Edisi Bahasa Malaysia
 

        Tangani masalah pelajar secara adil

        Minda Pengarang

        JIKA sikap telus dan rasional pelajar yang menghadiri sesi taklimat dan dialog pemimpin dan pelajar
        Institusi Pengajian Tinggi (IPT) kelmarin boleh dianggap mewakili sikap keseluruhan suara pelajar, negara
        ini akan dapat menempuh alaf baru dengan penuh yakin. Sesi itu penting kerana selama ini masyarakat
        pelajar IPT seolah-olah dibiarkan supaya menentukan hala tuju sendiri. Sesi pertama yang dihadiri
        Menteri Pendidikan, Datuk Seri Najib Tun Razak bersama 350 pelajar Universiti Teknologi Malaysia
        (UTM) dan Universiti Islam Antarabangsa (UIA) itu, sudah menunjukkan persefahaman yang jitu. Ia
        berjaya menjernihkan kekeruhan yang wujud sebelum ini. Memang benar, kebelakangan ini pelajar
        dikecam kerana bertindak membelakangkan undang-undang. Kecaman itu dibuat tanpa melihat masalah
        yang dihadapi masyarakat pelajar hari ini. Keadaan seperti ini hanya menyebabkan sikap penentangan
        yang lebih meluas antara pelajar dengan kerajaan. Cara ini tidak sedikit pun menyelesaikan masalah
        sebaliknya hanya menimbulkan prasangka yang tidak baik antara kerajaan dan pelajar dan sebaliknya.

        Sememangnya tidak ramai pelajar yang antikerajaan. Tetapi, disebabkan kecaman kepada pelajar
        biasanya umum sifatnya, mereka yang selama ini menyokong kerajaan juga merasai bahawa mereka juga
        dianggap sebagai golongan yang tidak tahu bersyukur. Apa yang dibimbangkan, lama-kelamaan mereka
        juga akan berpihak kepada golongan yang membenci kerajaan. Jika adapun yang menunjukkan sikap
        penentangan, mereka sebenarnya terikut-ikut kepada tindakan segelintir pelajar yang sengaja mahu
        mengambil kesempatan terutama bagi mereka menyokong perjuangan parti pembangkang. Mereka
        dihasut supaya melakukan penentangan dengan mengaitkan kelemahan pihak pentadbiran dan pengurusan
        terhadap kebajikan mereka. Bagi mereka jika pihak pentadbiran dan pengurusan lemah, mereka terus
        menyalahkan kerajaan yang tidak mengambil berat masalah mereka. Kemungkinan besar kerajaan sendiri
        tidak tahu apakah sebenar masalah yang mereka hadapi.

        Sesi sebegini sekurang-kurangnya membuka mata kerajaan dan pihak pentadbiran IPT supaya
        memperbaiki sebarang kelemahan yang wujud. Jika masalah kelewatan biasiswa yang menjadi faktor
        pelajar tidak berpuas hati, ia perlulah diselesaikan sebaik mungkin. Janganlah jadikan kerenah birokrasi
        sebagai penghalang kerana ia akan hanya menyebabkan masyarakat pelajar terasa kebajikan sengaja
        diabaikan. Jika mengakui masyarakat pelajar amat penting, sebarang kesulitan mereka perlulah ditangani
        dengan lebih saksama. Memang diakui bahawa masyarakat pelajar tidak perlu terlalu dimanjakan tetapi
        bagi perkara yang munasabah, ia tidak perlu diabaikan.

        Sewaktu sesi dialog yang diadakan itu, sudah jelas bahawa masalah kebajikan pelajar adalah faktor
        dominan yang menyebabkan pelajar 'memberontak'. Apa yang berlaku sebelum ini tidak ada kaitannya
        dengan isu semasa. Isu semasa yang membawa kepada demonstrasi pelajar hanyalah faktor menolak
        supaya mereka melakukan perbuatan itu sebagai tanda bantahan terhadap layanan yang tidak cekap yang
        diberikan kepada masyarakat pelajar. Seandainya mereka berpuas hati dengan suasana pembelajaran,
        tidak timbul masalah kelewatan biasiswa dan sebagainya, tidak ada sebab mereka harus menunjukkan
        kebencian terhadap kerajaan. Mereka juga mahu memajukan diri dan tidak mahu mencari masalah yang
        boleh menyebabkan mereka digantung atau dibuang daripada pengajian. Adalah tidak malu jika kerajaan,
        IPT dan pihak terbabit termasuk agensi yang ada kaitan dengan hal ehwal pelajar terutamanya agensi
        pembiaya biasiswa supaya melihat kelemahan sendiri. Seandainya segala masalah yang membabitkan
        pelajar dapat diatasi, mereka sendiri sanggup menjelajah di segenap ceruk negara ini untuk
        memperjelaskan pendirian pelajar terhadap kerajaan.

        Dengan kesediaan pemimpin menemui pelajar, ia seharusnya dimanfaatkan sepenuhnya supaya kerajaan
        benar-benar faham cita-rasa masyarakat kampus. Mereka boleh membangkitkan segala yang terpendam
        di hati, dengan harapan masalah mereka dapat diatasi secepat mungkin. Hanya dengan cara ini, segala
        kekusutan dapat dirungkai dengan cara yang paling baik.

        Diharapkan apabila lebih banyak sesi seperti itu diadakan kelak, masyarakat pelajar akan dapat
        memahami hasrat kerajaan untuk memajukan negara dan rakyat. Malah, pelajar juga boleh memberi
        sumbangan idea cara mana kerajaan harus memainkan peranan untuk memastikan Malaysia terus
        mendapat penghormatan dunia.