Masjid bukan tempat tabur fitnah
 
 
PARA penyokong reformasi menjadikan Masjid Negara sebagai tempat melancarkan
demonstrasi, baru-baru ini. - Gambar hiasan.
 
 

Oleh: MOHD. SHAUKI ABD. MAJID
SEBAGAI umat yang prihatin terhadap perkembangan masjid, kita amat terkilan dan
kesal dengan apa yang berlaku hari ini di mana masjid telah dicemari kemurniannya
sebagai tempat ibadat.

Melihat kepada asas pembinaan sesebuah masjid, jelas ia bertujuan supaya umat
Islam bertakwa kepada Allah dan penyatuan umat. Masjid bukanlah tempat menanam
bibit-bibit kebencian satu golongan kepada golongan yang lain dan ia bukan tempat
mewujudkan perpecahan di kalangan umat. Dan ia juga bukan tempat menabur fitnah
atau gelanggang untuk mencaci pihak yang dibenci.

Apabila pembinaan masjid telah lari atau disalah guna daripada prinsip asas tersebut
maka ia tidak bererti lagi akan matlamat suci pembinaannya.

Al-Quran menceritakan orang-orang munafik juga telah membina masjid bertujuan
menaburkan fitnah dan merosakkan perpaduan di kalangan umat Islam.

Rasulullah s.a.w dapat memahami niat buruk mereka, lalu baginda memerintahkan
supaya meruntuhkan masjid tersebut dan membakarnya. Berikutan dengan peristiwa
itu Allah menurunkan ayat khusus berhubung dengan membina masjid dan memuji
Masjid Quba sepertimana firman-Nya yang bermaksud:

''Sesungguhnya masjid yang berdasarkan takwa (Masjid Quba) semenjak ia
didirikan lebih patut engkau bersembahyang di dalamnya. Di dalam masjid ada
orang-orang yang ingin supaya dirinya bersih, sedangkan Allah kasihkan
orang-orang yang bersih.'' - (Surah at-Tawbah ayat 108).

Jelas bahawa pembinaan masjid sejak dari peringkat permulaan hendaklah
berlandaskan takwa kepada Allah dengan disertai keikhlasan dan bertujuan beribadat
kepada Allah. Pembinaan itu bertujuan menghimpun umat Islam mengikuti jalan yang
diredhai Allah, berkenalan sesama umat Islam di samping berbincang dan
menyelesaikan masalah yang dihadapi oleh setiap umat. Rasulullah s.a.w amat
mengambil berat tentang soal meninggikan syiar masjid supaya menjadi tempat yang
sesuai sebagai pusat dakwah. Di samping tempat solat masjid berfungsi tempat
membina peribadi, menimba ilmu, mempersiapkan diri mempertahankan agama,
tempat melangsungkan akad nikah, tempat penghakiman dan sebagai tempat untuk
mengisi masa lapang dengan aktiviti berfaedah.

Masjid adalah segala-galanya dalam kehidupan individu Muslim. Namun begitu, perlu
diingat masjid mempunyai adab-adabnya tersendiri dan umat Islam perlu mengikut
adab-adab tersebut.

Apabila seseorang Muslim hendak masuk ke dalam masjid dia hendaklah melangkah
dengan kaki kanan dalam keadaan tubuh badan yang bersih dan berwuduk serta
hendaklah mempunyai imej yang baik.

Firman Allah yang bermaksud: ''Wahai Bani Adam! Ambillah oleh kamu perhiasan
kamu ketika setiap kali kamu ke masjid dan makanlah kamu serta minumlah dan
janganlah sekali-kali kamu berlebihan kerana sesungguhnya Allah tidak
menyukai orang-orang yang berlebihan.'' - (Surah al-A'raf ayat 31).

Ibnu Kathir berkata berdasarkan ayat ini dan sebagaimana pengertian yang
dinyatakan oleh sunnah nabi, ia memberi maksud disunatkan bagi seseorang itu
menghiasi dirinya ketika hendak solat, lebih-lebih lagi pada hari Jumaat dan Hari
Raya.

Disunatkan memakai bau-bauan kerana ia merupakan salah satu daripada bentuk
perhiasan, begitu juga disunat menggunakan siwak. Manakala pakaian pula ialah
pakaian berwarna putih.

Abdullah bin Umar r.a. berkata: ''Sesungguhnya Rasulullah s.a.w apabila hendak
masuk ke dalam masjid baginda berdoa'' maksudnya: ''Aku memohon perlindungan
dengan Allah Yang Maha Besar Lagi Mulia dan dengan kekuasaan-Nya daripada
gangguan syaitan yang durjana.''

Kata Rasulullah s.a.w ''Barang siapa yang berkata demikian maka syaitan akan
berkata 'Orang itu akan dilindungi oleh Allah daripadaku sepanjang hari.''

Apabila seseorang Muslim memasuki masjid, janganlah sekali-kali melangkah
kepala-kepala orang lain dan duduk di mana ada ruang kosong. Dia juga perlu
meraikan kesempurnaan saf-saf serta dilarang melintasi orang-orang yang sedang solat
kecuali jika hendak mengisi tempat kosong di saf pertama kerana kecuaian orang
yang berada di saf kedua (kerana tidak mengisi ruangan saf yang kosong).

Rasulullah s.a.w bersabda maksudnya: ''Apabila ada antara kamu memasuki masjid,
maka hendaklah dia rukuk (solat dua rakaat sebelum duduk)'.

Nasiruddin berkata: ''Rasulullah s.a.w telah menyuruh Salik al-Qaftani supaya
mendirikan solat al-Tahiyyah ketika beliau memasuki masjid sedangkan ketika itu
Rasulullah s.a.w sedang berkhutbah. Ini bermakna Rasulullah s.a.w telah menyuruh
orang lain secara amnya untuk melakukan perkara yang sama.''

Imam Muslim telah meriwayatkan daripada Abu Hamid dan berkata ''Rasulullah s.a.w
bersabda yang bermaksud: ''Apabila ada di antara kamu yang hendak memasuki
masjid hendaklah berdoa dengan berkata: ''Ya Allah! bukalah pintu-pintu rahmat-Mu',
dan apabila hendak keluar hendaklah berdoa dengan berkata: ''Ya Allah! Aku
memohon limpah kurnia daripada-Mu''.

Apabila seseorang itu berada di dalam masjid, maka dilarang meninggikan suara
sebagaimana Imam Ibnu al-Haj berkata: ''Hendaklah dilarang sesiapa yang
mengangkat suaranya di masjid ketika khatib sedang berkhutbah atau sebagainya
daripada berbuat demikian. Sabda Rasulullah s.a.w yang bermaksud: ''Jauhkanlah
masjid-masjid kamu daripada (gangguan) anak-anak kecil, orang gila, musuh-musuh,
jual beli, pedang yang terhunus, meninggikan suara kamu dan tidak boleh
melaksanakan hukum hudud (dalam masjid), tangguhlah pelaksanaan hukuman itu
pada hari-hari kamu berkumpul.''

Imam Malik dan al-Baihaqi daripada Salim Bin Abdullah bahawa Umar bin
al-Khattab r.a. telah membina satu ruang dinamakan al-Butaiha, yang dibina
bersebelahan Masjid Rasulullah s.a.w.

Setelah siap beliau berkata: ''Barang siapa yang ingin berucap atau mendeklamasikan
sajak atau meninggikan suara maka silalah keluar daripada masjid dan masuklah ke
tempat ini.''

Malah meninggikan suara ketika membaca al-Quran atau berzikir di masjid ditegah
oleh Islam. Namun ada juga pengecualian iaitu mengangkat suara kerana mengajar
yang merupakan fardu ain atau perkara wajib dengan syarat tidak semasa
sembahyang berjemaah.

Rasulullah s.a.w bersabda yang bermaksud: ''Sesungguhnya orang sedang
sembahyang sedang munajat kepada Tuhannya maka hendaklah kamu perhatikan
apakah yang dimunajatkannya dan janganlah kamu menguatkan suara dengan
membaca al-Quran. - (Riwayat Ahmad).

Satu riwayat lain mengatakan: Nabi sedang beriktikaf di dalam masjid dan baginda
mendengar mereka membaca al-Quran dengan nyaring maka baginda membuka tabir
dan berkata yang bermaksud: ''Perhatikan, bukankah kamu semua bermunajat
kepada tuhan kamu maka janganlah kamu menganggu antara kamu dan jangan
meninggikan suara ke atas orang lain dengan bacaan al-Quran.' - (Riwayat oleh Abu
Daud dan an-Nasaii).

Sebenarnya, banyak lagi adab-adab masjid seperti cara masuk, duduk, iktikaf, solat,
ketika keluar dari masjid, menjaga kebersihan, tidak boleh berjual beli dan lain-lain
lagi. Umat Islam seharusnya sedar akan hakikat fungsi masjid itu sebagai pertemuan
kecintaan, keharmonian, toleransi dan tolong menolong. Mereka bertaut erat seperti
saf-saf dalam solat mereka menuju keredhaan Allah s.w.t dengan membuang segala
sifat iri hati atau dengki dan hanya mengharapkan keampunan dan keredhaan serta
kebaikan daripada Allah s.w.t.

Drs. Sidi Gazalba dalam memperkatakan fungsi masjid di dalam bukunya Masjid
Pusat Ibadat dan Kebudayaan Islam menjelaskan, masjid jika dirumus dalam sebuah
kesimpulan yang ringkas adalah tidak semata-mata tempat sujud dalam ibadat khusus,
tetapi juga tempat sujud dalam kehidupan.

Sujud dalam erti kata yang lebih luas bermakna mematuhi dan berkhidmat terhadap
yang sujud itu. Tujuan sujud itu adalah tidak lain kepada Allah.

Malah, itulah tanggungjawab dan kewajipan hakiki masjid, iaitu tempat sujud dalam
setiap kegiatan kehidupan, mendekatkan diri individu Islam dengan khaliqnya. Maka
berhubung dengan masjid inilah dapat difahami dengan sepenuhnya firma Allah yang
bermaksud: ''Ingatlah! Janganlah engkau (wahai Muhammad) menurut
kehendaknya, dan (sebaliknya) sujudlah dan dampingkanlah dirimu kepada
Allah (dengan taat dan beramal soleh.)'' - Surah al-Alaq, ayat 19.

MOHD. SHAUKI ABD. MAJID ialah Penolong Pengarah Yayasan Dakwah
Islam Malaysia (Yadim).