Kurikulum Komputer Dan Teknologi Maklumat Dalam Subjek Pengajian Kejuruteraan   Elektrik   Dan   Elektronik  Di  Sekolah  Menengah Teknik

 

 

Pengenalan

 

Pengajian Kejuruteraan Elektrik dan Elektronik adalah satu daripada subjek elektif dalam program Kurikulum Bersepadu Sekolah Menengah (KBSM) di peringkat menengah atas (Kementerian Pendidikan Malaysia 1994). Subjek ini bertujuan untuk mendedahkan pelajar-pelajar yang meminati bidang ini kepada asas Kejuruteraan Elektrik dan Elektronik secara umum supaya dapat memupuk dan memperkembangkan minat dan kecenderungan mereka sebelum menceburi atau memilih bidang ini sebagai kerjaya atau pilihan pengkhususan di peringkat pengajian tinggi.

 

Era perkembangan teknologi masa kini mempengaruhi setiap bidang kehidupan dan kini teknologi telah digabung dalam kurikulum sebagai usaha ke arah menyemai serta memupuk minat dan sikap yang positif terhadap perkembangan teknologi (Tengku Zawawi 2000:1). Dengan terciptanya komputer mikro yang mempunyai berbagai keupayaan, tahan lasak serta kos yang murah telah menjadikan komputer digunakan secara meluas dalam berbagai bidang termasuk juga di bidang pendidikan. Menurut Norhashim et al. (1996) menyatakan bahawa penciptaan komputer mikro di awal tahun tujuh puluhan telah memberi kesan terhadap penggunaan teknologi itu dalam bidang pendidikan di Malaysia. Pengetahuan dalam teknologi komputer ini juga telah diserap di dalam kurikulum Pengajian Kejuruteraan Elektrik dan Elektronik di Sekolah Menengah Teknik.

 

 

Elemen Komputer Dan Teknologi Maklumat Dalam Kurikulum Pengajian Kejuruteraan Elektrik Dan Elektronik

 

Perubahan yang melanda dalam dunia pendidikan kini tentunya akan merubah kandungan dan rekabentuk kurikulum di setiap mata pelajaran (Jamaludin Ibrahim 1989). Kurikulum Pengajian Kejuruteraan Elektrik dan Elektronik juga tidak dapat lari dari arus teknologi ini dan telah memasukkan  elemen komputer dan teknologi maklumat dalam kurikulum Pengajian Kejuruteraan Elektrik dan Elektronik yang telah digubal pada tahun 1994 .

 

 

Tujuan Topik Pengenalan Kepada Komputer Dalam Kurikulum Pengajian Kejuruteraan Elektrik dan Elektronik

 

Pengenalan Kepada Komputer adalah salah  satu topik yang terkandung di dalam sukatan subjek Pengajian Kejuruteraan Elektrik dan Elektronik. Di antara objektif spesifik topik Pengenalan Kepada Komputer ini  adalah:

 

·        pelajar-pelajar akan dapat mengenal jenis-jenis sistem komputer;

·        pelajar-pelajar akan dapat mengenal organisasi dan fungsi sistem komputer;

·        pelajar-pelajar akan dapat mengenal jenis-jenis rangkaian komputer.

·        Pelajar-pelajar akan mendapat latihan kemahiran memasang perkakasan komputer.

·        Pelajar-pelajar mendapat latihan kemahiran menggunakan perisian pemprosesan perkaaan dan helaian hamparan.

 

Berdasarkan kepada sukatan pelajaran Pengajian Kejuruteraan Elektrik dan Elektronik Kementerian Pendidikan Malaysia (1994) terdapat tiga unsur yang diterapkan dalam kurikulum  ini iaitu:

 

            i.     Pengetahuan:

                   Bidang pengetahuan yang akan dipelajari oleh pelajar dalam topik ini 

                  adalah:

                    - Sistem komputer.

                    - Jenis-jenis sistem komputer.

                    - Organisasi komputer.

                    - Fungsi perkakasan komputer.

- Rangkaian dan kelas rangkaian.

 

 

 

            ii.     Nilai dan sikap:

                    Dalam  kurikulum   topik  Pengenalan  Kepada  Komputer  ini  secara 

                    tidak langsung akan memupuk sikap dan pemikiran pelajar agar

                    mempunyai  yakin diri, berinovatif, rasional, berminat  dan  menitik

                    beratkan   soal   kebersihan. Di  antara    kod   etika   yang  diberi

                    penumpuan  terhadap  pelajar  ialah  agar  dapat membentuk nilai

                    kerja  yang  baik, berdisiplin, bekerjasama  serta  mematuhi peraturan.

 

iii.       Bidang kemahiran:

        Dalam kurikulum topik Pengenalan Kepada Komputer ini kemahiran               merupakan elemen utama yang diberi tumpuan terdiri dari kemahiran

        khusus      yang    diperoleh    dalam    kerja    buat    amali     seperti

        penggunaan   peralatan mengikut prosedur  yang  betul, kemahiran

        memasang    perkakasan    komputer,   kemahiran   mengendalikan

        komputer , kemahiran    membaik    pulih  mudah   dan   kemahiran

                     menggunakan    perisian    pemproses    perkataan   dan     helaian

                   hamparan. Kemahiran yang bersifat umum pula adalah   kemahiran

                   berfikir   untuk     menyelesaikan    masalah     secara  kreatif     dan

                   kemahiran   berkomunikasi  dalam membincangkan sesuatu     fakta,

                   idea atau masalah.

 

 

Kebaikkan Topik Pengenalan Kepada Komputer di Dalam Kurikulum Pengajian Kejuruteraan Elektrik dan Elektronik

 

Dalam topik Pengenalan Kepada Komputer ini memperlihatkan kesepaduan ilmu di antara bidang kejuruteraan elektrik dan elektronik dengan bidang perkomputeran. Pelajar didedahkan dengan pengetahuan dan maklumat yang komprehensif  mengenai  teknologi komputer. Di antara kandungan sub topik yang dibincangkan adalah:

 

a.      Pembelajaran Tentang Komputer

 

Aplikasi komputer dalam topik Pengenalan Kepada Komputer ini adalah pembelajaran tentang komputer atau literasi komputer di mana komputer merupakan objek pembelajaran. Menurut Norhashim et al. (1996) di antara pengetahuan yang diterangkan kepada pelajar tentang literasi komputer antaranya adalah mengenai sejarah penciptaan komputer, bagaimana komputer berfungsi, komponen atau perkakasan sistem komputer, kesesuaian bidang yang menggunakan komputer, kerjaya dan kesan penggunaannya.  Dalam konteks ini pelajar mempelajari dan mengenalpasti komponen utama  sistem komputer.

 

Komponen utama dalam sesuatu sistem komputer  terdiri daripada Unit Input, Unit Pemprosesan Pusat (UPP), Storan dan Unit Output. Seterusnya pelajar akan mempelajari secara lebih terperinci mengenai perkakasan unit-unit tersebut. Menurut Zoraini Wati (1993) perkakasan merupakan komponen fizikal sesebuah sistem komputer seperti pemacu cakera, papan kekunci, monitor, pencetak, tetikus dan seumpamanya.

 

Pengetahuan yang diperoleh oleh pelajar tidak sekadar mengenal perkakasan bagi unit-unit yang berkaitan sahaja tetapi memahami dari segi kefungsian dan kendaliannya. Sebagai contoh, pemacu cakera (floppy disk) dan cakera keras (hard disk) merupakan unit input dan juga unit output bergantung kepada penggunaanya. Dengan mengaitkan pengetahuan yang sedia ada di dalam kejuruteraan elektrik dan elektronik seperti konsep kemagnetan, konsep elektromagnet dan konsep motor arus terus (a.t.) dengan mudah membantu pelajar  memahami bagaimana sebenarnya  proses penyimpanan data atau maklumat berlaku dan bagaimana data atau maklumat ini disimpan pada cakera.. Integrasi keilmuan ini akan memantapkan lagi kefahaman pelajar terhadap kefungsian sesuatu perkakasan. Selain dari itu pelajar juga akan mempelajari dan mengenal pasti faktor-faktor yang menentukan kepantasan sesuatu sistem komputer.

 

Setelah mengenali pelbagai klasifikasi perkakasan dan memahami kefungsian serta kendaliannya, pelajar akan mempraktikkan pemasangan komponen-komponen atau perkakasan komputer supaya menjadi satu sistem yang lengkap dan berfungsi dengan sempuna. Disini memperlihatkan bagaimana pelajar mempraktikkan langkah-langkah keselamatan yang dipelajari dalam teori kejuruteraan elektrik dan elektronik  ketika memasang perkakasan pada papan utama atau papan induk (motherboard). Sebagai contoh cas elektrik (static electricity) yang ada pada badan manusia perlu dinyahcaskan terlebih dahulu sebelum menyentuh papan induk yang mengandungi pelbagai cip elektronik yang sangat sensitif. Menurut Mark (1996) elektrik statik dijanakan oleh tubuh manusia hampir pada setiap masa dan elektrik statik ini boleh memendekkan jangka hayat dan merosakkan cip-cip elektronik terutamanya cip CMOS (Complementary Metal Oxide Semiconductor). Oleh yang demikian elektrik statik ini perlu dinyahcaskan dengan menggunakan "anti-static wrist strap".

 

Selain dari itu pelajar juga mempelajari kemahiran mendiagnostik ralat berpandukan jadual kod ralat diagnostik IBM seperti "POST Audio Messages" dan "Hardware Dignostic/POST Messages". Dalam aktiviti praktikal komputer,  membaikpulih mudah akan dilaksanakan oleh pelajar. Selain dari itu pelajar akan diperkenalkan kepada jenis-jenis komputer rangkaian seperti LAN (Local Area Network) , WAN (Wide Area Network) dan kegunaanya.

 

b.     Kemahiran Penggunaan Komputer

 

Setelah pengetahuan mengenai perkakasan dipelajari  disusuli pula dengan  program kemahiran menggunakan komputer di mana pelajar akan diperkenalkan pula kepada prisian aplikasi. Menurut Rao et al. (1991) perisian aplikasi merupakan program yang mengarah komputer supaya membuat apa yang dikehendaki dan perisian aplikasi ini boleh dibahagikan kepada enam jenis iaitu pemproses perkataan, pengurusan pangkalan data, hamparan elektronik, pemprosesan grafik, komunikasi dan pengarangan.   Dalam konteks ini pelajar akan diperkenalkan dengan perisian aplikasi pemproses perkataan di mana perisian berlesen yang dibekalkan oleh Kementerian Pendidikan  Malaysia kepada Sekolah Teknik adalah MS Word 6.

 

Pelajar akan menggunakan perisian pemproses perkataan Word 6.0 ini untuk membuat folio atau dokumen  kerja kursus semasa di tingkatan 5 nanti.  Di antara perkara yang dipelajari adalah memasukkan teks dalam dokumen, mengedit, menyimpan dokumen, mencetak dokumen, membina jadual dan memformat.

 

 

Ulasan Terhadap Kurikulum Pengajian Kejuruteraan  Elektrik dan Elektronik

 

i. Kurikulum - Kekurangan dan Cadangan

 

Untuk mencapai matlamat pendidikan di Malaysia, satu anjakan paradigma diperlukan dalam cara pemikiran dan penggunaan teknologi (Wan Zahid 1997). Penggunaan komputer dalam pendidikan adalah merupakan langkah awal ke arah mewujudkan masyarakat berteknologi selaras dengan hasrat Wawasan 2020. Institusi pendidikan sebagai wadah terpenting perlu mengalami perubahan terlebih awal berbanding dengan institusi-institusi lain ke arah mencapai matlamat tersebut. Potensi dan kecanggihan teknologi perlu dimanfaatkan sepenuhnya.

 

Dalam kurikulum Pengajian Kejuruteraan Elektrik dan Elektronik ini elemen komputer dan IT merupakan salah satu di antara topik-topik lain yang dipelajari dan ianya bersifat terpisah tidak menyeluruh. Sebagai contoh dalam topik kejuruteraan elektronik iaitu pengiraan arus dan gandaan dalam litar penguat transistor yang melibatkan penggunaan rumus dan banyak pengiraan boleh diterapkan dengan elemen komputer dan IT secara bersepadu. Dalam konteks ini pembelajaran tentang komputer boleh disepadukan dengan memasukkan elemen pengaturcaraan komputer atau bahasa pengaturcaraan mudah seperti Bahasa Basic sebagai  alternatif yang dapat membantu menyelesaikan proses pengiraan kuantiti-kuantiti elektrik yang berkaitan dengan cepat dan tepat.

 

Selain dari itu, untuk  membantu proses pengajaran dan pembelajaran Pengajian Kejuruteraan Elektrik dan Elektronik supaya lebih menarik beberapa perisian yang relevan dengan topik kejuruteraan boleh dimanfaatkan, sebagai contoh dalam topik kejuruteraan elektronik melibatkan banyak lukisan litar skematik dan simbol-simbol komponen yang piawai. Dengan menggunakan  perisian seperti ORCAD dan Electronic Workbench dapat  membantu membina litar skematik dengan kemas dan melukis simbol-simbol komponen elektronik dengan tepat dan piawai. Untuk mereka litar tercetak atau PCB dalam proses pendawaian litar projek elektronik mengambil masa yang panjang dan merumitkan. Dengan bantuan komputer menggunakan perisian seperti Protel atau PCB Maker proses ini dapat disegerakan dalam masa yang singkat.

 

Dengan wujudnya kesepaduan ilmu di antara kejuruteraan dan pengkomputeran ini akan memberi pengetahuan serta manfaat yang lebih kepada pelajar di mana dua jenis ketrampilan diperoleh dalam satu masa. Disamping itu kesepaduan ini memberikan variasi di dalam pengajaran dan pembelajaran.

 

ii. Aspek Teknologi Maklumat (IT) Dan Cadangan Dalam Kurikulum

 

Arus kemajuan dan "kuasa" teknologi maklumat khususnya komputer dan internet sememangnya sudah sinonim dengan kemajuan tamadun manusia hari ini. Internet yang dicetuskan melalui teknologi maklumat dan komputer merupakan teknologi yang paling cepat berkembang. Komputer dan teknologi maklumat kini telah menjadi sebahagian daripada kehidupan rakyat negara ini.

Walaupun di dalam topik Pengenalan Kepada Komputer pelajar diperkenalkan kepada jenis-jenis rangkaian komputer seperti LAN dan WAN, tetapi ia hanya sekadar peringkat mengenal  sahaja. Ini bermakna pelajar tidak didedahkan secara langsung dengan penggunaan internet. Banyak faedah yang sepatutnya diperoleh dari  internet tidak dipelajari oleh pelajar dan keadaan ini  amat merugikan pelajar.

 

Menurut Zoraini (1995) internet merupakan sebuah rangkaian komputer diperingkat antara bangsa mengandungi lebih daripada 50 ribu rangkaian komputer di seluruh dunia, lebih daripada 6.6 juta komputer hos dan lebih daripada 50 juta pengguna dari lebih daripada 160 buah negara. Dalam rangkaian internet terdapat berbagai jenis sumber termasuklah artikel majalah, kertas kerja persidangan, perisian komputer, litar projek elektronik, gambar, video dan sebagainya. Oleh yang demikian adalah dicadangkan  agar penggunaan internet ini dimasukkan di dalam kurikulum Pengajian Kejuruteraan Elektrik dan Elektronik supaya menjadi subjek yang bersepadu dan menyeluruh tidak bersifat sekadar memperkenalkan sahaja. Dalam aspek teknologi maklumat disini dilihat sebagai alat untuk memproses dan mengguna maklumat. Pelajar perlu di beri pendedahan mengenai pencarian maklumat  dalam internet sebagai contoh dengan menggunakan internet pelajar dapat mencari dan mengakses laman web yang mengandungi litar projek elektronik , maklumat tentang spesifikasii komponen beserta dengan teori kendalian litar  dengan cepat yang akan digunakan dalam projek kerja kursus semasa di tingkatan lima. Selain dari itu guru juga boleh  memanfaatkan internet bagi mendapatkan pelbagai sumber pengajaran seperti gambar dari angkasa lepas, penerangan mengenai satelit dalam komunikasi, kumpulan diskusi elektronik dan sebagainya.

 

Menyedari potensi dan keupayaan internet sebagai wadah komunikasi dan interaksi elektronik yang berkesan maka Kementerian Pendidikan telah mengambil langkah untuk memperkenalkan internet di sekolah dan telah melancarkan projek Jaringan Pendidikan (Sulaiman 1996). Dalam konnteks ini dicadangkan juga supaya pelajar diberi pendedahan tentang asas penulisan HTML  di mana pelajar akan dapat mempelajari proses pembinaan laman web. Pengetahuan mengenai teknologi internet dan maklumat ini penting dalam usaha menjadikan pelajar insan bermaklumat sekaligus berilmu dengan  memanfaatkan kecanggihan  teknologi semasa.

 

       

Masalah-Masalah Dalam Perlaksanaan Kurikulum Topik Pengenalan Kepada Komputer

 

Sebelum sesuatu kurikulum yang mengandungi rancangan pendidikan dilaksanakan terlebih dahulu semestinya beberapa aspek yang berkaitan dengan memenuhi kehendak kandungan kurikulum itu diambil kira. Menurut Tyler (1991) untuk membina sesuatu kurikulum terdapat empat perkara yang perlu dipastikan iaitu:

i.                    Apakah tujuan yang hendak dicapai oleh pihak yang membuat kurikulum.

ii.                  Apakah pengalaman dan prasarana pendidikan yang boleh disediakan bagi mencapai tujuan itu.

iii.                Bagaimana pengalaman itu dapat dikendalikan secara efektif.

iv.                 Bagaimana tujuan itu dapat ditentukan samada tercapai atau tidak.

 

Walaupun banyak kelebihan yang dapat diperoleh dari Topik Pengenalan Kepada Komputer yang terkandung dalam Kurikulum Pengajia Kejuruteraan Elektrik dan Elektronik ini, tetapi masih juga terdapat beberapa kekurangan dan kelemahannya. Di antara kekurangan dan kelemahan tersebut adalah:

 

a.      Peruntukkan Waktu Pengajaran Yang Terbatas

 

Waktu pengajaran yang telah diperuntukkan  bagi subjek Pengajian Kejuruteraan Elektrik dan Elektronik bagi tempoh seminggu adalah enam waktu dan satu waktu 40 minit. Manakala bagi topik Pengenalan Kepada Komputer peruntukan waktu bagi teori adalah 6 waktu sahaja dan amali 16 waktu (Kementerian Pendidikan Malaysia 1994). Walaupun dinyatakan dalam sukatan terdapat 16 waktu untuk amali bagi Topik Pengenalan Kepada Komputer tetapi ia tidak termasuk di dalam waktu pengajaran yang formal. Waktu kerja amali ini adalah di luar waktu persekolahan yang formal. Dengan erti kata lain kerja amali ini boleh di lakukan pada bila-bila masa yang sesuai. Situasi ini mendatangkan masalah kepada guru untuk melaksanakannya kerana selain dari waktu persekolahan yang formal pelajar terlibat dengan pelbagai aktiviti kokurikulum. Oleh yang demikian aktiviti  amali ini telah dikesampingkan atau tidak dilaksanakan kerana bergantung atas budibicara guru.

 

Bagi mengatasi kekurangan ini adalah dicadangkan kepada penggubal kurikulum Pengajian Elektrik dan Elektronik supaya menambah bilangan waktu pengajaran yang sedia ada dengan mengambil kira waktu bagi aktiviti-aktiviti amali agar semua kegiatan dapat disempurnakan pada waktu persekolahan yang formal.

 

b.     Kekurangan Prasarana Pendidikan

 

Antara faktor lain yang menyebabkan terbantutnya  perlaksanaan kurikulum Pengajian Kejuruteraan Elektrik dan Elektronik  topik Pengenalan Kepada Komputer khususnya dalam aktiviti kerja praktik komputer adalah:

 

i.                    Tiada peralatan  yang dibekalkan  untuk  membuat  aktiviti  pemasangan

perkakasan   komputer  sebagaimana  yang  disarankan  dalam   sukatan

pelajaran.  Oleh yang demikian di atas iniatif guru sendiri melatih pelajar membuat aktiviti ini menggunakan komputer jenis lama  yang  telah rosak.

Pelajar hanya memperoleh kemahiran hanya dari segi pemasangan perkakasan sahaja tetapi dari segi kefungsian keseluruhan sistem tidak dapat perolehi. Dari aspek pendedahan dan penggunaan teknologi komputer terkini, tujuannya tidak tercapai.

 

ii.                  Makmal Pengajian Kejuruteraan Elektrik dan  Elektronik  telah  disediakan

tetapi kemudahan perlatan yang dibekalkan oleh Kementerian Pendidikan hanyalah peralatan untuk kegunaan kejuruteraan elektrik dan elektronik sahaja seperti instrumen pengukuran dan pengujian. Tiada komputer  dan perkakasan komputer yang dibekalkan. Oleh yang demikian untuk menjalankan aktiviti kemahiran menggunakan komputer khususnya kemahiran menggunakan perisian aplikasi pemproses perkataan tidak dapat dilaksanakan di makmal yang sedia ada sebaliknya terpaksa pula menumpang makmal AutoCad yang mempunyai hanya 12 buah komputer sahaja sedangkan bilangan pelajar bagi satu kelas adalah 40 orang. Pelajar terpaksa berkongsi menggunakan komputer dan waktu yang dibenarkan menggunakan makmal AutoCad ini juga terhad.

 

Faktor-faktor begini menyebabkan pembelajaran kurang efektif dan kebiasaanya guru akan mengambil jalan mudah untuk tidak menjalankan aktiviti ini. Situasi begini jika berterusan akan merugikan pelajar dan matlamat yang telah digariskan dalam sukatan pelajaran tidak akan tercapai.

 

c.      Kekurangan Tenaga Pengajar yang berkebolehan

 

Untuk menyampaikan subjek yang berteraskan komputer kepada pelajar secara teorinya terutamanya dalam memperkenalkan perkakasan komputer dan menjelaskan kefungsiannya, semua guru boleh melakukannya. Masalah timbul apabila hendak mempraktikkan pemasangan perkakasan, tidak ramai guru yang berkebolehan atau mempunyai kemahiran ini.

 

Selain dari itu bilangan guru yang kurang sedangkan bilangan pelajar ramai. Terdapat enam  buah kelas Pengajian Kejuruteraan Elektrik dan Elektronik iaitu tiga  kelas tingkatan empat dan tiga kelas tingkatan lima. Bilangan pelajar dalam setiap kelas adalah 40 orang sedangkan bilangan guru subjek Pengajian Kejuruteraan Elektrik dan Elektronik ini bagi enam kelas hanya tiga orang sahaja.

Selain dari mengajar subjek Pengajian Kejuruteraan Elektrik dan Elektronik ini guru juga mengajar subjek-subjek yang lain seperti Lukisan Kejuruteraan dan Matematik disamping terpaksa membuat kerja-kerja penyelenggaran di makmal kerana tiada jawatan pembantu makmal yang diperuntukkan. Bebanan kerja yang terlalu banyak menyebabkan guru kurang motivasi tidak berkesempatan untuk menyediakan diri dengan kemahiran dalam pemasangan dan penyelenggaraan komputer.

 

 

Kesimpulan

 

Di Sekolah Menengah Teknik subjek yang berteraskan komputer ini khususnya literasi komputer telah mula diperkenalkan sejak tahun 1994 lagi. Hasrat dan matlamat yang telah digariskan dalam kurikulum Pengajian Kejuruteraan Elektrik dan Elektronik ini tidak akan tercapai tanpa ada usaha untuk mengatasi segala masalah dan kekurangan yang ada. Oleh itu Jabatan Pendidikan Teknikal adalah pihak yang bertanggungjawab terhadap perjalanan Sekolah Mengah Teknik perlu memantau masalah ini dan membuat tindakan yang sewajarnya.

 

Penggunaan teknologi maklumat telah menjadi salah satu agenda di dalam sistem pendidikan di Malaysia. Menurut Najib (1997) reformasi dalam pendidikan akan menitikberatkan elemen teknologi maklumat yang memberi penekanan terhadap program literasi komputer dalam pendidikan sains dan teknologi. Teknologi maklumat yang diasaskan oleh perkembangan dan kemajuan dalam bidang mikroelektronik yang mengandungi perkembangan pelbagai teknologi maklumat dan dalam konteks ini yang paling terserlah sekali adalah kemunculan internet yang mempamerkan penggunaan jaringan informasi bersepadu. Senario  ini  menunjukkan  betapa perlunya kurikulum di Sekolah Menengah Teknik disepadukan dengan teknologi maklumat dan dilengkapi  dengan kemudahan  penggunaan internet di dalam pengajaran dan pembelajaran.

 

Kejayaan dan kegagalan pelaksanaan sesuatu inovasi kurikulum sangat bergantung kepada guru yang melaksanakannya. Oleh yang demikian bagi memastikan kurikulum Pengajian Kejuruteraan Elektrik dan Elektronik di laksanakan dengan jayanya maka latihan bagi meningkatkan ketrampilan guru yang sewajarnya perlu diadakan dari masa ke semasa.

 

Adalah diharapkan saranan yang dikemukakan ini akan dilihat sebagai suatu yang positif serta di ambil langkah yang drastik untuk melakukan perubahan terhadap kurikulum Pengajian Kejuruteraan Elektrik dan Elektronik  supaya kualiti pendidikan di Sekolah Menengah Teknik ini setanding dengan Sekolah Bestari dari segi penggunaan teknologi didalam pengajaran dan pembelajaran.

 

 

 

Senarai Rujukan

 

 

Jamaludin Ibrahim. 1989.Pengajaran Berbantukan Komputer Berkepintaran:

             Implikasi Kepada Pengajaran dan Pembelajaran. Proceedings of the

             National  Symposium On Educational Computing. USM, Pulau Pinang.

 

Kementerian   Pendidikan  Malaysia. 1994. Sukatan   Pelajaran  Kurikulum 

           Bersepadu Sekolah Menengah Pengajian Kejuruteraan Elektrik Dan 

           Elektronik   Tingkatan 4  dan  5. Bahagian  Pendidikan  Teknik  dan

           Vokasional. Kuala Lumpur: Dewan  Bahasa Dan Pustaka.

 

Kementerian Pendidikan Malaysia. 1993. Pengajian Kejuruteraan Elektrik Dan  

           Elektronik Tingkatan 4. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa Dan Pustaka.

 

Mark  Minasi. 1996. The   Complete   PC   Upgrade   And  Maintenance   Guide.

             Seventh Edition. United States America: SYBEX Inc.

 

Mohd Najib Tun Abdul Razak. 1997. Education for a Smart Society (atas talian).

              http://www.mdc.com/flagship/school/index.html (29 Disember 2000).

 

Norhashim, Mazenah & Rose Alinda. 1996. Pengajaran Bantuan Komputer. 

           Kuala Lumpur: DBP & Universiti Teknologi Malaysia..

 

Rao, G.S.,  Rao,  A.K.,  Zoraini  Wati  Abas,  Wan  Fauzy  Wan  Ismail.  1991.

             Pembelajaran Berbantukan Komputer. Petaling Jaya: Penerbit  Fajar

             Bakti.

 

Ralph W. Tyler. 1991. Basic Principle of Curiculum and Instructions. Chicago:

             University of Chicago Press.

 

Sulaiman Hashim. 1996.Jaringan Pendidikan. Proceedings of the National

             Symposium on Educational Computing. USM, Pulau Pinang

 

Tengku Zawawi Tengku Zainal. (tanpa tarikh). Peranan Komputer Dalam

            Pendidikan  Matematik    (atas talian). 

            http://www.oocities.org/Athens/Acropolis/2766/Komputer.html

           (12 September 2000).

 

Wan Mohd Zahid Wan Mohd Nordin. 1997. Sekolah Bestari Di Malaysia: Hala

             Tuju Ke Masa Depan. Kuala Lumpur: Kementerian Pendidikan Malaysia.

 

Zoraini Wati Abas. 1993. Komputer Dalam Pendidikan. Kuala Lumpur: Penerbit

             Fajar Bakti.

 

 

.