ZAHARAH NAWAWI anak kelahiran Batu
Pahat Johor, membesar dan
memungut pengalaman di luar kampung
halaman. Mulai mengasah bakat di
bidang penulisan sejak berusia
12 tahun, dan semenjak itu tidak pernah
berhenti menulis sehingga kini.
Pencapaian tertinggi yang diraih
hasil penat lelah menulis ialah menerima
Anugerah Penulis Asia Tenggara
(SEA Write Award) pada September 1996 di
Bangkok, Thailand.
Telah melahirkan tujuh buah novel
dewasa, tiga novel kanak-kanak, empat
kumpulan cerpen persendirian dan
lebih dari 25 buah antologi cerpen
bersama.
Pernah berkhidmat di Utusan Melayu
sebagai seorang wartawan dan Anggota
Sidang Pengarang WANITA --
dari 1968 hingga 1976. Jawatan terakhir
Zaharah di Utusan ialah sebagai
Ketua Redaksi majalah MASTIKA dari
1975-1976.
Setelah meninggalkan Kumpulan Utusan,
Zaharah berkhidmat pula di Berita
Publishing, (anak syarikat Kumpulan
The New Straits Times) dari 1976
hingga 1985. Jawatan terakhirnya
di sana ialah sebagai Editor Umum
Kumpulan Majalah Berbahasa Malaysia
(Editor General Bahasa Publications)
di Berita Publishing.
Dari 1985 hingga 1986 Zaharah menjadi
Editor Urusan di Pustaka Cipta Sdn.
Bhd.
Zaharah meninggalkan Pustaka Cipta
setelah mendapat Dana DERMA
CIPTA Dewan dari Dewan Bahasa dan
Pustaka untuk membuat penyelidikan
mengenai perjuangan Panglima Salleh
Selempang Merah yang mengetuai
orang kampung membenteras kegiatan
dan kezaliman komunis Bintang Tiga
dalam tahun 1945 di Batu Pahat,
yang kemudian ditulis dalam bentuk novel
menggunakan judul Panglima Salleh
Selempang Merah.
Pada 1988, Zaharah menerima pelawaan
Pakar Sakit Puan terulung berasal
dari Muar, Johor iaitu Dr.
Hamid Arshad yang waktu itu menjadi Ketua
Pengarah Lembaga Penduduk dan Pembangunan
Keluarga Negara (LPPKN)
untuk menjadi editor majalah Timang
keluaran LPPKN tersebut. Zaharah
berkhidmat di badan berkanun berkenaan
sehingga bersara pada 1995.
Zaharah menulis sebuah novel terpanjang
di Malaysia (1351 halaman)
berjudul Anugerah yang terbit pada
1995. Belum ada novel lain dapat
mengatasi atau memecahkan rekod
novel terbitan DBP tersebut. Novel
Anugerah jugalah yang membawakan
tuah kepada penganugerahan Sea Write
Arawd di Bangkok (1996).
Dari 1997 hingga 1998, Zaharah
menjadi Karyawan Tamu Dewan Bahasa
dan Pustaka. Sementara semenjak
1989 karya cerpen Zaharah banyak
memenangi hadiah. Terakhir
beliau memenangi hadiah utama Hadiah Sastera
Utusan/Public Bank melalui cerpennya
Pemain Catur.
Menyimpan cita-cita mahu melatih
penulis pelapis supaya menjadi penulis
yang benar-bernar berwibawa, mulai
1993 Zaharah mengadakan
bengkel-bengkel penulisan meliputi
beberapa genre, termasuk novel, cerpen,
puisi, kritikan, drama radio, bahasa,
undang-undang dan rencana. Pada
November 1997, Zaharah menubuhkan
kelab penulisannya sendiri dengan
nama KEPEZI (Kelab Penulis Zaharah
Nawawi) yang ahlinya terdiri daripada
penulis/bakal penulis yang pernah
mengikuti bengkel-bengkelnya.
Dengan itu tercatatlah dalam sejarah
kesusasteraan dan penulisan negara
bahawa Zaharah Nawawi adalah satu-satunya
orang/penulis/sasterawan yang
berdikari melatih penulis pelapis
tanpa mendapat dana dari mana-mana pihak.
Dan kelab Zaharah bukan sahaja
kekal hidup sehingga sekarang, malah antara
kelab yang tergiat mengadakan bimbingan
kepada penulis/bakal penulis yang
ingin memenuhkan dada dengan pelbagai
ilmu penulisan. Setiap bulan atau
setidak-tidaknya, dua tiga bulan
sekali publisiti mengenai kegiatan KEPEZI
dapat dilihat tercatat di ruangan
Sastera akhbar-akhbar tempatan.
Karya-karya Zaharah terutama Jalur
Sinar Di Celah Daun dan Anugerah
menjadi bahan kajian sarjana dan
ilmuan di benua Eropah dan Australia.
Kedua-dua novel berkenaan juga
sedang menjalani proses penterjemahan oleh
dua sarjana dari Universiti Nasional
Australia.