KEBUNTUAN gol daripada jentera serangan pada tiga perlawanan Liga Super Malaysia (MSL) musim ini, memang diakui jurulatih Pahang, Zainal Abidin Hassan. Bagaimanapun, kejayaan Hairuddin Omar menyumbangkan satu gol ketika Pahang membenam Public Bank Selangor 2-1 Sabtu lalu, memperlihatkan bahawa jentera serangan kembali bernafas. Dengan gandingan mantap Hairuddin bersama Azizul Kamaluddin, mereka kini kembali serasi untuk lebih mantap dan merobek gawang lawan pada perlawanan akan datang. Bagi jurulatih, gol yang diberikan Hairuddin kepada Pahang memang dinantikan selepas kegagalan menjaringkan gol pada dua perlawanan iaitu ketika menentang Perak dan Sabah. Katanya, dengan sentuhan Hairuddin, Zainal Abidin percaya pemain lain seperti Azizul dapat menjaringkan gol pada perlawanan seterusnya untuk membantu pasukan. “Sebenaranya, saya tidak bimbang dengan situasi itu kerana pemain posisi tengah dan pertahanan berupaya merobek gawang seperti yang dilakukan mereka ketika membenam Sabah dan Public Bank selangor. “Apa yang penting, semangat berpasukan yang ditunjukkan kesebelasan Pahang dinantikan untuk memastikan Pahang berada dalam kedudukan selesa,” katanya. Sebelum ini, kegagalan Azizul dan Hairuddin menjaringkan gol pada dua perlawanan saingan MSL lalu, tidak meresahkan Zainal Abidin. Kegagalan itu tidak meresahkannya kerana Pahang bermain dengan semangat berpasukan dan pemain di posisi lain juga boleh menjaringkan gol. Pada tiga perlawanan lalu, enam gol yang diperolehi skuad bimbingan Zainal menerusi pemain tengah dan pertahanan iaitu Lucas Ariel dengan dua gol diikuti masing-masing satu oleh Hairuddin, Indra Putra Mahayuddin, Fernando Horacio dan Rosdi Talib. Justeru, Zainal Abidin akan pastikan perlawanan akan datang menyaksikan persembahan lebih terbaik pemainnya seterusnya mengulangi pencapaian ketika membenam Public Bank. “Soal tiga mata memang menjadi matlamat saya serta pemain tetapi komitmen dan amanah yang dipertanggungjawabkan dapat dilaksanakan dengan sebaik mungkin,” katanya. Oleh Asrol Awang |