Edisi Bahasa Malaysia
Wanita bekerja bukan isu dalam Islam
 

SERING KALI realiti yang wujud di dalam masyarakat Islam menjadi anak panah
yang berpatah balik menikam orang-orang Islam sendiri.

Imej Islam pada umumnya yang sering dilihat dalam bentuk yang amat negatif,
terutamanya di kalangan masyarakat Barat, merupakan satu contoh yang nyata
bahawa realiti dalam dunia Islam sendiri banyak menyumbang ke arah gambaran yang
negatif itu.

Gambaran tentang kemunduran masyarakat Islam dalam bidang ilmu pengetahuan dan
ekonomi, kekolotan bertindak dan berfikir, amat mudah sekali diberikan contoh dan
modelnya dalam negara Islam dan ditonjolkan sebegitu rupa sebagai kenyataan umat
Islam dan negara Islam yang akhirnya semua gambaran buruk dan negatif ini akan
dilabelkan kepada Islam.

Isu-isu remeh-temeh tentang wanita di negara kita sejak akhir-akhir ini iaitu ketika
membicarakan wanita dan pekerjaan, wanita dan politik, dan berlarutan pula kepada
sifat-sifat lahir wanita yang rupawan atau tidak untuk dihubungkan dengan keharusan
bekerja atau tidak bekerja, seterusnya menjadi ukuran pula untuk bertemu jodoh
dengan orang kaya atau miskin yang juga mempunyai hubungan dengan isu keharusan
bekerja atau tidak, semuanya ini merupakan satu lagi fenomena kekecohan pemikiran
orang Islam yang sedang melanda dunia Islam dan sekali gus merupakan realiti
pemikiran orang Islam yang amat ganjil sekarang ini, yang mungkin juga merupakan
satu kisah komedi yang ditertawakan dunia umumnya.

Maka hal in juga akan merupakan senjata yang menikam diri kita sendiri dan
menggambarkan kedangkalan cara berfikir kita.

Selama ini saya merasakan bahawa sekurang-kurangnya di negara kita banyak isu
wanita yang telah dapat diselesaikan mengikut prinsip-prinsip syariah dan
undang-undang yang sewajarnya.

Budaya dan tradisi hidup kita juga tidak merupakan satu cara hidup yang bertindak
mengurung wanita di dalam rumah, atau membungkus mereka keseluruhannya dan
meletakkan mereka dalam posisi yang rendah.

Saya dapat merasakan bahawa isu wanita Islam dengan pekerjaan telah dapat
difahami dan diselesaikan di berbagai-bagai peringkat, termasuk tentang pandangan
Islam terhadap isu ini, malahan kedudukan wanita dalam pekerjaan sebagai peguam,
hakim dan sebagainya telah juga dapat diselesaikan berpandukan pandangan
berbagai-bagai mazhab dalam agama kita.

Isu-isu yang sering ditimbulkan apabila dibicarakan tentang kedudukan wanita Islam
dalam masyarakat, terutamanya yang mempunyai hubungan dengan institusi keluarga
seperti isu perceraian, poligami, harta pusaka, harta sepencarian, gantung tak bertali
dan sebagainya hampir keseluruhannya telah ditangani dengan baik melalui
undang-undang yang digubalkan untuk mencari keadilan dalam hal ini dan
menghapuskan unsur-unsur penyalahgunaan kuasa oleh para lelaki dan suami yang
tidak bertanggungjawab.

Dengan senario ini, isu wanita di negara kita nampaknya berjaya ditangani dengan
baik dan menampakkan pelaksanaan yang agak maju ke hadapan dalam
memartabatkan wanita Islam khususnya sesuai dengan prinsip agama dan nilai-nilai
ajarannya.

Sepatutnya dari langkah ini kita haruslah terus maju ke muka dan melangkah ke
hadapan dengan menangani banyak lagi isu lain yang lebih mencabar dalam
meningkatkan kedudukan wanita dalam masyarakat kita yang perlu diterokai
seterusnya.

Dalam zaman moden yang berada di ambang alaf baru ini, rasanya kita amat
ketinggalan zaman untuk terus berbicara tentang isu-isu wanita seperti yang
ditimbulkan itu. Kita seharusnya lebih peka dan sedar tentang cabaran-cabaran yang
lebih serius yang sedang disebarkan di dalam internet umpamanya tentang isu wanita
Islam itu.

Dalam Internet terdapat laman web yang sengaja direka untuk memburuk-burukkan
Islam atau menimbulkan kekeliruan fikiran orang ramai terhadap ajaran dan nilai
Islam, termasuk layanannya terhadap wanita. Tuduhan yang sering lahir sebagai fitnah
itu akan tertumpu kepada diri Rasulullah s.a.w sendiri yang dianggap menjadi model
kekejaman Islam terhadap wanita tanpa diperiksa hikmah atau latarbelakang
keagamaan yang sebenarnya.

Dalam salah satu laman web yang amat mencabar itu terdapat kecaman berikut dalam
isu wanita;

1) Tuduhan liar ditujukan kepada nabi kita Muhammad s.a.w kononnya baginda
berkahwin dengan al-Sayyidah Khadijah sedangkan umur wanita ini melebihi umur
baginda sebanyak 15 tahun, kerana baginda ingin hidup mewah daripada harta wanita
ini buat pertama kalinya tanpa perlu bekerja barang sehari pun.

2) Setelah kewafatan Khadijah, iaitu ketika umur baginda Rasulullah s.a.w
menjangkau 49 tahun, maka tuduhan yang ditujukan kepada baginda bahawa di
antara umurnya 49 dan 63 tahun, baginda telah berkahwin sebanyak 11 kali, dan ini
semua mengikut tohmahan itu menunjukkan bahawa wanita menjadi objek seks dan
institusi keluarga telah dipermain-mainkan.

3) Isu perkahwinan baginda Rasulullah dengan Aisyah binti Abu Bakar di usia yang
muda juga telah dijadikan senjata untuk menikam ajaran Islam. Tanpa melihat kepada
sejarah dan fakta umur ketika baginda mengahwini Sayyidah Aisyah dan masa
bersama dengan Rasulullah, tuduhan pedas dilemparkan kepada baginda sebagai
orang yang melakukan penderaan seks kepada kanak-kanak.

4) Hakikat perkahwinan baginda Rasulullah s.a.w dengan Zainab binti Jahsy juga
diselewengkan begitu rupa. Tanpa melihat kepada hikmat ajaran Allah s.w.t dalam hal
ini, mereka juga menuduh Islam membenarkan salah laku bapa angkat terhadap anak
angkatnya dengan mengahwini isteri anak angkatnya, iaitu Zaid dalam kes ini.

Contoh-contoh yang disebutkan di atas merupakan sebahagian daripada
penyelewengan pihak yang ingin melemahkan Islam dan mewujudkan perasaan
ragu-ragu di dalam masyarakat dunia moden terhadap ajaran Islam. Maka amat
mudah sekali salah faham itu ditimbulkan dengan menggunakan isu wanita yang sudah
sememangnya merupakan masalah yang rumit dan banyak mengelirukan masyarakat
Islam sendiri.

Oleh itu saya rasa masyarakat Islam sedang berhadapan dengan isu yang amat besar
tentang wanita dan ajaran Islam, bukan lagi isu wanita itu harus bekerja atau tidak,
dan wanita mana pula yang harus bekerja atau tidak bekerja dari segi sifat lahirnya.
Isu yang serius yang sedang kita hadapi merupakan persoalan maruah dan jati diri
umat Islam dan agama Islam itu sendiri.

Hal ini menjadikan kita tertanya-tanya apakah kita cukup mempunyai persediaan ilmu
pengetahuan yang sebenarnya bagi menjawab dan mematahkan hujah pihak yang
mencabar dan menuduh itu? Apakah kita benar-benar berada dalam posisi yang
cukup baik dalam dunia ilmu moden ini untuk menjawab dengan penuh yakin
terhadap pencabar kita dengan menggunakan hujah sosial dan politik di samping
hujah agama yang bersandarkan kepada al-Quran dan Sunah?

Kalau orang Islam sendiri tidak dapat mencari jawapan yang meyakinkan dalam
isu-isu ini, maka amatlah dikhuatiri bahawa masyarakat Islam, khususnya anak-anak
muda yang memantau dan mengikuti laman web seperti ini akan mudah terpengaruh
dengan hujah yang diberikan dalam cabaran-cabaran terhadap kesucian agama kita.

Cabaran-cabaran dalam Internet ini sebenarnya amat merbahaya dan serius. Ia
menyentuh nyawa dan nadi umat Islam sendiri, malah mempunyai hubungan dengan
pemartabatan Islam sendiri yang sedang diusahakan di seluruh dunia.

Imej Islam akan terus merosot dan kabur sekiranya umat Islam tidak mempunyai
cukup kekuatan di dalam bidang politik, ekonomi dan ilmu pengetahuan yang mantap
dalam menangani isu ini dengan sebaik-baiknya.

Jadi dalam menghadapi cabaran-cabaran yang besar ini apakah masih relevan dan
wajar kita membicarakan isu-isu sampingan yang sebenarnya tidak lagi merupakan isu
di dalam masyarakat kita?

Apakah setelah sekian jauh kita melangkah ke hadapan dalam menuju ke era baru
dalam meningkatkan martabat agama kita, termasuk kedudukan wanita Islam di
negara kita, maka kita harus terus membicarakan persoalan wanita dan pekerjaan
dengan segala macam persoalan yang amat dangkal dan cetek?

Apakah dengan beralaskan agama dan pentafsiran kita sendiri, maka kita sering
sahaja mengeluarkan pandangan yang kita sangka membawa ke hadapan, pada hal
sebenarnya kita telah membawa dunia kita kembali ke kurun-kurun yang lampau?

Oleh itu amatlah wajar bagi kita orang Islam merangka dan melaksanakan agenda
perjuangan kita yang lebih serius dan berpijak di alam nyata, pada masa dan waktu
ketika semua orang di dunia ini sedang melangkah ke abad baru yang penuh cabaran.

DATUK DR ISMAIL IBRAHIM, Ketua Pengarah IKIM.