Kelahiran dan riwayat hidup beliau:
- Nama penuh beliau ialah Al-Hasan bin Yasar. Beliau adalah merupakan
maula (hamba lelaki yang telah dimerdekakan) milik seorang sahabat yang bernama
Zaid bin Thabit r.a manakala ibu beliau yang bernama Khairat pula merupakan
maulat (hamba perempuan yang telah dimerdekakan) milik Ummu Salamah isteri Nabi
s.a.w.
- Al-Hasan dilahirkan di Madinah sekitar tahun 30 Hijrah dan dibesarkan di rumah
isteri-isteri Nabi s.a.w terutamanya di rumah Ummu Salamah r.a. Beliau dididik
di rumah Ummu Salamah r.a yang merupakan salah seorang wanita Arab yang memiliki
kesempurnaan akal pemikiran, seorang yang mempunyai kelebihan dan kebijaksanaan,
isteri Rasulullah s.a.w yang memiliki ilmu yang sangat luas, isteri Nabi yang
paling banyak meriwayatkan hadis daripada baginda serta termasuk di kalangan
kumpulan kecil wanita yang pandai menulis pada zaman jahiliah.
- Al-Hasan juga mendapat penghormatan kerana berpeluang menyusu dengan Ummul
Mukminin Ummu Salamah r.a di mana peristiwa berlaku ketika ibu beliau keluar
untuk menunaikan beberapa hajat. Pada masa tersebut beliau masih kecil dan dalam
tempoh menyusu, ketika beliau menangis kelaparan Ummu Salamah r.a mengambil
beliau masuk ke biliknya kemudian Ummu Salamah r.a membiarkan Al-Hasan menghisap
buah dadanya walaupun tidak mempunyai susu supaya Al-Hasan tidak menangis dan
juga sebagai pengganti kepada Al-Hasan semasa ibunya tiada. Oleh kerana Ummu
Salamah terlalu sayang kepada Al-Hasan, tiba-tiba ditakdirkan Allah buah dadanya
mengeluarkan susu menyebabkan dia dapat menyusukan Al-Hasan dengan baik dan
berhenti menangis.
- Pada masa kecil Al-Hasan sentiasa hidup berpindah randah di antara rumah-rumah
Ummul Mukminin malah kehidupan sedemikian menyebabkan Al-Hasan terdidik di dalam
suasana yang murni dengan akhlak yang baik, agama, adab dan ilmu.
Kehidupan beliau menuntut ilmu:
- Al-Hasan belajar melalui sahabat-sahabat yang terkemuka di masjid
Rasulullah s.a.w seperti Othman bin Affan, Abdullah bin Abbas, Ali bin Abu
Talib, Abu Musa Al-Asy'ariy, Anas bin Malik, Jabir bin Abdullah dan Abdullah bin
Umar.
- Setelah itu Al-Hasan berpindah ke Basrah bersama-sama dua orang ibu bapa
beliau ketika beliau menjangkau umur 14 tahun seterusnya beliau menetap di sana
bersama-sama dengan keluarganya. Pada masa tersebut Basrah merupakan salah satu
kubu ilmu yang terbesar di mana masjidnya sering dikunjungi oleh para sahabat
yang terkemuka terutamanya Abdullah bin Abbas sahabat yang sering didekati oleh
Al-Hasan untuk mempelajari ilmu Tafsir, Hadis dan Qiraat.
- Selain dari belajar daripada Abdullah bin Abbas, Al-Hasan juga mempelajari
ilmu Fekah, Bahasa dan Adab daripada para sahabat sehingga beliau muncul sebagai
orang yang paling alim pada zaman beliau.
- Akhirnya ramai orang mengikuti pengajian beliau, kehebatan beliau mula
tersebar dan kemasyhuran beliau juga semakin meningkat menyebabkan beliau sangat
disayangi oleh orang ramai.
Pujian ulama terhadap beliau:
- Salah seorang yang rapat dengan Al-Hasan iaitu Khalid bin Safuan
menyifatkan beliau dengan berkata: "Beliau adalah seorang yang memiliki
sifat batiniah yang sama dengan sifat lahiriah, kata-kata beliau sama dengan
perbuatan beliau, apabila beliau memerintahkan supaya melakukan kebaikan,
beliaulah orang yang paling banyak melakukannya, apabila beliau melarang dari
melakukan kemungkaran, beliaulah orang yang paling banyak meninggalkannya malah
aku berpendapat beliau adalah seorang yang tidak memerlukan kepada bantuan orang
lain kerana beliau adalah seorang yang zuhud kepada apa yang ada bersama orang
lain sebaliknya aku melihat orang lain yang memerlukan bantuan beliau kerana
mereka sentiasa meminta apa yang ada bersama beliau."
- Maslamah bin Abdul Malik berkata tentang beliau: "Bagaimana sesuatu kaum
boleh tersesat sedangkan di kalangan mereka terdapat seseorang seperti Al-Hasan
Al-Basri?!."
Nasihat beliau kepada pemerintah:
- Al-Hasan A-Basri tidak pernah lupa untuk memberikan nasihat kepada
pemerintah mengenai sesuatu perkara yang beliau anggap sebagai kebenaran
walaupun nasihat yang diberikan itu agak pedih bagi mereka. Pernah berlaku suatu
ketika di mana beliau diminta pendapat oleh Umar bin Hubairah mengenai sesuatu
perkara yang diperintahkan oleh Khalifah Yazid bin Abdul Malik sedangkan Umar
bin Hubairah sendiri tidak berpuas hati mengenai perkara tersebut, lalu beliau
menjawab: "Wahai Ibnu Hubairah! Takutlah kepada Allah di dalam melaksanakan
apa yang diperintahkan oleh Yazid dan janganlah kamu takut kepada Yazid di dalam
melaksanakan perintah Allah. Ketahuilah bahawa Allah s.w.t berkuasa untuk
melindungi kamu dari kemarahan Yazid sedangkan Yazid tidak berkuasa untuk
melindungi kamu dari kemurkaan Allah. Wahai Ibnu Hubairah! Sedikit masa lagi
malaikat yang sangat bengis dan tidak pernah melanggar perintah Allah akan
datang kepada kamu. Ia akan memindahkan kamu dari katil kamu ini. Ia akan
memindahkan kamu dari Istana kamu yang sangat luas ke kubur kamu yang sangat
sempit, di sana kamu tidak akan bertemu dengan Yazid sebaliknya kamu akan
bertemu dengan amalan perbuatan kamu yang melanggar perintah Tuhan Yazid. Wahai
Ibnu Hubairah! Sekiranya kamu tetap bersama dengan Allah dan sentiasa berada di
dalam keadaan melakukan ketaatan kepada-Nya, kamu akan terselamat dari
malapetaka Yazid bin Abdul Malik di dunia dan di akhirat kelak, tetapi sekiranya
kamu sentiasa bersama dengan Yazid di dalam melakukan maksiat kepada Allah
s.w.t, Allah akan menyerahkan kamu kepada Yazid. Ketahuilah wahai Ibnu Hubairah,
sesungguhnya kita tidak boleh mentaati kepada perintah seseorang makhluk di
dalam perkara yang melanggar perintah Allah." Mendengar kata-kata tersebut
Ibnu Hubairah terus menangis sehingga tangisannya itu membasahi janggutnya.
Di antara pengajaran beliau:
- Pengajaran baik yang diberikan oleh Al-Hasan yang boleh menggegarkan hati,
boleh menarik perhatian orang-orang yang lalai dan mengalirkan air mata
orang-orang yang mendengar. Di antara pengajaran beliau ialah:
"Sesungguhnya perumpamaan di antara dunia dan akhirat adalah seperti timur
dan barat. Apabila kamu semakin hampir kepada salah satunya bererti kamu semakin
jauh dari akhirat. Dunia merupakan suatu tempat di mana pada peringkat awalnya
adalah kepenatan dan penghujungnya adalah kebinasaan. Perkara halalnya
mengandungi perhitungan manakala perkara haramnya pula mengandungi pembalasan
seksa. Sesiapa yang merasakan dirinya telah mencukupi dengan apa yang ada di
dalamnya bererti dia telah tertipu dan sesiapa yang merasakan dirinya sangat
memerlukan kepada apa yang ada di dalamnya dia akan bersedih."
Kematian beliau:
Al-Hasan rahimahullah telah meninggal dunia pada tahun 110 Hijrah dan kesemua
penduduk Basrah keluar mengiringi jenazah beliau pada hari Jumaat awal bulan
Rejab. Semoga Allah merahmati beliau dengan rahmat yang sangat luas.