UTUSAN MALAYSIA :: MUKA HADAPAN

19/12/2003

Pesawat Hawk terhempas, dua juruterbang maut

KUANTAN 18 Dis. - Dua juruterbang Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) terbunuh apabila pesawat pejuang jenis Hawk 100 terhempas di perairan Pantai Sepat di sini tengah hari ini.

Pesawat itu yang berlepas dari Pangkalan TUDM di sini terhempas satu batu nautika dari Pantai Sepat.

Kapten Khairul Hazrin Kamaruddin, 28, terkorban di tempat kejadian manakala Kapten Ashraff Che Hussin, 30, mati di Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) di sini pada pukul 2.45 petang.

Kapten Khairul Hazrin yang berasal dari Melaka masih bujang manakala Kapten Ashraff, dari Pasir Mas, Kelantan sudah berkahwin dengan Kapten Fauziah Yusuf, juga juruterbang TUDM.

Ekoran daripada nahas itu, Panglima TUDM, Jeneral Datuk Seri Abdullah Ahmad berkata, semua penerbangan latihan pesawat Hawk milik TUDM dihentikan berkuat kuasa serta-merta sehingga punca kejadian berkenaan dikenal pasti.

Katanya, TUDM akan menubuhkan lembaga siasatan bagi mengenal pasti punca pesawat pejuang Hawk itu terhempas.

Panglima TUDM itu yang ditemui selepas melawat kawasan kejadian memberitahu, pesawat berkenaan melakukan penerbangan latihan pada pukul 11.30 pagi dari Pangkalan Udara TUDM Kuantan, di Batu 10 di sini.

``Mereka membuat panggilan terakhir pada pukul 12.08 tengah hari sebelum terputus hubungan,'' katanya sambil memberitahu ia sepatut pulang ke pangkalan pada pukul 12.30 tengah hari.

Menurutnya, sejurus kejadian berlaku, pihak TUDM di sini mendapat panggilan daripada orang awam yang memaklumkan mengenai kejadian itu.

Katanya, pesawat itu tenggelam ke dasar laut dan kerja-kerja mengangkat bangkai pesawat akan dibuat esok.

Seorang kakitangan Majlis Perbandaran Kuantan (MPK), Saadan Mohd. Shah, 37, berkata, dia berada kira-kira 400 meter sahaja dari tempat pesawat berkenaan menjunam ke dalam laut.

Menurutnya, kedua-dua juruterbang mengalami kecederaan yang serius dengan darah mengalir dari topi keledar yang dipakai dan seorang daripada mereka telah mati ketika diselamatkan.

``Saya dapat lihat dengan jelas pesawat itu terhempas lalu menjunam ke dalam laut,'' katanya di sini, hari ini.

Saadan yang pada ketika itu sedang memukat ikan, berkata kira-kira lima minit selepas pesawat itu terhempas, kedua-dua juruterbang tersebut telah timbul pada permukaan air.

``Apabila saya mendapati mereka timbul ke permukaan laut, saya dengan bantuan rakan-rakan yang lain telah cuba untuk mengeluarkan mangsa daripada air.

``Kebetulan rakan saya membawa bot lalu kami telah menggunakan bot berkenaan untuk menghantar kedua-dua mangsa ke pangkalan Polis Marin di Tanjung Api,'' ujarnya