MEMERANGI FITNAH

FITNAH bukan perkara baru dalam kehidupan berpolitik. Sejak dahulu lagi, manusia menggunakan fitnah sebagai kaedah dalam rebutan kuasa.

Malah sepanjang sejarah Islam, fitnah digunakan untuk mencapai tujuan politik walaupun jelas agama melarangnya.

Namun begitu, ada golongan agama tersalah pendapat dengan kepercayaan bahawa fitnah dibolehkan atas tujuan politik yang lebih besar. Maka hukum melarang fitnah tidak dihiraukan dalam berpolitik.

Justeru, dalam sejarah negara, fitnah juga sering dilakukan oleh kumpulan-kumpulan politik termasuk yang bertopengkan agama terutama apabila menjelang pilihan raya umum.

Akan tetapi sejak setahun lalu, fitnah terhadap kerajaan begitu menjadi-jadi hingga boleh mendatangkan kesan pada keselamatan dan kemakmuran negara.

Walaupun strategi dan propaganda politik untuk mempengaruhi orang ramai adalah amalan biasa dalam negara demokrasi tetapi fitnah yang mempermainkan institusi-institusi kerajaan adalah suatu perbuatan melampau.

Kes terbaru adalah berhubung dengan isu keracunan Datuk Seri Anwar Ibrahim yang menjadi fitnah besar terhadap kerajaan.

Pihak pembangkang menggambarkan seolah-olah kerajaan mempunyai niat dan sanggup melakukan pembunuhan sedangkan perbuatan seumpama ini tidak terdapat dalam budaya politik negara ini.

Isu ini boleh mendatangkan kesan pada keselamatan negara apabila ia mampu mendorong penyokong-penyokong Datuk Seri Anwar mengadakan perhimpunan haram dan merusuh di ibu negara.

Lanjutan daripada itu, imej negara juga tercemar dan boleh menimbulkan keraguan di kalangan para pelabur terhadap kestabilan negara dan kewibawaan institusi-institusi negara.

Sesungguhnya isu ini juga menggugat kewibawaan institusi perkhidmatan perubatan negara dan profesion kedoktoran tempatan.

Maka dalam suasana ini, kita menyokong langkah UMNO melancarkan kempen memerangi fitnah secara besar-besaran demi kesejahteraan negara.

Kita juga percaya demi kebaikan masyarakat, budaya fitnah ini harus dihentikan serta-merta. Bukan saja Islam melarang perbuatan fitnah tetapi ia juga tidak ada tempat dalam sesebuah masyarakat bertamadun.

Tafsiran yang menyatakan fitnah dibolehkan demi kepentingan politik sesuatu golongan adalah suatu yang menyesatkan dan berbahaya.

Kita tegaskan bahawa kebenaran perlu dijunjung dalam semua aspek kehidupan termasuk ketika berpolitik. Dalam demokrasi, adalah menjadi hak rakyat untuk mendapatkan kebenaran. Membohongi rakyat bermakna menafikan hak mereka.

Justeru, kita cadangkan supaya segala pembohongan dan fitnah yang dilakukan oleh pembangkang didedahkan secara habis-habisan supaya rakyat tidak tertipu serta terkeliru daripada isu sebenar.

Serentak itu, kita berharap rakyat akan bersikap lebih berhati-hati dan memahirkan diri untuk berfikiran kritikal apabila berdepan dengan pelbagai maklumat daripada sumber-sumber secanggih Internet hinggalah kepada khabar angin yang tersebar dari mulut ke mulut.

Semua maklumat itu haruslah dipandang secara skeptik dan tidak ditelan bulat-bulat walaupun penyampainya bergelar ulama.

Kita bimbang jika rakyat tersalah percaya, maka mereka akan melakukan tindakan-tindakan silap yang merugikan negara dan masa depan diri sendiri.