Saya setuju dengan pandangan Khairul (Utusan Malaysia, Selasa 5 Oktober) dalam ruangan forum yang memperlihatkan bahawa kes Anwar tidak dikendalikan dengan betul oleh beberapa pihak iaitu pihak pendakwa raya, mahkamah, Hospital Universiti Kebangsaan Malaysia (HUKM) dan Kementerian Dalam Negeri.
Bagi saya, paling ketara ialah rancangan sulit Datin Seri Dr Wan Azizah yang gagal sama sekali kerana 'tidak dikendalikan dengan betul'. Oleh sebab itu terdapat percanggahan antara kenyataan-kenyataannya sendiri tentang dakwaan kes arsenik suaminya, Anwar Ibrahim. Apabila kes arsenik ini 'terbongkar', Dr Wan Azizah sebagai seorang ahli perubatan sedar tentang segala prosedur-prosedur yang harus dilalui untuk membuktikan kesahihan kes arsenik tersebut.
Namun dia mengambil jalan mudah dengan mempercayai ujian ke atas sampel 'Subramaniam" yang dilakukan oleh makmal Gribbles Pathology di Melbourne, Australia. Ujian yang belum tentu kesahihan ini cukup untuk Dr Wan Azizah mengugat keselamatan negara dan ketenteraman awam melalui demonstrasi dan tunjuk perasaan yang melampui batas peradaban dan undang-undang.
Malah, Yang Dipertuan Agong dan sultan-sultan pun diberikan memorandum untuk membesar-besarkan kes arsenik Anwar!
Melenting
Apabila Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Badawi mengumumkan yang Anwar tidak keracunan, Wan Azizah melenting kerana kononnya Abdullah tidak seharusnya membuat pengumuman tersebut. Lupakah Dr Wan Azizah bahawa dialah orang yang pertama mengumumkan bahawa Anwar 'mungkin terlepas dari sebarang keracunan arsenik'? Mungkin Wan Azizah tidak baca Harakah yang memaparkannya di muka hadapan.
Bukankah pengumuman ini juga diikuti dengan pendedahan-pendedahan yang hampir serupa dari peguam Anwar? Sekarang Dr Wan Azizah mahukan agar kerajaan menubuhkan sebuah suruhanjaya bebas untuk menyiasat dakwaan kes arsenik suaminya. Permintaan ini tidak lojik kerana sebelum ini, Wan Azizah sendiri yang telah menafikan bahawa Anwar diracun. Mengapa harus tubuh sebuah badan khas untuk menyiasat sesuatu yang tidak berlaku? Bukankah ini pelik!
Sekaligus, pengumuman Dr Wan Azizah membangkang Setiausaha Agung DAP, Lim Kit Siang yang mahukan siasatan bebas mengenai kesihatan dan perlakuan terhadap Anwar di penjara. Nasihat saya kepada Wan Azizah ialah agar beliau meminta maaf kepada rakyat Malaysia kerana membohongi mereka tentang kes arsenik Anwar.
Belajarlah dari kesalahan ini. Jangan hanya mahu kenyang sendiri tanpa memikirkan kepentingan majoriti rakyat di Malaysia.
IBRAHIM MOHD
Petaling Jaya, Selangor