 |
.... |
Penglibatan
Gani Patail dalam kes DSAI
Kenyataan media Datin
Seri Wan Azizah berhubung dengan penglibatan Gani Patail dalam kes DSAI.
Kenyataan media tersebut dibuat pada 23.3.1999.
Sumber: Fokus Eksklusif WebReformis |
Prosiding Suruhanjaya
Diraja mengenai kecederaan yang dialami oleh Anwar Ibrahim telah mendedahkan
beberapa hal yang amat memeranjatkan. Kita tidak boleh mengelak dari membuat
beberapa kesimpulan.
1. ASP Abdul Aziz bin Abdul Majid,
Pegawai Penyiasat Kanan, Ibu Pejabat Polis, Brickfields memberi keterangan
bahawa salah seorang pegawai kanan yang menyaksikan serangan itu memberitahunya:
“Habislah kita. Tan Sri IGP telah pukul Dato' Seri Anwar Ibrahim. Nasib
baik saya dapat halang Rahim Noor dari terus pukul Dato' Seri Anwar Ibrahim.
Jika tidak lagi teruk Dato' Seri Anwar
Ibrahim kena pukul." Ini jelas menunjukkan bahawa pihak polis mengetahui
tentang serangan itu pada waktu ianya berlaku dan kenal pula siapa yang
melakukannya. Susah hendak dibayangkan bahawa maklumat ini seterusnya terhad
kepada beberapa orang sahaja dan pegawai-pegawai polis lain tidak mengetahuinya.
Siapakah yang bertanggungjawab mempastikan bahawa mereka yang mengetahui
fakta ini berdiam diri berbulan-bulan?
2. Namun begitu, empat hari kemudian
Rahim Noor, walaupun dia sendiri yang melakukan perbuatan terkutuk itu,
begitu berani sekali berdusta kepada orang ramai dengan mengatakan bahawa
Dato' Sen Anwar Ibrahim dalam keadaan selamat dan sihat walafiat (safe
and sound.) Begitu juga, apabila saya menalipon SAC 1 Musa Hassan, dia
memberi jaminan bahawa Anwar dalam keadaan selamat.
3. Sebenarnya Anwar telah dipukul
di tempat-tempat yang bahaya yang boleh membawa maut. Di samping itu bantuan
perubatan tidak diberikan langsung, sehingga hari keempat, apabila seorang
doktor dibenarkan untuk memeriksa beliau, itupun dengan arahan supaya tidak
bertanya kepada Anwar apa-apa soalan bagaimana kecederaan itu berlaku.
Kenapa bantuan perubatan begitu lewat? Kenapa doktor itu dilarang bertanya
apa-apa soalan?
4. Walaupun kecederaan yang dialami
Anwar begitu berat, pegawai-pegawai penyiasat seperti SAC Musa Hassan dan
ASP Rodwan Yusof dari Jabatan Siasatan Jenayah, dan begitu juga ACP Aziz,
dan pasukan dari Cawangan Khas, lebih mementingkan untuk menyoalsiasat
Anwar dari memberi perhatian kepada kecederaan yang dialaminya pada ketika
itu.
5. Satu lagi butir keterangan yang
membimbangkan yang timbul semasa siasatan Suruhanjaya ialah kehadiran Abdul
Gani Patail, Peguam Kanan Persekutuan yang dulunya mengetuai pasukan pendakwa
dalam perbicaraan Anwar, pada mesyuarat yang diadakan di pejabat Ketua
Polis Negara pada malam serangan itu belaku. Apakah urusan Abdul Gani Patail
di Bukit Aman pada malam itu?
6. Kehadiran Abdul Gani Patail menimbulkan
banyak kecurigaan terutama setelah mendengar keterangan bahawa penahanan
Anwar ditukar dari Seksyen 377D Kanun Kesiksaan kepada tahanan di bawah
ISA (Akta Keselematan Dalam Negeri) Saya mengesyaki bahawa ini dilakukan
semata-mata untuk menutupi perihal berlakunya serangan ke atas Anwar dari
pengetahuan orangramai.
Oleh kerana kecederaan yang dialaminya
begitu ketara, Anwar tidak boleh dihadapkan ke mahkamah keesokan harinya
seperti yang dituntut oleh undang-undang kalau tahanan bukan dibuat di
bawah ISA.
7. Mohtar Abdullah, Peguam Negara,
telah sejak begitu lama menerima laporan dari ACP Mat Zain's hasil siasatan
yang dijalankan selama lebih tiga bulan.
Kenapa beliau tidak mengumumkan laporan
itu dengan segera, sebaliknya berdolak-dalik dengan pelbagai alasan, termasuk
melantik seorang pakar fortensik tambahan?
8. Bila akhirnya Mohtar Abdullah mengumumkan
pihak polis adalah bertanggungjawab menyebabkan “sebahagian” dari kecederaan
yang dialami oleh Anwar, dia mengatakan bahawa laporan penyiasatan itu
tidak menamakan siapa penyerang Anwar.
Kalau benar, mengapakah laporan itu
tidak mengenalpasti nama penyerang, sedangkan beberapa orang pegawai kanan
polis sudah pun mengetahui dari awal lagi tentang serangan itu dan siapa
yang melakukannya?
9. Apabila kecederaan yang dialami
oleh Anwar menjadi pengetahuan umum pada hari beliau dibawa ke Mahkamah
Majistret Kuala Lumpur, perdana menteri yang pada ketika itu merangkap
jawatan menteri dalam negeri, dilaporkan berkata bahawa Anwar mungkin telah
mencederakan diri sendiri untuk menagih simpati.
Adakah mungkin perdana menteri merangkap
menteri dalam negeri pada masa itu tidak mengetahui fakta sebenar tentang
serangan ke atas Anwar Ibrahim? Kalau benar beliau tidak mengetahuinya,
apakah beliau tidak boleh secara mudah dan segera mendapatkan taklimat
memandangkan beberapa pegawai kanan polis menyaksikan serangan itu?
10. Malahan perdana menteri mendakwa
bahawa perhimpunan-perhimpunan reformasi bertujuan melewat-lewatkan Anwar
didakwa di Mahkamah sedangkan hakikatnya ialah polis mahu merahsiakan serangan
ke atas Anwar.
Semua soalan-soalan ini belum lagi
terjawab baik oleh perdana menteri yang juga merangkap menteri dalam negeri
pada ketika itu mahupun oleh menteri dalam negeri sekarang. Soalan-soalan
ini hendaklah dijawab oleh perdana menteri sendiri, kerana beliaulah yang
harus bertanggungjawab sebagai menteri dalam negeri pada waktu itu.
Atas nama keadilan, biarlah kebenaran
tentang perkara ini didedahkan sepenuhnya. Penyiasatan hendaklah dilakukan
terhadap setiap orang yang menyaksikan atau terlibat dalam peristiwa ini.
Adalah amat menyedihkan, walaupun Rahim Noor sudah hampir sebulan lalu
mengaku melakukan serangan terhadap Anwar Ibrahim, masih belum ada sebarang
tindakan diambil oleh pihak berkuasa sehingga hari ini.
Sebaliknya, perdana menteri pergi
ke merata tempat menuduh pemimpin-pemimpin negara asing merangsang keganasan
di jalanraya di Malaysia. Buat pengetahuan beliau, keganasan telah dilakukan
terhadap suami saya enam bulan lalu sewaktu dalam jagaan polis oleh pegawai
tertinggi polis sendiri. Siapakah yang merangsang kejadian itu?
Dr Wan Azizah bte Wan Ismail
22.3.99
Sumber:
www.webreformis.cjb.net
SILA
KLIK UNTUK
MENGIRIMKAN RESPONS KPD ARTIKEL INI
SEBARANG KERJA
MENYALIN SEMULA ARTIKEL INI PERLULAH MENYATAKAN DENGAN JELAS SUMBERNYA
ATAU MENYATAKAN URLNYA DAN TIDAK BOLEH DISIARKAN UNTUK TUJUAN KOMERSIAL
TANPA KEBENARAN PENULIS. |
|
|
http://e-umno.tripod.com/