JURULATIH Pahang, Zainal Abidin Hassan (kiri) sedang memberi arahan pemain ketika sesi atihan, kelmarin.

PERSATUAN Bola Sepak Malaysia (FAM) kini menunggu laporan penuh daripada Persatuan Bola Sepak Negeri Pahang (PBNP) mengenai kejadian penonton masuk ke padang pada perlawanan Pahang dengan Public Bank di Stadium Darulmakmur, Sabtu lalu.

Setiausaha FAM, Datuk Dell Akbar Khan berkata laporan daripada PBNP diperlukan bagi mengetahui kedudukan sebenar kejadian itu yang dianggap tidak sepatutnya berlaku.

“Adalah wajar FAM memberi peluang kepada PBNP menerangkan kedudukan sebenar mengenai apa yang berlaku sebelum sebarang tindakan diputuskan oleh Jawatankuasa Tatatertib FAM.

“Kita tidak boleh mengambil sebarang tindakan tanpa merujuk laporan daripada PBNP termasuk pegawai perlawanan malam itu,” katanya ketika dihubungi semalam.

Dalam kejadian Sabtu lalu, kira-kira 200 penyokong setia Pahang masuk ke padang Stadium Darulmakmur bagi meraikan kejayaan Tok Gajah menewaskan Public Bank 2-1.

Tindakan penyokong itu bagi membuktikan sokongan padu mereka kepada pemain Pahang yang datang ke bahagian tempat duduk penonton sebaik perlawanan tamat.

Dell menambah, FAM sudah menerima laporan penuh mengenai kejadian itu daripada pegawai perlawanan sebelum menanti laporan daripada PBNP.

“Berdasarkan kepada laporan yang diterima daripada PBNP dan laporan pegawai perlawanan, tindakan yang sewajarnya akan diambil, jika perlu,” katanya yang berharap kejadian seperti tidak akan berulang.

Sebelum ini Timbalan Presiden PBNP, Tengku Abdul Rahman Sultan Ahmad Shah mengakui melakukan kesilapan sehingga mengundang penonton Pahang masuk ke tengah padang.

“Saya tidak menyangka kehadiran saya dan pemain Pahang berhampiran tempat duduk penyokong menimbulkan rasa semangat yang begitu menebal sehingga menyebabkan mereka masuk ke tengah padang.

“PBNP akur dengan apa juga tindakan yang akan dibuat oleh FAM kerana itu adalah kesilapan kita. Bagaimanapun, ingin saya katakan kejadian itu tidak disengajakan,” katanya.

--Mohd Rafi Mamat (Berita Harian)