Biar tidak ada wang, jangan
tidak ada sahabat. Biar kehabisan wang, jangan kehabisan sahabat, Biar
putus wang, jangan putus sahabat. Sahabat adalah barang yang paling
berharga daripada ringgit, dinar dan dirham.
Persahabatan yang diikat antara
satu sama lain, hampir-hampir serupa seperti tali hubungan perkahwinan. Ia
mengikat perasaan, mengikat fikiran, mengikat masalah, mengikat
kebahagiaan hingga dirasakan semua itu adalah milik bersama.
Persahabatan yang
sebenar-benarnya adalah yang dapat merasai susah sama-sama susah dan
senang sama-sama senang, menang sama-sama menang, kalah sama-sama kalah,
pahit-sama-sama pahit dan manis sama-sama manis. Inilah persahabatan yang
sejati yang datang dari lubuk hati, yang tumbuh dari hati yang murni.
Kukuhnya
perpaduan, lahir daripada tapak persahabatan yang murni. Oleh sebab itu
Rasulullah s.a.w mengukuhkan tali persahaban antara sahabat-sahabatnya
dengan ikatan yang kuat. Saling bantu membantu di dalam kesenangan dan
kesusahan. Pendek kata hubungan persahabatan itu lebih kukuh daripada
saudara seibu sekandung. Persahabatan beginilah yang menjadi asas kepada
perjuangan Rasulullah s.a.w.
Persahabatan yang padu, kukuh
dan kental sebenarnya adalah nikmat yang dikurniakan oleh Allah kepada
orang mukmin. Nikmat persahabatan adalah lain daripada nikmat yang lain.
Khusyuk adalah nikmat bagi orang yang bersembahyang, berbuka adalah nikmat
bagi
orang yang berpuasa, sihat adalah nikmat bagi orang yang sakit. Nikmat
persahabatan adalah berlainan. Ianya berada dibawah nikmat Iman. Tidak
dianggap seseorang itu beriman sekiranya dia tidak mengasihi sahabatnya
sebagaimana dia mengasihi dirinya.
Iman adalah nikmat yang paling
tinggi yang boleh di capai dalam perhubungan manusia dengan Allah s.w.t.
Manakala persahabatan adalah nikmat yang paling tinggi yang dapat dicapai
dalam perhubungan manusia sesama manusia.Orang yang telah mendapat nikmat
Iman tidak akan berpatah balik ke belakang walaupun dicampak di dalam
unggun api yang membara. Orang yang telah mendapat nikmat persahabatan ,
nikmat ukhwah, nikmat persaudaraan tidak akan dapat dipisahkan oleh benua
dan negara, tidak akan dapat dipisahkan walaupun dihasut dan difitnah. Ia
padu lebih padu daripada besi waja, lebih padu daripada batu pejal. Ia
seperti air, ditetak tidak akan putus, dicincang tidak akan berkecai,
dihempas tidak akan pecah.Kalau dipisah pun ia akan bersatu semula. Lihat
tabiat air, ia boleh berada dimana-mana tetapi akan kembali bersatu. Bila
di udara ia sebagai awan, apabila berada di bumi ia sebagai air yang
meresap kedalam tanah. Ia berhubung tetapi masing-masing berada di tempat
yang
berlainan dan mempunyai berbagai-bagai wajah. Demikianlah persahabatan
itu. Dia adalah satu, satu jiwa, satu perasaan, satu cita-cita tetapi di
dalam jasad yang berlainan. Kerana itu Rasul mengingatkan betapa
pentingnya ukhwah dan persaudaraan. Persahabatan dan
kasih mesra itu lebih beharga daripada harta, pangkat, kedudukan dan
kemasyhuran. Bahkan didalam kubur juga ditanya :"Man Ikhwanuka"
ertinya siapakan saudara kamu, dan dijawab "Al Mukminun Ikhwani"
ertinya orang mukmin itu adalah sahabat saya.
Hakikat persaudaraan dan
persahabatan itu hanya dapat dibina oleh orang yang beriman sahaja. Firman
Allah s.w.t di dalam Al Quran: " Sesungguhnya orang mukmin itu
bersaudara." (Al Hujurat: 10) Bertitik tolak dari imanlah
persahabatan yang sejati itu dapat dibina. Persahabatan yang kukuh itu
mempunyai tenaga. Persahabatan yang kukuh itu adalah seperti tenaga yang
kuat yang dapat digunakan di dalam segala gerak kerja. Lihatlah bagaimana
Muhajirin dan Ansar dipersaudarakan oleh Rasulullah s.a.w sehingga berjaya
memaparkan satu pekerjaan besar yang mampu mewujudkan negara di zaman
kegemilangan Islam.