Malaysia ke satu ambang kecemerlangan yang mungkin tidak dimimpikan sebelum ini. Kepimpinan Dr Mahathir yang berwibawa dan berwawasan juga menonjolkan Malysia sebagai sebuah negara yang diiktiraf di kalangan dunia ketiga.
Kejayaaan dan kemampuan Kerajaan BN terbukti memajukan dan membawa pembangunan di Labuan ini, bukan saja dalam kawasan bandar untuk dimajukan dengan pembangunan yang pesat malah juga di luar bandar.
Saya yakin bahawa ahli Umno tidak mudah dipengaruhi denagn janji manis tinggi melangit dan pelbagai pandangan yang sempit semata-mata untuk mengelirukan dan memecahbelahkan perpaduan ahli dan penyokong sedia wujud.
Maka dengan itu, kami ahli Umno cawangan akan memberikan sokongan padu kepada Perdana Menteri dengan timbalannya, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi.
HUSSIN WALLI, Labuan