KOMBINASI tiga pemain Argentina jelas menjadi senjata utama Pahang ketika mereka mengekalkan rekod bersih 100 peratus tanpa kalah dalam tiga perlawanan bola sepak Liga Super.

Trio dari negara Amerika Latin itu - Jonathan Bass, Fernando Horacio dan Lucas Ariel Cominelli - nyata tidak menghadapi masalah berganding bahu bersama pemain tempatan lain seperti Subri Sulong, Rosdi Talib, Hairuddin Omar, Indra Putra Mahyuddin dan Azizul Kamaluddin.

Keunggulan mereka jelas terbukti malam kelmarin apabila membantu Pahang menewaskan pencabar terdekat, Public Bank Selangor 2-1 untuk terus mengekalkan kedudukan teratas liga selepas mencatat kemenangan kedua.

Skuad Tok Gajah sebelum ini menewaskan Sabah 4-2 dan seri dengan Perak 0-0 dalam perlawanan pertama.

Sabah berada di tempat kedua dengan enam mata dan Perak ketiga, lima.

Jurulatih Pahang, Zainal Abidin Hassan yang juga bekas pemain kebangsaan nyata berpuas hati dengan persembahan ketiga-tiga pemain Argentina itu.

“Kami terpaksa bermain 38 minit dengan 10 pemain dan saya berpuas hati dengan cara mereka mengawal rentak perlawanan. Mereka juga bermain baik dengan pemain tempatan,” katanya.

Zainal jelas tidak menyembunyikan perasaannya terhadap Cominelli yang menjadi tonggak pasukannya malam kelmarin apabila membuat hantaran yang dimanfaatkan Hairuddin Omar untuk gol pertama sebelum mengesahkan kejayaan Pahang dengan tendangan bebas menjadi dari jarak 30 meter.

Pahang terpaksa beraksi dengan 10 pemain selepas Shahril Faizal Shahrifuddin menjatuhkan Mohd Aiman Wong di luar kotak penalti, pada minit ke-52.

Bagi Zainal, kemenangan ke atas Public Bank itu memberi lebih keselesaan kepada Pahang terutama dalam usaha melakar kejayaan membanggakan musim ini.

"Secara keseluruhan permainan kami baik walaupun beberapa kesilapan masih berlaku terutama benteng pertahanan. Selain itu jentera serangan yang diterajui Hairuddin dan Azizul Kamaluddin dilihat masih kurang menyengat apabila gagal melakukan penyudahan sempurna seperti diharapkan," katanya yang turut memuji corak permainan bersemangat pemain Selangor Public Bank.

Bagaimanapun, Zainal percaya yang persembahan pemainnya belum mencapai tahap maksimum kerana mereka beraksi di bawah keupayaan sebenar dan menaruh harapan situasi akan bertukar menjadi lebih baik apabila mereka bertandang ke Stadium Batu Kawan menentang Pulau Pinang

Oleh Mohd Rafi Mamat