 |
.... |
Ghani
Patail dapat habuan penjarakan Anwar- Datin Seri Wan Azizah
Sumber: WebReformis |
PETALING JAYA: Presiden
keADILan, YB DS Dr. Wan Azizah Ismail menyifatkan perlantikan Datuk Abdul
Ghani Patail sebagai Peguam Negara yang baru ada kena-mengena dengan kehendak
Perdana Menteri kerana ia "memberi isyarat besar mengenai kedudukan pentadbiran
undang-undang Malaysia". Beliau mengulas demikian ketika ditemuramah selepas
memberi temuramah akhbar susulan mesyuarat pertama MPT selepas PAT 3.
Kerajaan minggu ini mengesahkan
perletakan jawatan Datuk Ainum Mohd. Saaid walaupun belum cukup setahun
memegang jawatan itu, serentak mengumumkan perlantikan Datuk Abdul Ghani
Patail sebagai pengganti Datuk Ainum. Walaupun tidak mengulas lanjut, kenyataan
ringkas YB DS Dr.
Wan Azizah itu jelas merujuk
kepada kebimbangan rakyat dan pemimpin BA akhir-akhir ini bahawa kerajaan
BN di bawah Perdana Menteri cuba menghalang proses reformasi badan kehakiman
yang dibawa oleh Ketua Hakim Negara Tan Sri Dzaiddin Abdullah.
Akhir-akhir ini, keputusan-keputusan
mahkamah jelas menentang penyelewengan kerajaan dan campur tangan cabang
eksekutif di dalam pentadbiran kehakiman. Selain daripada keputusan YA
Datuk Hishamuddin Yunus membebaskan dua orang pemimpin keADILan dari ISA,
mahkamah turut membatalkan kemenangan BN di Likas dan membatalkan hukuman
menghina mahkamah yang dijatuhkan ke atas bekas Naib Presiden keADILan
Zainur Zakaria.
Tanda-tanda awal gerakan Perdana
Menteri untuk menghentikan reformasi badan kehakiman ini kelihatan apabila
seorang hakim yang kontroversial di dalam penghakimannya, Hakim Ahmad Fairuz
dilantik menjadi Hakim Besar Malaya walaupun hakim yang paling senior ialah
YA Hakim Malek Ahmad.
Hakim Ahmad Fairuz sebelum ini
pernah membatalkan kemenangan calon DAP Wee Choo Keong dan memberikan kerusi
itu kepada BN, disamping menolak rayuan Zainur Zakaria untuk membatalkan
hukuman menghina mahkamah yang dijatuhkan oleh Augustine Paul. Perlantikan
Hakim Ahmad Fairuz mengundang kritikan pakar undang-undang nasional termasuk
Raja Aziz Addruse, penasihat undang-undang Majlis Raja-Raja dan Param Cumaraswamy,
Pelapor Kebebasan Kehakiman PBB di Malaysia.
Dalam perkembangan yang sama,
YB DS Dr. Wan Azizah juga berpendapat bahawa perlantikan Ghani adalah satu
'habuan' kerana 'kejayaannya' mendakwa Dato' Seri Anwar sehingga dijatuhkan
hukuman penjara 15 tahun. Selain Presiden keADILan, pelbagai pemimpin BA
dan aktivis sosial menyuarakan bantahan mereka berkenaan perlantikan itu.
Pemimpin DAP Lim Kit Siang mendesak
Ghani menjawab dua tuduhan beliau menghalang pelaksanaan keadilan, iaitu
apabila beliau (Ghani) tidak mendakwa Rafidah Aziz kerana rasuah walaupun
kertas pertuduhan sudah disediakan, dan kedua apabila cuba mengugut Datuk
Nallakarupan mencipta bukti melibatkan Dato' Seri Anwar di dalam pelbagai
salahlaku seks.
Ugutan Ghani itu dibongkarkan
dan dibantah oleh Zainur Zakaria, walau bagaimanpun Zainur pula dijatuhkan
hukuman menghina mahkamah oleh Hakim Augustine Paul. Datuk Nallakarupan
menolak ugutan Ghani dan langsung tidak memberi keterangan menuduh Datuk
Seri Anwar, sebaliknya mendedahkan di dalam affidavit beliau konspirasi
yang dirancang untuk menjatuhkan Datuk Seri Anwar.
Bantahan turut disuarakan oleh
ALIRAN, Suara Rakyat Malaysia (SUARAM) dan Pertubuhan Hak Asasi Manusia
Malaysia (HAKAM).
SILA
KLIK UNTUK
MENGIRIMKAN RESPONS KPD ARTIKEL INI
SEBARANG KERJA
MENYALIN SEMULA ARTIKEL INI PERLULAH MENYATAKAN DENGAN JELAS SUMBERNYA
ATAU MENYATAKAN URLNYA DAN TIDAK BOLEH DISIARKAN UNTUK TUJUAN KOMERSIAL
TANPA KEBENARAN PENULIS. |
|
|
http://e-umno.tripod.com/