GE 6663

Pembinaan Perisian PPBK " Cara Mudah Mengenal Papan Induk dan Menyambung Peranti Komputer"

Tugasan 4: Teori dan Strategi Pembelajaran Dalam
Mereka Bentuk Perisian PPBK

 

Pengenalan

Komputer mempunyai beberapa ciri yang membolehkannya menjadi ' tutor ' yang baik. Menurut Futrell & Geisert (1984) terdapat tujuh keupayaan yang membuatkan komputer amat sesuai dijadikan PPBK iaitu:

  1. Komputer boleh menghasilkan dan memanipulasi imej samada warna atau pun tidak pada skrin dan imej ini boleh dianimasikan.
  2. Komputer boleh menghasilkan dan merakam bunyi, suara dan lain-lain.
  3. Komputer boleh menyimpan dan mendapat kembali maklumat verbal dan numerik dari ingatannya.
  4. Komputer boleh mengenal waktu.
  5. Komputer boleh membuat segala fungsi matematik.
  6. Komputer boleh membuat keputusan logik
  7. Komputer boleh mengawal alat luaran.

Dengan keupayaan tersebut komputer dapat menghasilkan pembelajaran yang menggunakan semua pancaindera. Menurut Zoraini Wati (1993) PPBK pada amnya boleh di anggap satu pendekatan yang memanfaatkan pembelajaran dan antara manfaat yang diperoleh apabila menggunakan perisian PPBK adalah:

  1. Mempelajari sesuatu dengan lebih cepat.
  2. Lebih mudah dan lebih banyak mengingati kembali bahan yang dipelajari
  3. Memperoleh sikap positif terhadap komputer.
  4. Berinteraksi dengan komputer secara aktif.
  5. Fleksibiliti dalam pembelajaran .

Walau bagaimana pun untuk menghasilkan sesuatu perisian PPBK yang berkualiti dan berkesan tidak mudah, banyak faktor yang perlu di ambil kira dalam proses membangunkannya dan di antaranya adalah mengenai teori dan kaedah pembelajaran. Semua teknik atau kaedah adalah baik dan sesuai selagi mana ianya dapat membantu pelajar mencapai objektif yang digariskan (Shahrir 1982). Pemilihan teori dan kaedah pembelajaran yang sesuai perlu dibuat dan diserapkan di dalam perisian PPBK supaya sesuatu pelajaran yang dipersembahkan berkualiti, menarik serta berkesan.

Teori-Teori Pembelajaran

  1. Teori Tingkah Laku (Behaviorisme).

Tingkah laku bermaksud perubahan luaran yang berlaku ke atas seseorang akibat pengalaman yang dilalui dan perubahan tingkah laku ini dapat diperhati, diukur, dikawal serta diramal (Yusup Hashim 1998). Menurut teori tingkah laku belajar adalah proses perubahan tingkah laku yang terjadi kerana adanya rangsangan dan tindak balas yang dapat diamati. Manusia sangat dipengaruhi oleh kejadian-kejadian di dalam lingkungannya yang akan memberikannya pengalaman-pengalaman belajar. Manupulasi lingkungan sangat penting supaya perubahan tingkah laku yang diharapkan dapat di peroleh.

Dalam teori tingkahlaku ini sangat menekankan terhadap apa yang dapat dilihat iaitu tingkahlaku dan mengenepikan faktor yang tidak dapat di lihat seperti motif, harapan dan rasa diri dalam perkembangan pelajaran (Sulaiman 1997). Teori tingkah laku menumpukan bahawa pembelajaran adalah perubahan terhadap tingkah laku luaran yang dapat di lihat , diperhatikan serta dapat diukur (Good & Brophy 1990). Teori ini juga berperinsip bahawa pelajar akan mengekalkan sesuatu tindakan sekiranya peneguhan yang bersesuaian diberikan kepadanya. Thorndike (2000) berpendapat bahawa hubungan di antara rangasangan dan tindak balas akan diperkukuhkan apabila tindak balas yang positif diberikan dengan ganjaran yang positif. Dalam teori tingkah laku ini terdapat tiga prinsip yang utama iaitu input yang berupa rangsangan (stimulus), output yang berupa gerakbalas (response) dan peneguhan (reinforcement).

 

Skinner: Pelaziman Operan

Skinner berpendapat bahawa kebanyakkan tingkah laku manusia adalah dikuasai oleh ganjaran yang di terima apabila melakukannya. Skinner menyatakan bahawa cara membentuk tingkah laku ini di panggil pelaziman operan.Teknik pelaziman operan ini telah berjaya di gunakan bagi membentuk pola tingkah laku tertentu di dalam diri manusia.

Implikasi teori pelaziman operan dalam kelas ialah di mana guru kelihatan kurang memberi ganjaran terhadap tingkah laku yang diingini. Kebiasaanya guru hanya memberi perhatian kepada tingkah laku yang tidak diingini.

Bagi mengatasi kelemahan ini, Skinner mengesyorkan penggunaan berprogram dengan teliti di mana bahan yang hendak di pelajari di pecahkan kepada langkah kecil yang tersusun dengan baik. Setiap langkah dalam program ini akan dikemukakan beberapa soalan untuk membolehkan pelajar memberi respon.

Sekiranya respon yang di beri oleh pelajar betul, pelajar di beri pengukuhan dan meneruskan pelajaran ke langkah yang berikutnya. Sebaliknya jika respon yang di berikan oleh pelajar salah maka pelajar akan di beritahu kenapa salah dan cuba memberi respon yang lain pula.

Dalam pembinaan perisian ppbk ini bahan yang hendak dipelajari akan dipecahkan kepada beberapa langkah atau tajuk yang kecil. Sebagi contoh sebelum mempelajari penyambungan peranti sokongan kepada papan induk terlebih dahulu dipelajari mengenal papan induk, jenis-jenis soket yang terdapat pada papan induk dan kegunaannya.

 

Pelaziman Klasik Pavlov

Menurut teori ini setiap rangsangan akan menimbulkan gerak balas. Gerak balas ialah apa sahaja tingkah laku yang timbul akibat daripada rangsangan. Manakala rangsangan pula adalah apa sahaja bentuk tenaga yang menimbulkan gerak balas (Ee Ah Meng 1994). Pembelajaran boleh berlaku akibat kaitan di antara rangsangan dengan gerak balas. Rangsangan juga boleh dikaitkan dengan satu rangsangan yang lain untuk mendatangkan pembelajaran. Pembelajaran yang berlaku kerana perkaitan di namakan pelaziman manakala pembelajaran akibat dari perkaitan dua rangsangan di namakan pelaziman klasik.

Pelaziman klasik ini termasuklah mengaitkan simbol-simbol dengan apa yang dilambangkan, mengaitkan nama dengan watak, mengaitkan istilah teknik di dalam fizik dengan apa yang dimaksudkan atau mengaitkan tarikh dengan peristiwa (Sulaiman 1997).

Implikasi teori pelaziman klasik dalam pengajaran dan pembelajaran adalah seperti berikut:

  1. Kontinuiti - Menggunakan penggerak untuk membantu pelajar memberi respon kepada perangsang.
  2. Pengukuhan - Jika pelajar dapat membuat respon yang betul kepada perangsang tertentu, maka respon itu hendaklah diikuti
    dengan pengukuhan seperti pujian atau perhatian.

   iii.   Praktik - Praktik dalam membuat respon tertentu kepada sesuatu
          perangsang
tertentu akan mengukuhkan hubungan antara
          perangsang dengan respon.

Sebagai contoh dalam perisian yang dibina, di akhir setiap pelajaran akan dikemukakan soalan latihan. Sekiranya jawapan yang diberikan itu salah, peluang diberikan lagi untuk mencuba dan apabila jawapan yang betul diberikan, motivasi kepada pelajar atau pengguna akan diberi.

  1. Teori Kognitif

Teori kognitif menekankan pentingnya proses pemikiran dalam pembelajaran dan memberi perhatian kepada pengaruh faktor dalaman dalam pembelajaran. Belajar adalah perubahan persepsi dan pemahaman tidak semestinya berbentuk perubahan tingkah laku yang dapat diperhatikan. Di dalam pembelajaran seseorang individu membentuk struktur kognitif di dalam ingatannya. Setiap kali seseorang individu belajar ia akan menyusun segala pengalaman dan menyimpannya di dalam ingatan. Setiap pelajar mempunyai keupayaan mental untuk mengelola, menyusun, menyimpan dan mengeluarkan semula segala pengalaman bagi membolehkan ia memerhatikan pertalian di antara pengalaman tersimpan dengan masalah yang dihadapi. Kebolehan ini dinamakan celik akal.

Oleh itu sebelum sesuatu pengajaran itu dirancang dan di bina, guru perlu menganalisis skema pelajar. Sejauh mana pelajar dapat menguasai maklumat atau pengetahuan baru yang akan di terima bergantung kepada sebaik mana maklumat yang sedia ada di susun dan distrukturkan oleh pelajar. Maklumat yang baru akan mudah dipelajari sekiranya terdapat kaitan antara maklumat yang tersimpan dalam ingatan pelajar dengan maklumat baru yang akan di peroses. Yusuf (1998) menjelaskan bahawa menurut teori pembelajaran kognitif beberapa perkara berikut hendaklah diberi tumpuan:

  1. Cara pengetahuan di susun/organisasikan dan distruktur.
  2. Kesediaan untuk belajar (kesediaan mental).
  3. Gerak hati (intuition) atau tekaan yang bijak.
  4. Motivasi atau keinginan untuk belajar.

Pembelajaran Mengikut Langkah Berhierarki Gagne

Menurut Poh Swee Hiang (1998) Gagne menyatakan pembelajaran bergerak daripada yang paling mudah kepada yang kompleks. Pembelajaran aras yang tinggi bergantung kepada pembelajaran aras yang rendah. Terdapat lapan jenis pelajaran yang dikenal pasti iaitu:

  1. Pembelajaran isyarat.
  2. Jenis pembelajaran ini merupakan yang paling mudah. Ia lebih merupakan perubahan tingkah laku yang di sebabkan oleh pengaruh kebiasaan. Pembelajaran isyarat ini banyak menggunakan akal fikiran.

  3. Pembelajaran menganggu gerak balas
  4. Pembelajaran rangsangan gerak balas bergantung kepada proses peneguhan. Ini bermakna pujian dan ganjaran perlu diberikan bagi tingkah laku yang diingati.

  5. Rangkaian
  6. Rangkaian merupakan satu siri tingkah laku yang berkaitan di antara satu sama lain untuk melengkapi satu tugasan yang dijalankan.

  7. Pertalian berbahasa
  8. Pertalian berbahasa merupakan suatu rangkaian berbahasa yang berlaku apabila pelajar menghubungkaitkan apa yang di lihat dengan nama objek secara menyebutnya.

  9. Pembelajaran diskriminasi
  10. Pembelajaran ini berlaku apabila pelajar dapat memilih gerak balas yang sesuai untuk bertindak bagi menghasilkan sesuatu.

  11. Pembelajaran konsep
  12. Pembelajaran ini berlaku apabila pelajar bertindak balas kepada benda-benda sebagai satu kelas atau kategori.

  13. Pembelajaran hukum
  14. Merupakan pembelajaran yang kompleks kerana melibatkan pembelajaran konsep, rangkaian dan pertalian bahasa.

  15. Penyelesaian masalah

Merupakan pembelajaran yang paling kompleks kerana melibatkan penggunaan konsep serta pembelajaran hukum.

Berdasarkan kepada teori ini sebelum menyelesaikan masalah, pelajar seharusnya telah memperoleh pembelajaran isyarat, rangsangan gerak balas, rangkaian pertalian berbahasa, diskriminasi, konsep dan pembelajaran hukum.

  1. Teori Konstruktivisme

Dalam pepatah Cina ada menyebut "Saya dengar dan saya terlupa; Saya lihat dan saya teringat; Saya berbuat dan saya memahami", pepatah ini memberitahu bahawa pengalaman melalui satu jenis deria sahaja tidak mencukupi untuk mencapai pemahaman. Pengalaman perlu dirangsangkan oleh pancaindera dan diolah dengan proses mental supaya pembelajaran bermakna dapat di capai. Menurut Poh Swee Hiang (1998) untuk mendorong pelajar mencapai pemahaman tiga perkara berikut adalah penting:

  1. Sediakan suasana pembelajaran yang bermakna untuk belajar.
  2. Galakkan pelajar untuk membuat keputusan.
  3. Berikan kesempatan untuk membolehkan pelajar menghalusi lagi pemikiran mereka dan mendalami lagi pemahaman mereka dengan cara saling bertukar pendapat sesama mereka.

Konstruktivisme merupakan teori yang menganggap bahawa pengetahuan tidak boleh wujud di luar minda pelajar tetapi dibina dalam minda berdasarkan pengalaman sebenar. Konstruktivisme menegaskan kepentingan membina pengetahuan secara aktif melalui proses saling mempengaruh antara pembelajaran terdahulu dengan pembelajaran terbaru. Perkaitan ini dibina oleh pelajar sendiri.

Model Konstruktivisme Lima Fasa Needham

Dalam pengajaran berasaskan konstruktivisme guru perlu menyediakan atau memberi kesempatan kepada pelajar untuk menerokai dan melibatkan diri secara langsung dalam aktiviti "hands-on" dan "minds-on". Lima fasa pengajaran dan pembelajaran yang digariskan oleh Needham adalah (Poh Swee Hiang 1998):

   a.   Orientasi - Bertujuan menarik perhatian dan minat pelajar atau
          memotivasikan
pelajar.

  1. Pencetusan idea - Bertujuan mengenal pasti idea pelajar yang terdahulu.
  2. Penstrukturan semula idea - Bertujuan mengembangkan lagi atau mengubah suai idea terdahulu secara membandingkan dengan idea sintifik, menyiasat menggunakan kemahiran saintifik.
  3. Aplikasi idea - Bertujuan mengaplikasi idea dalam situasi yang baru.
  4. Refleksi - Menyedari sejauh mana idea terdahulu telah berubah.

 

Strategi Pembelajaran

Pembelajaran Koperatif

Pembelajaran koperatif melibatkan pelajar bekerjasama dalam struktur dengan matlamat bekerjasama. Pembelajaran koperatif adalah merujuk kepada kaedah pengajaran yang memerlukan pelajar dari pelbagai kebolehan bekerjasama dalam kumpulan kecil untuk mencapai satu matlamat yang sama.

Antara ciri-ciri pembelajaran koperatif adalah:

  1. Saling bergantung antara satu sama lain secara positif
  2. Saling berinteraksi secara bersemuka.
  3. Akauntabiliti individu atas pembelajaran diri sendiri, setiap ahli kumpulan bertanggung jawab atas kejayaan kumpulan secara kolektif.
  4. Kemahiran kolaboratif, ahli kumpulan menggunakan kemahiran interpersonal melalui interaksi sosial dalam kumpulan yang pelbagai.
  5. Pemprosesan kumpulan, membuat refleksi untuk meninjau kembali cara perbincangan dijalankan.

Pembelajaran koperatif menekankan kemahiran berfikir aras tinggi seperti menganalisis dan membuat penilaian.

Pembelajaran Kolaboratif

Pembelajaran ini melibatkan interaksi di antara pelajar dengan bahan pengajaran, pelajara sesama pelajar dan juga pelajar dengan pengajar. Dalam pembelajaran ini aktiviti kerjasama yang dilakukan semasa pembelajaran menghasilkan penemuan secara bersama.Dalam konteks perisian ppbk interaksi aktif akan lahir di antara pelajar dengan perisian ppbk yang bertindak sebagai pengajar atau ' tutor '. Jonassen (1996) menegaskan bahawa pembelajaran secara kolaboratif ini dapat membantu pelajar untuk membina pengetahuan yang bermakna di abndingkan pembelajaran secara individu.

Pembelajaran Pendedahan Induktif

Pendedahan induktif merupakan penyampaian pelajaran dari yang mudah kepada yang lebih kompleks atau dari yang konkrit kepada yang abstrak. Dalam pendekatan ini sesuatu generalisasi akan cuba dibina daripada contoh-contoh khusus. Generalisasi boleh disampaikan secara langsung atau secara tidak langsung.

Pembelajaran Anjal (felksibel)

Dalam pembelajaran ini ia tidak terikat dengan sesuatu waktu tertentu. Ini bermakna pembelajaran boleh dibuat pada bila-bila masa sahaja. Perisian ppbk yang di bina ini membolehkan pelajar menggunakanya untuk belajar di mana-mana sahaja dan tidak terikat kepada masa.

Pembelajaran Reflektif

Pendekatan pembelajaran ini membantu pelajar mempelajari menggunakan pengetahuan untuk menyelesaikan masalah, membuat keputusan, membentuk pengetahuan baru dari konsep pembelajaran yang telah dipelajari. Ini bermakana pelajar akan mengingat serta mengkaji semula langkah-langkah yang telah dipelajari. Sebagai contoh untuk menyambung peranti sokongan kepada papan induk, pelajar perlu menggunakan proses mental dalam membuat keputusan supaya suatu sistem lengkap dapat dibina. Secara tidak langsung nilai-nilai murni dapat diserapkan seperti berdikari, rajin berusaha, menganalisis dan bersabar.

Kesimpulan

Dalam pembinaan perisian ppbk yang bercorak pendidikan ini kefahaman terhadap teori pembelajaran sangat mustahak kerana ia dapat membantu menghasilkan suatu perisian yang benar-benar berkesan serta memenuhi kehendak pengajaran dan pembelajaran yang sebenar.

 

 

Senarai Rujukan

Ee Ah Meng. 1994. Psikologi Dalam Bilik Darjah. Kuala Lumpur:
            Penerbitan
Fajar Bakti

Futurell, M.K. & Geisert, P. 1984. The Well-trained Computer. NJ:
            Educational Technology Publication.

Good, T. Brophy, J.E. 1990. Educational Psychology: A Realistic
            Approach.
Edisi
ke-4. New York: Longman White Plamas.

Jonassen, D.H. 1996. Computers as Mindtools for Schools - Engaging
            Critical
Thinking. Edisi ke 2. New Jersey, Ohio: Prentice Hall.

Poh Swee Hiang. 1998. Strategi Pengajaran Pembelajaran Sains.
             Kuala Lumpur:
Kumpulan Budiman.

Sulaiman Ngah Razali. 1997. Pedagogi Teori dan Praktik. Selangor
             Darul Ehsan: Dewan Bahasa dan Pustaka.

Shahrir Mohammad Zain. 1982. Pengajaran dan Pembelajaran
             Matematik
Universiti di Malaysia. Kertas kerja Simposium
             Kebangsaan Matematik.
Universiti Kebangsaan Malaysia.

Thorndike (2000). The Basics of Behaviorism (atas talian)
http://www.usak.ca/education/coursework/802papers/mergel/brenda.htm
(12Mac 2001).

Yusup Hashim. 1998. Teknologi Pengajaran. Shah Alam: Penerbit
            Fajar Bakti.

Zoraini Wati Abas. 1993. Komputer Dalam Pendidkan. Kuala Lumpur:
            Penerbitan
Fajar Bakti.

 

kembali kelaman tugasan ge663