Tok
Gajah janji ganjaran lumayan jika menang
-------------------------------------------------------------------------------- BERSTATUS pasukan mewah Pahang terus meletakkan wang sebagai ganjaran bagi menyuntik semangat pemain mencatat kemenangan pada setiap perlawanan Liga Super 2004 (MLS 2004). Berbanding hanya RM500 musim lalu, pemain Tok Gajah yang musim ini rata-ratanya berstatus bintang layak menerima RM2,000 setiap kali lawan berjaya ditumbangkan. Sebagai bukti senyum pemain Pahang terus lebar apabila berjaya menerima RM4,000 dalam tempoh dua minggu selepas berjaya menewaskan Sabah 4-2 dan Selangor Public Bank 2-1 di gelanggang sendiri. Menurut sumber, ganjaran istimewa RM3,000 ditawarkan kepada pemain Pahang jika mereka berjaya mencatat kemenangan sulung MLS 2004 ke atas Perak, bulan lalu. Bagaimanapun, nasib ternyata tidak menyebelahi pemain apabila Pahang hanya berpuas hati mencatat keputusan seri tanpa jaringan walaupun diatas kertas mereka layak menjinakan lawan. Bagi empat pemain Pahang Hairuddin Omar, Subri Sulong, Rosdi Talib dan Azmin Azram Aziz yang beraksi dengan skuad kebangsaan, mereka terpaksa menanggung kerugian RM5,000 dalam tempoh seminggu. Ini berlaku selepas Pahang seri dengan Perak (RM3,000) kemudian pasukan negara menerima aib kepada Hong Kong (RM2,000) pada saingan Pra-Kelayakan Piala Dunia di Stadium Darulmakmur. Selepas menerima gaji lumayan daripada Persatuan Bola Sepak Negeri Pahang (PBNP) pemain turut berpeluang menambah wang saku jika kemenangan terus dicatat pada setiap perlawanan. Rata-rata pemain Tok Gajah yang ditemui berkata semangat untuk mencatat kemenangan bertambah dua hingga tiga kali ganda terutama setiap kali memikirkan imbuhan lumayan yang menanti. Sebagai pemain, imbuhan dianggap senjata utama yang akan menambahkan lagi semangat serta kesungguhan memburu kemenangan untuk memastikan ganjaran lumayan mampu diraih. Apa yang diharapkan peminat setia Pahang tidak terlalu memandang serong kepada pemain semata-mata imbuhan yang diterima kerana itu adalah sumber kewangan bagi pemain. Pada kedudukan yang terbaik sekarang pemain perlu berusaha bersungguh-sungguh menambahkan pendapatan sebagai bekalan masa depan kerana imbuhan yang diterima itu adalah halal. Walaupun tekanan mencatat kemenangan terpaksa digalas tetapi demi imbuhan yang ditawarkan pihak pengurusan PBNP, letih yang ditanggung dapat dilupakan buat sementara waktu.
|
|