Kalau sejak akhir-akhir ini Datuk Seri Anwar Ibrahim sakit kepala, ia bukanlah sesuatu yang menghairankan. Peristiwa yang tercetus sejak beliau didakwa diracun mungkin boleh menyebabkan dia mengalami masalah tersebut sekarang. Kita masih ingat bagaimana rakyat digemparkan dengan berita dia diracun arsenik. Pemgumuman dibuat oleh peguambelanya, Karpal Singh yang juga seorang pemimpin dan Ahli Parlimen DAP, di mahkamah baru-baru ini.
Isteri Datuk Seri Anwar, Datin Seri Wan Azizah Wan Ismail turut membuat kenyataan media mendakwa suaminya diracun. Dakwaan itu dibuat berdasarkan hasil ujian yang dijalankan pada contoh air kencing yang dihantar ke sebuah makmal di Australia. Laporan makmal tersebut ada mengatakan bahawa kadar arsenik dalam air kencing tersebut adalah 230. Bagaimanapun, nama tuan punya contoh air kencing tersebut adalah Subramaniam. Dia dikatakan berumur 59 tahun.
Mahkamah yang bersidang pada pagi Jumaat 10 September, mengarahkan Datuk Seri Anwar dibawa ke hospital untuk pemeriksaan dengan segera.
PERSIDANGAN
Permohonan peguambela agar anak guamnya dihantar ke Hospital Universiti Kebangsaan Malaysia (HUKM) turut diluluskan pihak mahkamah. Ketika itu, dua persidangan antarabangsa, APEC di New Zealand dan Persidangan Undang-Undang Komanwel di Kuala Lumpur baru hendak bermula.
Pada masa yang sama juga, pelbagai khabar angin disebarkan termasuk kononnya Datuk Seri Anwar sakit tenat dan ada juga yang mengatakan beliau meninggal dunia. Kekecohan yang timbul akibat khabar angin tersebut turut diambil peluang oleh penyokong Datuk Seri Anwar untuk mengadakan perhimpunan haram termasuk di perkarangan Masjid Negara.
Untuk memberi gambaran seolah-olah perhimpunan tersebut turut disertai oleh orang bukan Melayu, penceramah bukan Islam diberi peluang menyampaikan ceramah dalam kawasan masjid. Mereka juga mengambil peluang mengkritik kerajaan dengan melempar pelbagai tohmahan dan fitnah. Perhimpunan di Masjid Negara dikaitkan dengan penyerahan memorandum kepada Yang Dipertuan Agong dan raja-raja Melayu.
Penyokong Datuk Seri Anwar juga bertindak liar dengan membelasah anggota polis yang ditugaskan menjaga keamanan di situ. Kejadian tersebut mendapat liputan meluas oleh media asing terutama CNN, CNBC, Asia Wall Street Journal, BBC, Financial Times, International Herald Tribune dan lain-lain. Tindakan mereka untuk mencemar imej negara telah berjaya.
Selain itu, kelewatan menyiapkan laporan ujian tersebut oleh HUKM dan tindakan beberapa pihak tertentu di hospital tersebut menyebabkan ia dikritik hebat oleh pembaca akhbar menerusi ruangan surat pembaca. Rakyat jelas marah dengan pihak HUKM yang seolah-olah melambat-lambatkan proses menyediakan laporan tersebut.
MELIBATKAN
Pihak HUKM juga dituduh seolah-olah bersubahat dengan melambat-lambatkan penyiasatan berhubung kes keracunan dengan tujuan melengah-lengahkan perbicaraan kes liwat melibatkan Datuk Seri Anwar. Kenyataan HUKM yang menyebut bahawa Datuk Seri Anwar berada dalam keadaan sihat menjadi tanda tanya setelah beliau dilaporkan mengadu tidak sihat semasa perbicaraan disambung semula.
Selain itu Dr Wan Azizah cuba meraih simpati orang ramai dengan mengatakan bahawa pihak penjara tidak membenarkan beliau atau keluarga melawat Datuk Seri Anwar. Bagaimanapun, pihak penjara telah menafikan perkara tersebut dan mendedahkan bahawa Dr Wan Azizah dan anak-anak serta ahli keluarga ada melawat Datuk Seri Anwar. Malahan ramai peguam termasuk sahabat Anwar dan Menteri Besar Kelantan sendiri ada melawat beliau di hospital.
Ekoran terdapat tanda-tanda Datuk Seri Anwar berkemungkinan tidak diracun seperti yang didakwa sebelum ini, Dr Wan Azizah telah mengambil langkah awal menanam keraguan terhadap keputusan hasil ujian yang bakal dikeluarkan dengan mengatakan rakyat jangan terkejut sekiranya tiada laporan keracunan.
Beliau kononnya was-was mengenai sampel rambut, kuku dan air kencing Datuk Seri Anwar yang diambil oleh pihak berkuasa untuk dianalisis. Bagaimanapun mungkin Dr Wan Azizah sendiri lupa bahawa HUKM juga turut mengambil sampel tersebut untuk tujuan sama.
DISUNTIK
Tetapi kenyataan Dr Wan Azizah tidak menghairankan kerana beliau juga pernah mengatakan suami beliau akan disuntik dengan virus HIV oleh kerajaan. Ini semua menjadi satu pengajaran kepada kita semua. Janganlah hendaknya ada pihak yang sengaja berbohong untuk meraih simpati orang ramai kerana perbuatan tersebut sekiranya terbukti tidak benar boleh memberi gambaran diri orang itu yang sebenarnya.
Tambahan pula apabila sesorang itu berbohong dan kenyataan memberi gambaran sebaliknya, maka tidak hairanlah kalau yang membuat dakwaan itu sakit kepala.
SUHAIMI IDRIS
Kajang
Selangor