Kekalkan semangat patriotik
Minda Pengarang
SEMINGGU lagi negara akan menyambut Hari Kemerdekaan ke-42. Ini adalah
perayaan terakhir abad
ini sebelum dunia melangkah ke alaf baru, abad ke-21. Sesungguhnya, usia
itu masih terlalu muda bagi
sebuah negara yang merdeka. Berbeza dengan beberapa negara yang pernah
dijajah, walaupun jauh lebih
dahulu mengecapi kemerdekaan, rakyatnya masih terkapai-kapai mengejar kejayaan.
Arus pembangunan
negara berkenaan ketinggalan jauh ke belakang. Meskipun sudah merdeka lebih
beratus-ratus tahun,
berbanding Malaysia, mereka mungkin berada 20 atau 30 tahun ke belakang
daripada negara ini.
Dalam tempoh 42 tahun, kemajuan yang dicapai negara bolehlah dianggap melebihi
daripada tahap
sepatutnya. Malah, dalam sesetengah bidang, Malaysia berada di barisan
hadapan. Kemajuan yang
dinikmati negara ini sepatutnya menjadi kebanggaan setiap rakyat. Daripada
sebuah negara yang hanya
bergantung kepada sektor pertanian, Malaysia mengorak langkah dalam bidang
perindustrian dan kini
menjadi peneroka dalam bidang telekomunikasi dan teknologi maklumat (IT).
Kemajuan negara sering
menjadi buah mulut pemimpin dan rakyat negara asing yang kagum dengan kejayaan
negara ini. Banyak
negara menjadikan Malaysia sebagai model pembangunan di negara mereka.
Ini jelas menunjukkan
negara ini ditadbir dengan sempurna oleh empat Perdana Menteri sebelum
ini dengan masing-masing
meletakkan setiap keutamaan mengikut landasan yang betul, dalam konteks
meningkatkan syiar Islam,
bahasa, taraf hidup rakyat, perumahan, kemudahan prasarana dan sebagainya.
Setiap perdana menteri
melaksanakan tanggungjawab dan menerusi wawasan masing-masing sebelum melepaskan
tugas kepada
peneraju berikutnya. Apapun penilaiannya, Malaysia perlu menghadapi alaf
akan datang dengan lebih
yakin walaupun terlalu banyak ranjau dan duri yang terpaksa ditempohi sama
ada datangnya dari dalam
atau luar negara.
Pada masa ini, pelbagai persediaan diatur untuk menyambut hari kemerdekaan
negara sama ada di
peringkat kebangsaan, negeri atau daerah. Perhimpunan dan perbarisan rakyat
diadakan bagi mengenang
kembali detik-detik pembebasan negara daripada tangan penjajah. Masing-masing
dengan cara tersendiri
tetapi tetap berpaksi kepada matlamat yang satu. Agak sekian lama perayaan
seperti itu dianggap sebagai
simbolik bagi memperingati saat-saat kemerdekaan. Sebagai rakyat yang cintakan
negara, menjadikan
perayaan hari kemerdekaan hanya sebagai simbolik sudah tidak lagi memadai.
Semangat cintakan negara
seharusnya berputik, dipupuk dan akhirnya tersemat di dalam jiwa. Ia perlu
mekar sepanjang masa. Tidak
perlulah menunggu pada tarikh 31 Ogos setiap tahun baru rakyat menghayati
hari kemerdekaan. Ini
bukanlah caranya bagi setiap rakyat menunjukkan ketaatan kepada negara.
Tidak perlulah menunggu
hingga negara menghadapi musuh di medan perang atau selepas dijajah semula
baru rakyat mahu
menunjukkan semangat patriotik.
Tarikh 31 Ogos setiap tahun sepatutnya dianggap sebagai kemuncak kepada
peningkatan semangat
cintakan negara. Semangat itu pula kian menebal setiap tahun. Menanamkan
semangat patriotik begitu
penting bagi setiap rakyat. Semangat ini perlu mempunyai kesinambungan
dari satu generasi ke generasi
berikutnya. Jika generasi hari ini gagal menghayati semangat ini, bermakna
pengisian, pengertian dan
penghayatannya kian luntur di jiwa generasi seterusnya. Apa yang dibimbangkan,
pada satu ketika rakyat
tidak lagi menghargai kemerdekaan negara. Inilah yang terjadi di kebanyakan
negara di mana jiwa
rakyatnya kosong. Walaupun negara mereka kaya, tetapi mereka tidak mempunyai
semangat. Berbeza
dengan beberapa negara yang rakyatnya begitu patriotik, apa saja yang dilakukan
sama ada dalam bidang
politik, ekonomi, perkhidmatan awam, pendidikan, sukan dan sebagainya,
keutamaan matlamat mereka
adalah untuk negara.
Semangat patriotik sepatutnya subur dalam jiwa setiap masyarakat negara
ini tanpa mengira keturunan,
warna kulit dan agama. Sekiranya ada antara rakyat yang memperlecehkan
semangat patriotik bangsa
Malaysia, mereka seharusnya berani mengisytiharkan diri mereka dan mencari
negara lain yang lebih
secucuk dengan jiwa mereka untuk bernaung. Malaysia hanyalah untuk rakyat
yang menjunjung kasih
kepada negara. Jika tidak rakyat negara ini, siapa lagi yang harus membuktikan
kasih sayang mereka.
Bagi sesetengah rakyat, janganlah jadikan hari kemerdekaan sebagai isu
politik kerana ia sebenarnya
mengajak rakyat supaya mensyukuri kemakmuran yang sedia wujud di negara
ini.