Tugasan 2 GE6353

Pensyarah: Cik Hjh. Fatimah Mohd. Yassin

 

Teori,Strategi dan Pengkaedahan Dalam Subjek Pengajian Kejuruteraan Elektrik dan Elektronik Topik Pengenalan Kepada Komputer

 

Pendahuluan

Perkembangan dan pembaharuan dalam teknologi telah melahirkan beberapa perubahan penting dalam perkembangan kehidupan manusia. Kini seiring dengan perkembangan teknologi yang berkembang pesat ialah komputer di mana penggunaan komputer telah meluas di dalam pelbagai bidang seperti penyediaan teks, mencipta grafik, menghantar mesej atau dokumen, membuat simulasi dan sebagainya.

Kepentingan teknologi penggunaan komputer dalam era kehidupan telah menyedarkan Jabatan Pendidikan Teknikal supaya memberi pendededahan mengenai aplikasi komputer khususnya pembelajaran tentang komputer kepada pelajar di Sekolah Menengah Teknik dan telah memasukkannya sebagai sub topik dalam sukatan pelajaran Pengajian Kejuruteraan Elektrik dan Elektronik 1994.

 

Kandungan Sukatan Pelajaran Pengenalan Kepada Komputer

Di dalam sukatan pelajaran Pengajian Kejuruteraan Elektrik dan Elektronik telah memperincikan matlamat sub topik Pengenalan Kepada Komputer dibentuk iaitu bagi mengeluarkan pelajar yang bukan sahaja tahu menggunakan komputer tetapi memahami konsep asas pembinaan komputer atau organisasinya serta mengenali pelbagai perkakasan disamping berkeupayaan pula memasangnya.

Dalam memenuhi hasrat ini terdapat beberapa bidang pengetahuan yang telah digariskan dan susun oleh Kementerian Pendidikan Malaysia (1994) seperti:

  1. Sistem Kompter.
  2. Sub topik ini menjelaskan yang dimaksudkan dengan sistem komputer, memperkenalkan jenis-jenis sistem komputer seperti Komputer Kerangka Utama, Komputer Mini dan Komputer Mikro.

  3. Organisasi dan fungsi sistem komputer.
  4. Sub topik ini menjelaskan binaan atau hubungan sumber-sumber fizikal komputer yang dinamakan perkakasan terdiri daripada peranti masukan, peranti keluaran, unit pemprosesan pusat dan storan sekunder. Memperkenalkan komponen peranti masukan (contoh: pemacu cakera, keyboard, tetikus), komponen peranti keluaran (contoh: monitor, pencetak), komponen unit pemprosesan pusat (contoh: Mikro Pemproses, RAM, ROM), komponen storan sekunder (contoh: cakera liut, cakera keras) serta kefungsiannya.

  5. Rangkaian Komputer.
  6. Sub topik ini menjelaskan konsep rangkaian koputer dan memperkenalkan jenis-jenis rangkaian komputer serta perbezaannya.

  7. Perisian Alikasi.

Pelajar akan diperkenalkan dengan perisian pemproses perkataan (asas) dan hamparan elektronik (asas).

Fokus dalam perbincangan ini akan diberikan terhadap semua sub topik kecuali perisian aplikasi. Dalam penyampaian sub topik ini supaya ianya bermakna dan menghasilkan pembelajaran yang berkesan maka teori, kaedah dan strategi pengajaran yang bersesuaian perlu digunakan.

 

Teori Pembelajaran

Para pendidik sentiasa mencari asas yang sesuai untuk membuat keputusan tentang cara pengajaran harus disusun supaya pembelajaran dapat berlaku dengan berkesan. Menurut Hilgard dan Bower (1974) pembelajaran dapat diertikan sebagai perubahan tingkah laku yang kekal hasil daripada pengalaman. Perubahan ini mungkin tidak jelas sehingga timbul satu situasi di mana tingkah laku baru ini akan berlaku atau diperlihatkan. Manakala Gagne (1970) pula menyatakan pembelajaran adalah sebagai perubahan tingkah laku atau kebolehan seseorang yang dapat dikekalkan. Kedua pentakrifan yang diberikan ini mempunyai pengertian yang boleh dikatan tidak berbeza.

Abu Zahari (1988) menjelaskan bahawa ahli psikologi berpandangan pembelajaran bermula apabila adanya gerak balas terhadap sesuatu rangsangan. Pembelajaran akan berterusan apabila terdapat motivasi, manakala pembelajaran dalam sesuatu bidang itu dikatakan berakhir apabila terbentuk kemahiran. Penerangan terhadap kaedah dan cara bagaimana pembelajaran dapat disampaikan secara berkesan dikenali sebagai teori pembelajaran yang mempunyai prinsip-prinsipnya tersendiri. Oleh itu adalah menjadi keperluan kepada seseorang pendidik untuk memahami teori-teori pembelajaran dan prinsip-prinsip yang terkandung supaya dapat membuat keputusan tentang cara pengajaran harus disusun agar pembelajaran dapat berlaku dengan berkesan.

 

  1. Teori Tingkahlaku (Behaviorisme).

Menurut kelompok teori behaviorisme, manusia sangat dipengaruhi oleh kejadian-kejadian di dalam lingkungannya yang akan memberikan pengalaman-pengalaman belajar. Belajar adalah proses perubahan tingkahlaku yang terjadi karena adanya stimuli dan respon yang dapat diamati. Menurut teori ini manupulasi lingkungan sangat penting agar dapat diperoleh perubahan tingkah laku yang diharapkan . Teori behaviorisme ini sangat menekankan pada apa yang dapat dilihat iaitu tingkahlaku, tidak memperhatikan apa yang terjadi didalam fikiran manusia. Gaya teori tingkahlaku menumpukan bahawa pembelajaran adalah perubahan terhadap tingkahlaku luaran yang dapat di lihat , diperhatikan serta dapat diukur (Good & Brophy 1990). Belajar adalah perubahan tingkahlaku. Seseorang dianggap telah belajar sesuatu bila ia mampu menunjukkan perubahan tingkahlaku. Pada teori ini yang terdapat tiga prinsip yang utama iaitu masukan/input yang berupa rangsanagn (stimulus), keluaran/output yang berupa gerakbalas (response) dan peneguhan (reinforcement).

 

Langkah-langkah yang perlu dilakukan untuk menerapkan teori ini dalam pembelajaran terdapat 9 elemen iaitu:

  1. Menarik perhatian:
  2. Memberi rangsangan supaya dapat menarik perhatian untuk membangkitkan minat. Dalam menyampaikan sub topik Sistem Komputer, guru boleh bercerita mengenai sejarah permulaan komputer disamping memaparkan gambar-gambar yang berkaitan.

  3. Memberitahu pelajar objektif pelajaran:
  4. Dalam konteks sub topik Sistem Komputer objektif pelajaran dapat dinyatakan seperti berikut sebagai contoh:

    Di akhir pelajaran pelajar dapat mengenal jenis-jenis komputer dan mengetahui struktur asas binaan komputer dan dapat melakarkan gambarajah blok sistem komputer.

  5. Merangsang pelajar untuk mengingat semula isi kandungan yang telah Dipelajari sebelum ini:
  6. Sebagai contoh sebelum ini pelajar telah sedia maklum sejarah perkembangan komputer. Minta pelajar membandingkan ciri-ciri komputer maskini dan terdahulu.

  7. Mempersembahkan bahan yang merangsangkan:
  8. Sebagai contoh dalam sub topik Organisasi Komputer, guru boleh menjelaskan bahawa Organisasi Komputer terdiri daripada gabungan peranti-peranti dengan menunjukkan model papan induk yang telah bersambung dengan peranti-peranti sokongan yang menggambarkan satu sistem komputer yang sempurna.

  9. Menyediakan bimbingan belajar:
  10. Sebagai contoh mengadakan kumpulan untuk berbincang berkenaan dengan konsep peranti masukan dan peranti keluaran. Pelajar boleh berbincang menentukan bahawa cakera liut atau cakera keras boleh berubah fungsi menjadi peranti masukan atau peranti keluaran pada ketika yang tertentu.

  11. Mengesan kemajuan dengan mengemukakan soalan atau memberi tugasan
  12. Supaya pelajar dapat mengaplikasi ilmu yang dipelajari:

    Sebagai contoh memberi pelajar memasang perkakasan komputer supaya menjadi suatu sistem yang lengkap. Seterusnya pelajar menguji sistem komputer yang telah lengkap dan mengatasi masalah yang timbul.

  13. Memberi maklum balas:
  14. Sebagai contoh semasa pelajar cuba menguji sistem komputer yang telah lengkap dipasang, apabila menghadapi masalah semasa pengujian dibuat guru ingatkan pelajar kepada "POST Audio Messages".

  15. Menilai dan menaksir kemajuan:
  16. Sebagai contoh memantau penyambungan kabel dari peranti sokongan kepada soket di papan induk yang di buat oleh pelajar.

  17. Mengekalkan dan mengembangkan pengetahuan/ kemahiran:

Sebagai contoh pelajar dapat menyambung kabel peranti-peranti pada papan induk, seterusnya meminta pelajar memasang kesemua peranti dan papan induk pada 'casing'.

Pengajaran dan pembelajaran yang dilakukan ini terlebih dahulu dipecahkan kepada beberapa peringkat isi pelajaran mengikut keutamaan. Pelajar perlu memahami dan menguasai sesuatu peringkat dahulu sebelum pergi ke peringkat yang berikutnya.

 

ii. Teori Kognitif.

Menurut teori kognitif, pembelajaran adalah perubahan persepsi dan pemahaman yang tidak selalu dapat terlihat sebagai tingkah laku. Teori ini menekankan pada gagasan bahwa bahagian-bahagian suatu situasi saling berhubungan dengan kontek situasi secara keseluruhan. Witkin et al. (1971) menakrifkan gaya kognitif sebagai cara berfungsi kendiri yang tetap yang ditunjukkan oleh seseorang individu dalam aktiviti-aktiviti persepsi dan inteleknya. Gaya teori kognitif ini menjelaskan bahawa belajar adalah perubahan persepsi dan pemahaman. Perubahan persepsi dan pemahaman tidak selalu berbentuk perubahan tingkah laku yang dapat diamati. Setiap orang mempunyai pengalaman dan pengetahuan di dalam dirinya.

Untuk menerapkan teori ini dalam pembelajaran pendekatan teori kognitif bruner yang mengemukakan langkah-langkah berikut:

  1. Menentukan tujuan-tujuan pengajaran:
  2. Sebagai contoh menentukan tujuan pengajaran sub topik Organisasi dan fungsi sistem komputer iaitu menjelaskan kepada pelajar bahawa semua sistem komputer pada asasnya organisasi sistem adalah sama yang terdiri daripada peranti masukan, peranti keluaran, unit pemprosesan dan storan sekunder.

  3. Memilih bahan pelajaran:
  4. Sebagai contoh sub topik Organisasi dan fungsi sistem komputer, menyediakan gambar jenis-jenis komputer, gambarajah blok asas organisasi sistem komputer.

  5. Menentukan topik-topik yang akan dipelajari:
  6. Sebagai contoh Pengenalan kepada komputer, antara topik-topik yang akan dipelajari adalah Sistem Komputer, Jenis Sistem Komputer, Organisasi dan fungsi sistem komputer dan Rangkaian komputer.

  7. Mencari contoh-contoh, tugas, ilustrasi dan sebagainya yang dapat di gunakan untuk bahan belajar:
  8. Sebagai contoh: Organisasi Sistem Komputer Mikro, guru menyediakan contoh peranti masukan seperti tetikus, memberi tugas kepada pelajar menyenaraikan 5 jenis peranti masukan.

  9. Mengatur topik pelajaran dari konsep yang paling konkrit kepada yang paling Abstrak, dari yang sederhana kepada yang kompleks:
  10. Sebagai contoh Topik perkakasan komputer di antaranya peranti masukan dan peranti keluaran. Guru menunjukkan contoh fizikal peranti-peranti berkenaan, kemudian menerangkan konsep peranti masukan dan peranti keluaran. Contohnya cakera keras pada sesuatu keadaan menjadi peranti masukan dan pada suatu kedaan lain bertindak pula sebagai peranti keluaran.

  11. Menilai proses dan hasil pembelajaran:

Sebagai contoh: Kefahaman terhadap konsep peranti masukan dan peranti keluaran. Guru mengemukakan soalan seperti setelah diproses maklumat disimpan pada satu fail dalam cakera keras. Nyatakan fungsi cakera keras sebagai peranti apa. Jika pelajar tidak dapat menjawabnya guru terangkan semula konsep ini.

 

iii. Teori Konstruktivisme

Menurut Martin (1999) pembelajaran konstruktivis adalah berasaskan kepada penglibatan aktif pelajar dalam menyelesai masalah dan berfikiran kritikal tertakluk kepada aktiviti pembelajaran yang mereka rasa relevan dan berkaitan. Pelajar membina pengetahuan mereka sendiri dengan menguji ide dan pendekatan mengikut keutamaan pengetahuan dan pengalaman, seterusnya mengaplikasikan kepada situasi yang baru dan menyepadukan pengetahuan baru untuk memperoleh sesuatu yang baik dengan konstruk intelektual yang sedia ada.

Implikasinya kepada kelas, dalam pendekatan pembelajaran konstruktivis guru bertindak sebagai fasilitator atau 'coach'. Guru menunjuk jalan kepada pelajar, merangsang dan membangkitkan pemikiran kritikal pelajar, analisis dan sintesis melalui proses pembelajaran. Guru juga adalah sebagai 'co-learner'.

Sebagai contoh mengaplikasikan teori dalam topik pemasangan perkakasan komputer. Pelajar di bahagikan kepada beberapa kumpulan dan di kehendaki memasang semula perkakasan yang telah diceraikan supaya menjadi satu sistem yang lengkap dan seterusnya membuat pengujian kefungsian sistem. Guru hanya memerhatikan aktiviti pelajar dan merangsang mereka berfikir secara kritikal. Sekiranya terdapat guru membantu pelajar menyelesikannya secara bersama.

Gaya konstruktivisme ini berbeza dari pengajaran gaya tingkahlaku dan kognitif yang telah menetapkan objektif terlebih dahulu. Gaya konstruktivisme lebih terbuka dengan beranggapan bahawa pelajar berhak untuk berfikir serta memberi pendapat.

 

Kaedah dan Strategi Pengajaran

Pengajaran merupakan aktiviti atau proses yang berkaitan dengan penyebaran ilmu pengetahuan atau kemahiran yang tertentu. Guru perlu mengetahui pelbagai kaedah pengajaran dalam menyampaikan sesuatu maklumat atau pelajaran kepada pelajar supaya ianya bersesuaian dan berkesan. Rashidi Azizan dan Razak Habib (1995) menyatakan setiap kaedah pengajaran mempunyai matlamat dan cara yang khusus bagi menjamin penyampaian ilmu yang di lakukan oleh guru dapat diterima oleh pelajar secara berkesan.

Seels dan Richey (1994) menyatakan strategi pengajaran adalah spesifikasi untuk memilih dan menyususn peristiwa dan aktiviti pembelajaran dalam sesuatu unit pelajaran. Yusuf (1997) menjelaskan pula bahawa strategi pengajaran sangat penting kerana ia merupakan perancangan dan pelaksanaan secara mikro proses pengajaran dan pembelajaran. Peringkat inilah yang menentukan proses pembelajaran baik dari segi teori ataupun amalan atau pelaksanaan pengajaran.

Dalam konteks topik Pengenalan Kepada Komputer terdapat beberapa kaedah yang difikirkan sesuai dilaksanakan di antaranya adalah:

  1. Kaedah Kuliah
  2. Pendekatan kaedah ini adalah untuk menyampaikan maklumat yang telah dirancang dahulu. Sebagai contoh untuk menerangkan perbezaan di antara perisian dan perkakasan, guru boleh menggunakan pelbagai alat bantu mengajar seperti poster,gambar atau bahan sebenar dengan teknik-teknik tertentu bagi menjelaskan maksud berkenaan. Pengesanan terhadap kefahaman pelajar dapat dilakukan dengan mengemukakan soalan sepanjang kuliah berjalan.

  3. Kaedah Memberi Arahan
  4. Dalam pendekatan ini arahan yang diberikan kepada pelajar merupakan panduan sebelum sesuatu aktiviti dimulakan. Sebagai contoh dalam aktiviti pemasangan perkakasan komputer, guru terlebih dahulu memberi arahan yang harus dipatuhi oleh pelajar seperti langkah-langkah keselamatan yang perlu diikuti dan prosedur penggunaan peralatan.

  5. Kaedah Penyelesaian Masalah
  6. Pendekatan kaedah ini adalah untuk memberi latihan serta sokongan ketika pelajar menyelesaikan masalah. Terdapat banyak kaedah penyelesaian masalah. Sesuatu kaedah penyelesaian masalah mungkin bersesuaian dengan untuk sesuatu masalah saja. Sebagai contoh pelajar diberikan peranti-peranti sokongan yang telah ditanggalkan, pelajar dikehendaki menyambungnya kepada papan induk dan setelah lengkap ujian kefungsian dilakukan. Dalam kes ini guru perlu meneliti setiap langkah untuk mengenal pasti tahap kesukaran yang dihadapi oleh pelajar.

  7. Kaedah Demonstrasi
  8. Pendekatan kaedah ini membolehkan pelajar melihat satu siri langkah yang tidak memungkinkan pelajar mendapat maklumat tanpa penglibatan guru. Kaedah ini digunakan bagi menyampaikan pengetahuan dan kemahiran. Sebagai contoh aktiviti pemasangan CPU pada soket dan SDRAM pada slot DIMM. Guru terlebih dahulu melalui demonstrasi menunjukkan perkara yang penting perlu di fahami oleh pelajar dan teknik-teknik khas yang terlibat dalam pemasangan CPU pada soket dan SDRAM pada slot DIMM.

  9. Kaedah Menyoal

Pendekatan kaedah ini adalah untuk merangsang pemikiran. Menyoal merupakan sebahagian daripada interaksi dalam pengajaran dan pembelajaran. Strategi penyoalan perlu difahami dan jenis soalan perlu dipelbagaikan. Menurut Frank dan Liew (1983) soalan yang hendak dikemukakan dapat mendorong pelajar berfikir serta berusaha pada peringkat yang mencabar dan soalan tersebut tidak terlalu mudah dan tidak terlalu sukar sehingga membingungkan pelajar.Untuk mengekalkan gerak balas dan penglibatan kelas, guru seharusnya mencapai perimbangan di antara soalan yang agak mudah yang dapat dijawab oleh ramai pelajar dengan soalan yang agak sukar yang mencabar pelajar yang cerdas. Sebagai contoh dalam sub topik Organisasi dan fungsi sistem komputer, antara bentuk soalan boleh dikemukakan kepada pelajar ' Apakah tujuan menggunakan peranti masukan dan peranti keluaran' soalan ini memerlukan pelajar faham akan konsep. 'Namakan storan yang terdapat pada papan induk' soalan ini menguji ingatan pelajar kepada fakta. Dari kedua contoh soalan ini menunjukkan perbezaan tahap kesukaran serta teknik menyoal yang berbeza yang bertujuan membawa pelajar kepada tumpuan pelajaran.

 

Kesimpulan

Keberkesanan sesuatu kaedah pengajaran bergantung kepada banyak faktor iaitu samada yang terdapat pada guru, pelajar mahupun keadaam fizikal kelas tempat belajar. Pengetahuan tentang teknik menggunakan kaedah-kaedah pengajaran sahaja belum tentu menjamin pembelajaran yang bermakna dan berkesan. Selain menguasai pengetahuan dalam subjek yang diajar, guru juga perlu melengkapkan diri dengan pengetahuan pelbagai aspek yang berkaitan dengan alam pendidikan.

Dalam merealisasikan teori dan kaedah pembelajaran guru perlu bijaksana dan membuat pertimbangan terhadap pemilihan sesuatu kaeadah atau gabungan beberapa kaedah kerana setiap kaedah mempunyai keunggulan dan kelemahannya tersendiri.

 

 

Senarai Rujukan

Abu Zahari Abu Bakar. 1988. Memahami Psikologi Pembelajaran.
         
Petaling Jaya:
Penerbitan Fajar Bakti.

Frank, J.S. & Liew Su Tim. 1983. Pengajaran Matematik Di Sekolah
           Menengah
Malaysia. Petaling Jaya: Penerbitan Fajar Bakti.

Gagne, R.M. 1970. The Condition of Learning. Edisi ke-2. New York:
           Holt, Rinchart
and Winston.

Good, T. Brophy, J.E. 1990. Educational Psychology: A Realistic
           Approach.
Edisi
ke-4. New York: Longman White Plamas

Hilgard, E.R. & Bower, G.H. 1974. Theories of Learning. Edisi ke-6. New
          York:
Appleton-Century-Crofts.

Kementerian Pendidikan Malaysia. 1994. Sukatan Pelajaran Kurikulum
           Bersepadu Sekolah Menengah Pengajian Kejuruteraan Elektrik
           Dan
Elektronik Tingkatan 4 dan 5. Bahagian Pendidikan Teknik
           dan
Vokasional. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa Dan Pustaka.

Martin, B. 1999. Constructivism (atas talian)
         
http://curriculum.calstatela.edu/faculty/psparks/theorists/501const.htm
          (12 Disember 2000).

Rashidi Azizan & Razak Habib. 1995. Pengajaran Dalam Bilik Darjah
           Kaedah DanStrategi.
Kajang: Masa Enterprise.

Seels, B. & Richey, R. 1994. Instructional Technology: The Defination
           and
Domains of the field. Washington D.C.: AECT.

Witkin, H.A., Oltman, P.K., Raskin dan Karp, S.A. 1971. A Manual for
          the
Embedded figures tests. California: Consulting Psychologists
           Press.

Yusup Hashim . 1997. Media Pengajaran Untuk Pendidikan dan
          Latihan.
Shah
Alam: Penerbit Fajar Bakti.

 

kembali kelaman tugasan ge6353